Showing posts with label SPR. Show all posts
Showing posts with label SPR. Show all posts

Monday, January 25, 2010

SPR kaji tukar konsep undi pos dengan undi awal

Malaysiakini.com 24 Jan 10
Sistem pengundian awal yang membolehkan pengundi berdaftar mengundi lebih awal, dan dua hari sebagai tempoh bertenang mungkin diperkenalkan dalam sistem pilihan raya di Malaysia.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya sedang mengkaji kedua-dua sistem itu yang kini dilaksanakan di beberapa negara, termasuk Thailand dan Indonesia.

Menurut beliau, fokus utama SPR adalah untuk menggantikan konsep undi pos, sambil menambah kata apa yang telah dilaksanakan selama ini melalui undi pos sebenarnya adalah pengundian awal.

"Hakikatnya, pada hari pilihan raya diadakan, tidak semua pengundi berdaftar yang dapat membuang undi kerana terikat dengan komitmen lain seperti telah dijadualkan bertugas pada hari tersebut dan sebagainya," katanya kepada Bernama.

Wan Ahmad berkata mereka mempunyai hak di sisi Perlembagaan dan adalah menjadi tanggungjawab SPR untuk mencari jalan bagi membolehkan mereka mengundi.

Wan Ahmad berkata beliau dan beberapa pegawai SPR telah melawat Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand akhir tahun lepas bagi mempelajari dan mengkaji proses pengundian awal serta undang-undang dan peraturan yang berkaitan.

"Tujuan lawatan saya ialah untuk mempelajari dan mengkaji peraturan dan perundangan berhubung proses pengundian awal di Thailand kerana negara itu berjaya mengendalikan sistem itu dengan cukup baik," katanya.

Beliau berkata SPR akan mengemukakan cadangan mengenai sistem itu kepada kerajaan selepas dipersetujui di peringkat suruhanjaya.

Selain menukar nama pengundian pos kepada pengundian awal, katanya SPR juga kini serius memikirkan kaedah untuk melaksanakannya.

"Kita juga akan cuba mengesyorkan kemasukan kategori lain bagi mereka yang layak melakukan pengundian awal seperti golongan wartawan, doktor, jururawat, juruterbang dan pramugari," katanya.

Pada masa ini, mereka yang layak mengundi secara pos ialah anggota polis dan pasangan, anggota tentera dan pasangan, pelajar dan pegawai kerajaan yang berada di luar negara.

Pada pilihan raya umum 2007 di Thailand, hampir tiga juta daripada 45 juta pengundi berdaftar mengundi awal pada dua hari yang ditetapkan.

Mengikut peraturan pilihan raya negara itu, kesemua pengundi berdaftar layak mengundi awal, terutamanya mereka yang mendaftar di wilayah lain tetapi tidak dapat pulang pada pilihan raya umum dan mahu mengundi awal di tempat mereka bekerja atau bermastautin.

Wan Ahmad berkata SPR sedang mengkaji cadangan untuk menetapkan dua hari sebagai tempoh bertenang tanpa sebarang kempen pada sesuatu pilihan raya.

Walaupun SPR kini menetapkan bahawa kempen pilihan raya perlu tamat menjelang tengah malam sebelum hari pengundian, beliau berkata budaya politik yang diamalkan di negara ini disifatkan sebagai tidak menghormati peraturan itu.

"Di Malaysia, tiada siapa hormat atau yang mahu mengikut peraturan cooling off period (tempoh bertenang) yang ditetapkan SPR. Walaupun dilarang, pada hari mengundi, masih ada lagi yang mengambil kesempatan untuk meraih serta merayu undi, mengibarkan bendera dan berkonvoi," katanya.

Wan Ahmad berkata perbuatan melanggar arahan itu merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ditanya mengapa SPR tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan berkenaan, beliau berkata berdasarkan senario politik negara ketika ini, keadaan akan menjadi bertambah huru-hara pada hari pengundian.

Sehubungan itu, beliau berharap tempoh bertenang boleh dilaksanakan pada pilihan raya akan datang bagi memudahkan SPR dan Pihak Berkuasa Tempatan membersihkan kawasan mengundi daripada poster dan bendera yang dipasang.


Komen: Banyak persoalan timbul dari cadangan pertukaran sistem pilihanraya Malaysia ini. Pertama sekali ialah kenapa sekarang. Kenapa tidak dahulu, tahun 1970an, 80an dan 90an. Kenapa tidak kemudian, tahun 2020 nanti.. Melihat kepada perubahan pola pengundian yang berlaku pada PRU 12, 2008 dahulu, sudah tentu rancangan ini umpama ada udang di sebalik batu. Keduanya, apakah masalah kesesakan pusat rayuan undi atau masalah perayu undi merupakan masalah yang amat besar yang menjadi kesulitan kepada SPR. Apakah ia amat mengancam perjalanan pilihanraya umum. Tidak adakah jalan lain untuk mengatasi masalah ini. Tidak kah boleh ia dibuat peraturan baru dengan meletakkan jarak lebih jauh seperti 0.5km dari pusat pengudian bagi mengelak kekecohan. Ketiga, bagaimana jaminan kerahsiaan, keselamatan dan kebersihan kotak undi yang telah digunakan, menantikan hari undi sebenar..? Jika dua atau tiga hari ia di simpan di Balai Polis atau Dewan tertentu... dapatkah dipastikan ia tidak terusik..? Keempat, dapatkah jaminan diberikan tidak ada pengundian berulang berlaku. Memandangkan ia boleh dibuat pada tarikh awal, sudah tentu monitoring atau pemerhatian amat sukar, apa lagi jika berlaku di tempat yang berbeza...Kelima, perjalanan pilihanraya Malaysia selama ini berjalan dengan aman, tidak seperti di Pakistan atau India... dengan itu apakah amat terdesak Malaysia mahu menukar sistemnya..?
Sebenarnya banyak lagi yang boleh menimbulkan persoalan. Untuk 2012 atau 2013 sebaiknya ia tidak digunakan dahulu.. lebih baik sahaja dicari jalan supaya perjalanan yang ada sekarang diperkemas demi keadilan dan kebenaran.


Tuesday, April 28, 2009

Semua tidak boleh bila dia KALAH

Pakatan: Larang pondok panas tidak munasabah
Abdul Rahim Sabri Apr 28, 09 7:59pm Malaysiakini.com

Pakatan Rakyat menyifatkan keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melarang parti-parti yang bertanding mendirikan pondok panas dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini sebagai "tidak munasabah". "Keputusan tersebut amat memeranjatkan kami. Dalam perbincangan (kami dengan SPR), mereka seolah-olah menerima dan kami optimistik tidak ada masalah," kata Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa berkata perbincangan mereka dengan SPR berlangsung Khamis minggu lalu. Ia turut dihadiri Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah; dua ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mariah Mahmud dan Dr Dzulkifli Ahmad serta bendahari DAP, Fong Kui Lun. Semalam Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, suruhanjaya itu melarang penggunaan pondok panas dan perayu undi dalam pilihanraya kecil kali ini.

Abdul Aziz berkata, ia bertujuan memastikan hari mengundi berjalan dengan "aman, tenang dan tanpa kesesakan lalulintas," selain "menyejukkan suasana" selepas berkempen. Sementara itu, Sivarasa pula berkata, Pakatan Rakyat menolak keputusan SPR itu kerana ia melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya 1954. "Kita telah teliti dari sudut undang-undang. Kita menolak pendirian SPR ini kerana pendirian tidak munasabah. Tolak alasan SPR "(Keputusan itu) tidak ikut undang-undang pilihanraya itu sendiri dan bercanggah dengan tafsiran mereka (SPR)," kata Sivarasa.

Beliau kemudiannya membacakan sepucuk surat dari SPR pada 2004 yang ditandatangani Datuk Wan Ahmad Wan Omar selaku setiausaha SPR ketika itu. Dalam surat tersebut, Wan Ahmad membenarkan penubuhan pondok panas di luar kawasan sempadan 50 meter dari tempat mengundi.

Sivarasa yang juga ahli parlimen Subang berkata, pondok panas dibenarkan mengikut seksyen 24b (2) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954. Sementara itu, Mustafa berkata, Pakatan akan menemui SPR untuk berbincang mengenainya Khamis atau selewat-lewatnya minggu depan. Dalam sidang media yang sama, Dr Mariah menolak alasan yang diberi oleh SPR untuk tidak membenarkan pondok panas didirikan.

"Sebenarnya, sudah cukup untuk tempatkan anggota polis di tempat mengundi (pada hari mengundi). Tidak cetus pergaduhan"Sebelum ini, tidak tercetus pergaduhan antara penyokong parti. Bersemangat lebih, biasalah," katanya. Tambahnya, pondok panas merupakan satu tradisi sejak pilihanraya pertama negara pada 1959. "Asalkan ia di luar jarak 50 meter dari kawasan tempat mengundi," kata Dr Mariah yang juga ahli Parlimen Kota Raja.

Menjawab soalan pemberita mengenai sejauhmana pentingnya pondok panas tersebut, Mustafa berkata: "Ia penting. Pengundi boleh ulang semak sama ada nama pengundi ada ataupun tidak. "Kalau tak ada (nama pengundi) kita boleh membuat semakan lagi dengan SPR," katanya.

Komen:
Teringat kata-kata Prof P Ramasamy minggu lepas, "kenapa baru sekarang BN bercakap soal pembaziran.." (..sedangkan amalan pembaziran itu sudah lama dan banyak kali dilakukan..). Kini pondok panas pula mahu disekat oleh SPR. Kenapa ia dibolehkan sebelum ini? Kenapa tidak menjadi masalah kepada BN dalam pilihanraya 2004, 1999 dan semua pilihanraya kecil sebelum 2008? Jawapannya tidak lain, satu sahaja... ia itu apabila ia tidak lagi menguntungkan, sebaliknya memberi kelebihan kepada parti lain. Pihak yang berkuasa menentukan 'game' atau peraturan permainan, dan dalam peraturan itu ia biasa menang. Bila sudah mula kalah ia mula meminda, eg. mengecilkan tiang gol, melarang penyorak yang ramai, melarang khemah untuk penyokong kuat dan sebagainya. Nanti bila dah kembali menang satu hari nanti... peraturan itu akan berubah lagi untuk kepentingannya pula. Macam la orang lain tidak nampak atau tidak dapat membaca percaturan ini..