Showing posts with label Hishamuddin Rais. Show all posts
Showing posts with label Hishamuddin Rais. Show all posts

Thursday, April 1, 2010

Jangan marah Melayu tak baca buku

Hishamuddin Rais Malaysiakini.com
Mac 29, 10



Kita sering terbaca berita yang mengatakan warga negara kita ini kurang membaca. Daripada kajian dan pukul rata, seorang warga Malaysia dikatakan hanya membaca dua muka surat sahaja untuk satu tahun - berbanding 40 hingga 50 buah buku untuk seorang warga Sweden atau Finland.

Hasilnya, buku-buku yang dicetak tidak terjual. Penulis kita agak susah untuk mencari makan. Budaya buku dan budaya ilmu tidak berkembang. Warga negara kita ini tidak ambil pot (peduli) tentang buku dan tulisan. Jauh sekali mereka hendak merapati buku-buku sastera, falsafah atau budaya, pameran lukisan atau pementasan teater.

Mengapa ini berlaku? Apakah warga Malaysia ini, terutama manusia Melayu, amat culas dalam hal baca-membaca dan berbudaya? Apakah manusia Melayu ini tidak ada keingian untuk tahu apa yang sedang berlaku di alam sekeliling mereka? Atau apakah manusia Melayu ini telah menjadi begitu mandul sehinggakan mereka tidak dapat lagi melihat apa yang sedang berlaku terhadap keluarga, anak dan dirinya sendiri.

Memang betul pada ketika ini proses pembodohan orang Melayu sedang berjalan dengan ligat. Proses ini tidak akan berjaya jika para seniman, para penulis dan para sasaterawan Melayu bangun menentang dan melawan proses pembodohan ini.

Di sini peranan penulis, seniman dan sasterawan cukup penting dalam memperkasa kembali fikrah yang selama ini telah diperbodohkan melalui budaya yang disebar luas oleh United Malays National Organisation.

Selama lebih 50 tahun hegemoni budaya United Malays National Organistaion telah melakar dan mengkonstruksi cara warga Malaysia terutama manusia Melayu berfikir dan bergerak. Dengan bantuan lembaga - seperti lembaga feudal, lembaga keagamaan, lembaga tradisional Melayu – United Malays National Organisation telah berjaya memagar dan mengikat cara manusia Melayu berfikir dan bergerak.

Apabila kita terbaca berita yang mengatakan kita semua ini kurang membaca, maka kita menerima hakikat ini tanpa kita berfikir panjang atau menimbulkan pelbagai persoalan. Sikap ini sikap yang salah - inilah sikap hasil hegemoni budaya United Malays National Organisation.

Budaya ini memalaskan kita untuk berfikir. Seharusnya, kita menimbulkan persoalan demi persoalan terhadap kenyataan tadi. Kenapa agaknya manusia Melayu tidak suka membaca?

gambar hiasan Perpustakaan Tun Seri Lanang UKM

Jika manusia Melayu tidak mahu atau tidak suka membaca buku, maka mari kita selidiki apa sebenarnya isi buku itu. Jika manusia Melayu tidak ingin membaca sebuah novel, maka mari kita selidiki apa yang cuba dipaparkan oleh penulis dalam novel itu.

Jika manusia Melayu gagal menghayati sebuah puisi, maka mari kita lihat dan selidiki apa isinya puisi itu. Jika manusia Melayu tidak menghayati sebuah lukisan, maka mari kita selami apa yang telah dilukis.

Selama lebih 20 tahun ini, buku-buku daripada tulisan sasterawan kita, buku-buku yang cuba membawa hal ehwal semasa, buku-buku yang dikatakan cuba membuka mata dan hati warga Malaysia – kebanyakannya bergenre bodek. Puisi, teater dan sandiwara yang dipentaskan banyak juga yang membawa unsur-unsur budaya bodek. Budaya bodek ini telah menjadi salah satu ciri yang amat penting dalam proses pembodohan manusia Melayu.

Cara untuk memahami budaya bodek ini berkembang dan bergerak cukup senang. Contohnya, ketika di zaman Islam Hadhari dahulu, banyak buku yang ditulis tentang Islam Hadhari. Banyak seminar akademik dianjurkan tentang Islam Hadhari.

Ada teater dipentaskan tentang Islam Hadhari. Ada kajian dijalankan tentang Islam Hadhari. Ada lagu, ada puisi, ada musik, ada pameran lukisan tentang Islam Hadhari.

Seorang penulis puisi, yang bercita-cita ingin melihat puisinya diterbitkan dalam akhbar, tidak dapat tidak akan melakar Islam Hadhari sebagai tema puisinya. Seorang pensyarah yang ingin membuat kajian ilmiah pasti akan membuat kajian tentang Islam Hadhari.

Tindakan mereka ini untuk memastikan kajian ini akan diluluskan oleh universiti dan akan mendapat dana. Di sekolah pula akan ada pertandingan menulis karangan dan esei tentang Islam Hadhari; akan diadakan pertandingan berbahas atau berbalas pantun tentang Islam Hadhari.

Sebuah pereka seni papan tanda juga akan meletakkan logo Islam Hadhari agar logo ini akan mendapat kelulusan pihak yang berkuasa sebelum disebarkan di tepi-tepi jalan. Iklan-iklan di akhbar, radio atau tv juga akan menayangkan Islam Hadhari.

Drama tv juga mula berkisar dengan Islam Hadhari. Apabila pencadang Islam Hadhari ini tidak ada kuasa lagi, maka semua beralih kepada slogan 'Satu Malaysia'. Proses yang sama akan berulang lagi. Proses membodek tetap berlaku. Justeru inilah caranya hegemoni budaya bodek bergerak dan menyerapi jauh dalam masyarakat kita.

Sebenarnya orang ramai tahu – semua yang terpampang ini adalah bodek. Malah si penulis, si penyair, si pengkaji, si pembikin teater, si pencipta lagu, si pereka – semua mereka tahu bahawa apa yang mereka buat itu adalah membodek orang yang berkuasa ketika itu. Justeru kerja bodek mereka tidak membawa apa-apa yang menakjubkan.

Kerja-kerja bodek tidak menarik. Kerja-kerja seni bodek tidak akan membuka pandangan orang ramai. Tulisan-tulisan bodek tidak akan mengancam menggelodakkan fikrah yang beku. Kerja-kerja seni membodek tidak akan mengusik jiwa.

Novel-novel, cerpen-cerpen, puisi-puisi yang muncul hasil daripada peraduan membodek tidak akan ada sesiapa yang akan membeli atau membacanya. Malah, jika buku-buku bodek ini ini diberikan percuma besar kemungkinan buku ini akan menjadi penyelak pintu atau pengalas cerek panas. Inilah hakikatnya hasil kerja seni bodek.

Justeru kita tidak boleh menyalahkan manusia Melayu sebagai manusia yang malas membaca. Mereka malas membaca buku-buku yang tidak ada kaitan dengan kehidupan mereka. Mereka culas membaca kerana mereka merasakan buku-buku ini tidak memberikan apa-apa manfaat kepada kehidupan mereka.

Bayangkan jika buku-buku atau kerja-kerja seni ini ada kaitan dengan kehidupan mereka, pasti manusia Melayu ini akan berhenti, melihat dan cuba mendengar apa yang cuba disampaikan oleh buku buku ini. Jika sebuah puisi itu indah dan ada hubungan dengan perjuangan kehidupan manusia Melayu, pasti puisi ini akan dihayati.




Apa yang diinginkan oleh warga Malaysia khasnya manusia Melayu hari ini adalah buku-buku dan kerja-kerja seni yang temanya memaparkan perlawanan. Buku-buku yang mengajukan tema perlawan terhadap penindasan. Perlawaan ini perlawanan manusia Melayu yang tertindas dalam kehidupan harian mereka.

Kehidupan harian yang mereka lalui dan alami. Justeru dengan sendirinya mereka akan dapat memahami dan menghayati kerja seni ini. Bukan buku-buku yang berkhayal tentang kehidupan orang-orang kaya yang tidak ada talian dengan majoriti manusia Melayu.

Puisi-puisi yang mengajukan tema penentangan terhadap kezaliman. Atau lagu-lagu yang menggerakkan nadi dan jiwa mereka untuk bangun melawan. Atau syair dan sajak yang melakar kehidupan mereka yang saban hari bertempuran dengan kezaliman dan penindasan. Jika tema ini yang digarap oleh para seniman, pasti kerja seni mereka merebak luas.

Contoh terbaik hari ini - tema besar yang sedang terpampang dalam dunia Melayu hari ini ialah konspirasi untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim. Inilah tema besar yang tidak mungkin dapat disorok-sorok. Tema ini sedang menunggu penulis, penyair, pemusik, pelukis untuk digarap seseni mungkin.

Jika para penulis, seniman, saterawan, pelukis dan penggiat teater gagal untuk melihat tema yang besar ini, maka jangan marah kepada manusia Melayu. Jangan marah apabila buku tidak ada orang beli. Jangan marah apabila lagu tidak ada sesiapa mendengar.

Jangan kecewa apabila pameran lukisan hanya dilihat sebagai pameran syok sendiri. Jangan marah jika tidak ada sesiapa ambil pot terhadap buku puisi bodek yang tidak ada siapa ingin membeli.

Hakikatnya manusia Melayu hari ini mahu mendengar bunyi dan suara laungan perjuangan. Manusia Melayu mahu mendengar pekikan perlawanan. Manusia Melayu telah jelak dengan puisi bodek dan cinta. Manusia Melayu telah jelak dengan irama ampu dan cium tangan.

Seniman yang melakar dan menggarap tema perjuangan adalah seniman yang akan dinobatkan oleh manusia Melayu.

Komen: Setelah meneliti tulisan ini saya kira amat bermanafaat untuk dikongsisama dengan tuan puan. Bukan sangat kerana kritikan kepada dominasi UMNO tetapi kerana kerungsingan melihat anak muda tidak suka membaca. Sebagai anggota akademik, ini amat dirasai apabila menyaksikan sendiri pelajar yang ditugaskan membaca bahan tertentu (tidak panjang pun, bukan mesti buku, tetapi ada artikel atau esei) yang datang ke kelas tanpa persediaan atau tidak membaca. Bayangkan, jika pelajar universiti yang ditugaskan membaca tidak melakukannya, apa lagi bukan pelajar universiti dan bukan tugas mereka. Bilangan yang minat membaca ternyata amat sedikit, bukan tidak ada. Dalam penyediaan tugasan atau tesis, rata-rata semua suka memilih tesis senior atau tesis lama untuk dirujuk dan bukan buku atau bahan mutakhir apa lagi jurnal terkini, padahal kemudahan kini teramat banyak membantu, dengan online journal, sistem pencarian artikel online yang cekap dan penyediaan pelbagai kemudahan canggih di perpustakaan.. Kita saksikan sendiri di bilik-bilik sumber pusat pengajian, bertimbun tesis lama di depan mata untuk disalin isinya... Kesan ini besar. Ia membina tahap pemikiran generasi mendatang. Kita asyik bising dengan pengangguran bertambah, pemikiran tidak kritikal dan siswazah kualiti rendah. Pokok asasnya tidak lari dari masalah di atas.



Wednesday, November 11, 2009

Tujuh mitos, tujuh pembohongan



Hishamuddin Rais
Malaysiakini.com
1 Okt 09

Mitos ialah naratif yang dibuat bertujuan untuk memesongkan hakikat.
Contohnya: Raja dikatakan jelmaan tuhan - mitos ini bertujuan membodohkan kaum tani agar mereka memberikan tanaman mereka pada satu kumpulan manusia yang malas bekerja.

Mitos ini berpanjangan dan ditokok tambah: selepas satu, satu lagi ditambah. Hakikatnya mitos raja dari muntah lembu atau raja jelmaan tuhan bertujuan untuk menipu. Walhal antara raja dengan sesiapa sahaja tidak ada bezanya. Yang melahirkan perbezaan hanyalah mitos.

Contoh mitos: Pokok itu berhantu. Pokok itu wujud dan dapat dilihat dan dibuktikan. Tetapi hantu itu tidak wujud. Mitos hantu diwujudkan untuk menakut-nakut. Apabila kita takut, maka kita akan mencari perlindungan.

Peranan untuk melindungi kita daripada hantu ialah bomoh dan dukun. Akhirnya kita tunduk pada kuasa bomoh dan dukun.

Mitos diwujudkan untuk tujuan baik dan tujuan jahat. Jangan pergi di dalam gua ini, ada hantu adalah nasihat yang bersalurkan penakutan. Nasihat ini baik kerana cuba menjaga keselamatan. Ia juga tidak baik kerana asasnya satu pembohongan.

Hari ini mitos masih cuba di wujudkan – tetapi agak susah. Dengan kemajuan ilmu, tidak ramai yang akan mempercayai mitos-mitos baru yang hendak direka.

Mitos seperti angkasawan Neil Armstrong turun ke bulan dan kemudian terdengar suara azan. Atau mitos Bruce Lee mati kerana bersilat dengan Dicky Zulkarnain – semua ini cuba disebarkan untuk menjadi bahan lawak jenaka.

Tujuan asal mitos ialah untuk membodohkan dan dalam masa yang sama menakut-nakutkan orang ramai. Kalau Raja Jepun berasal daripada Tuhan, maka diharapkan rakyat Jepun akan tunduk. Walhal kalau Raja Jepun ini makan petai, kencing dia tetap hancing. Kalau Putera Charles tercirit, baunya tetap busuk.

Lawan mitos ialah fakta. Fakta dapat dibuktikan melalui pengkajian. Ilmu pengetahuan manusia datang dari fakta dan pemikiran manusia. Semua ilmu dalam dunia ini berpunca daripada tiga sumber.

Pertama: Pengumpulan pengalamnan.
Kedua: Kaji selidik.
Ketiga: Ujian dalam bilik makmal.

Sesuatu mitos akan pecah jika kita berfikir secara rasional. Kajian ilmiah akan dapat membuktikan sama ada sesuatu itu mitos atau fakta. Jika sesuatu masih dalam kajian dan belum dapat dibuktikan betul atau salah, maka ia masih di tahap teori.

Satu ketika dahulu Letupan Besar atau Big Bang hanya satu teori. Hari ini ia telah diterima sebagai fakta. Teori menjadi fakta apabila kajian dapat membuktikan teori ini.

Ilmu pengetahuan adalah pengumpulan pengalaman manusia dari suatu zaman ke suatu zaman. Buruk atau baik pengalaman ini akan menjadi panduan. Panduan ini adalah ilmu pengetahuan. Ada ilmu pengetahuan yang turun dari mulut ke mulut. Ada yang dibukukan.

Dalam negara kita, ada beberapa mitos yang disebarkan. Pada ketika mitos ini disebarkan, ramai warga negara kita belum bersekolah. Maka mitos ini diterima bulat-bulat. Penyebaran mitos ini memang bertujuan untuk membodohkan kita semua.

Tetapi dengan adanya internet, kita dapat memecahkan mitos-mitos ini melaui pengkajian berdasarkan fakta-fakta.

Mitos pertama
Hari Malaysia bukan pada 31 Ogos tetapi 16 September.
Bohong. Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu menjadi persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Singapura meninggalkan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Tidak percaya, sila tanya orang Sabah dan Sarawak.

Mitos kedua
Merdeka dimulakan oleh United Malays National Organisation.
Bohong
. Parti yang awal memperjuangkan dan melaugkan slogan MERDEKA ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuh pada 1938. United Malays National Organisation belum wujud lagi.

Apabila wujud, slogan United Malays National Organisation ialah HIDUP MELAYU

dan bukan MERDEKA!

Mitos ketiga
Kemerdekaan dicapai tanpa pertumpahan darah.
Bohong
. Parti Komunis Malaya, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Hizbul Muslimin, Peta, Malayan Democtaric Union, KMM dan ribuan warga telah bangun mengangkat senjata.

Pada mulanya melawan Jepun, kemudian melawan British. Tanpa angkat senjata, British tidak akan undur.

Mitos keempat
Lagu Negaraku dikatakan lagu kebangsaan kita.
Bohong
. Lagi ini bukan ciptaan warga Tanah Melayu. Penciptanya orang Perancis bernama Pierre Jean de Beranger (1780-1857).

Nama asal lagu ini, Memula Moon. Bertukar menjadi Terang Bulan.

Di zaman konfrontasi Malaysia-Indonesia, radio repuklik itu memainkan lagu ini untuk mengejek Tunku Abdul Rahman yang dianggap budak suruhan British. Dari Terang Bulan menjadi Negaraku.

Mitos kelima
Bendera Jalur Gemilang – namanya baru berusia lima tahun. Ia adalah tiruan bulat-bulat bendera Amerika Syarikat yang bernama Star Spangled–Banner, Stars and Stripes dan Old Glory. Jalur Gemilang diciplak daripada bendera Amerika.

Buktinya, lihat Jalur Gemilang tidak ada motif Nusantara atau Melayu. Warna merah dan putih adalah motif Nusantara - merah ertinya darah rakyat dan putih pula hati rakyat. Motif Nusantara ini wujud pada bendera Singapura dan Indonesia.

Mitos keenam
Wujud perpaduan Melayu.
Bohong. Tidak ada perpaduan Melayu. Tidak pernah terjadi perpadun Melayu semenjak konsep Melayu itu wujud. Tidak mungkin adanya perpaduan Melayu seperti mustahilnya lahir perpaduan Cina, perpaduan Arab, perpaduan Itali, perpaduan India.

Mitos perpaduan Melayu bergerak dengan menakut-nakutkan orang Melayu daripada 'ditelan' oleh Cina dan India. Apabila Melayu jadi takut maka akan datang pembantu. Seperti mitos pokok ada hantu. Orang kampung yang takut pada hantu memanggil bomoh untuk menghalau hantu.

Ini cara klasik sesuatu mitos bergerak - takut-takutkan orang ramai. Apabila orang ramai takut, maka mereka akan mencari perlindungan. Maka muncul United Malays National Organisation menjadi pelindung, walhal yang menimbulkannya gerombolan ini juga.

Mitos ketujuh
Malaysia negara unik.
Bohong
. Mitos ini disebarkan untuk membodohkan rakyat negara ini yang malas membaca dan hanya suka mendengar.

Mitos ini bertujun untuk menunjukkan hanya gerombolan United Malays National Organisation sahaja yang dapat memerintah kerana Malaysia ini unik.

Hakikatnya Malaysia tidak unik; bukan Malaysia sahaja dalam dunia ini yang berbilang-bilang kaum, berbilang-bilang bahasa, pelbagai agama dan budaya. Tidak ada negara yang monolithic dalam dunia ini – semua ada kepelbagaian. Setiap negara dalam dunia ini ada kepelbagaian.

Teknologi boleh memecahkan mitos. Lihatlah betapa teknologi dan ilmu pengetahuan telah memecahkan mitos-mitos ini. Betapa internet telah membolehkan kita bersama-sama mencari fakta dan menilai dokumen sejarah.

Kalau dulu kita tidak tahu asal-usul lagu Negaraku. Hari ini gambar dan riwayat hidup pembuat lagi ini kita kenali. Kalau dulu ada yang menerima mitos tentang kemerdekaan dicapai tanpa tumpah darah. Hari ini mitos ini telah terbarai, pecah.

Dokument-dokumen sejarah ini semuanya boleh kita baca melalui internet.

Kemajuan manusia akan terus memecahkan mitos-mitos yang lapuk dan berkarat ini. Teknologi akan membebaskan manusia daripada diperangkap dan dibelenggu mitos-mitos.

Tanpa mitos, manusia akan jadi berani. Insan yang berani bebas adalah insan yang berfikir. Manusia yang berfikir tidak akan tunduk kepada sesipa kecuali fikrahnya yang rasional.

Komen: Tanpa sedar pelbagai metos sudah dianggap sebagai fakta. Namun perbincangan itu sudah pergi kepada peringkat lapisan kedua atau tiga. Lapisan pertamanya masih ramai yang tidak menerima konsep mitos, dan apa lagi menerima bahawa semua itu adalah mitos..