Showing posts with label E-Undi. Show all posts
Showing posts with label E-Undi. Show all posts

Saturday, January 2, 2010

Ketelusan e-undi terus dipertikaikan
Abdul Rahim Sabri
Jan 2, 2010
Malaysiakini.com

Umumnya ketiga-tiga pemforum dalam majlis forum "E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus" di Universiti Malaya (UM) malam tadi mempersoalkan ketelusan dalam perlaksanaan pengundian secara elektronik (e-voting).

Mereka tidak menolak secara total sistem tersebut tetapi mempersoalkan kepercayaan pelaksanaan sistem tersebut yang "diragui dan boleh dimanipulasikan". Ini kerana ia tersebut dikawal oleh pihak pentadbiran universiti terutama dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM.

Ahli penal tersebut, Pengerusi Pro-Mahasiswa (Pro-M) Nasional Mohd Shafie Hashim (kanan) berkata mahasiswa khususnya di UM mempersoalkan integriti sistem e-undi yang merupakan satu perisian yang khas yang bangunkan untuk memudahkan proses pengundian dan pengiraan undi.

Katanya, pelaksanaan undi secara berkomputer "tidak patut" dilaksanakan di Universiti Malaya (UM).

"Mahasiswa tidak membantah sistem perlaksanaan e-undi, kerana kita tidak mampu untuk membahas tentang perisian dan kita tidak mempunyai kepakaran. "Yang kita persoalkan adalah intergriti sistem tersebut, kerana sistem tersebut sudah tentu dikawal oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP)," katanya bagi memulakan forum tersebut.

Mohd Shafie berkata perisian khas yang diperkenalkan untuk perlaksanaan sistem itu telah menyebabkan mereka mempersoalkan tahap ketelusan sistem tersebut boleh diragui.

Menurut Mohd Shafie lagi berdasarkan maklum balas dari pihak pentabdiran UM, mereka menjelaskan terdapat tiga rasional menggunakan sistem tersebut, antaranya, untuk memudahkan gerak kerja pentadbiran dan menjimatkan masa pengiraan undi yang sebelum ini memakan masa yang terlalu lama.

Beliau berkata, sekiranya, pihak pentadbiran melaksanakan e-undi dengan alasan untuk memudahkan kerja, maka lebih baik menyerahkan tugas tersebut kepada mahasiswa untuk melaksanakannya.

"Serah kepada pelajar sebagai SPR kampus, untuk memudahkan perlaksanaan e-undi... kita tidak menolak ICT, tapi kita soal intergriti lebih penting," katanya

Menurutnya lagi, pentadbiran UM tidak mendapatkan pandangan mahasiswa berhubung keputusan untuk melaksanakan sistem tersebut dalam pilihan raya kampus kali ini.

"Padangan mahasiswa tidak diambil kira. Ini adalah satu bentuk diskriminasi dalam perlaksanaan perkara baru dalam pilihan raya kampus di UM," katanya yang diminta mengulas kebaikan dan keburukan sistem tersebut.
Selain itu, beliau turut mendedahkan kelemahan sistem itu kerana wakil calon tidak diberi peluang untuk melihat perjalanan pengundian itu berlangsung.

Padangan Mohd Shafie kemudiannya disokong oleh ADUN Teja Chang Lih Kang (kanan) yang menjadi ahli panel kedua forum tersebut. Katanya, beliau bersetuju dengan sistem e-undi sekiranya ia membawa kebaikan dalam proses pendemokrasian dalam kampus di universiti.

Bagaimanapun, seperti Mohd Hashim, Chang turut mempertikaikan tahap ketelusan sistem tersebut sekiranya tidak mempunyai 'semak dan imbang' dalam proses pengundian dan pengiraan undi.
"Bagaimana kita boleh tentukan kertas undi yang dipangkah itu dapat dikira sebagai undi atau pun tidak. Kita tidak tahu. Bagaimana satu undi dikira dan perlunya ada semak dan imbang," katanya.

Dengan memberi contoh pengalamannya sebagai bekas aktivis mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2003, Chang berkata sistem e-undi diperkenalkan di kampus UPM pada tahun tersebut.

"Sebelum itu, empat lima tahun sebelum itu, kami menang besar. Dari 48 kerusi yang dipertandingkan kami menang lebih daripada 35 kerusi. Tetapi pada 2003, terus berubah, proaspirasi menang," katanya.

Katanya pada tahun itu seorang calon pro-M yang bertanding di Kolej Veterinar, hanya memperolehi satu undi. Perkara itu tidak mungkin berlaku kerana sekurang-kurangnya calon mendapat tiga termasuk melalui sokongan pencadang dan penyokongnya, tambahnya.

"Selepas disemak semula, bukan dapat satu undi tapi 81 undi. Jadi sistem ini tidak ada semak dan imbang. Penyelewangan boleh berlaku," katanya.

Bagaimanapun katanya terdapat negara yang mengamalkan e-undi antaranya seperti di Kanada, Brazil, India dan Perancis yang memberikan kebaikan kepada mereka.

"Tapi orang yang mengendalikan, kena ada kredibiliti. HEP ada tak?" soalnya kepada para hadirin.
"Kamu pikirlah sendiri," katanya disambut gelak ketawa para hadirin.


Tambahnya, beliau menggesa agar perlunya satu "padang yang sama rata" untuk memastikan ketelusan perlaksanaan sistem tersebut.

"Bukan soal menang atau kalah kerana menang bukan tradisi, kalah bukan boleh diwarisi. Ia boleh berlaku manipulasi," katanya sambil diiringi tepukan gemuruh hadirin. Sehubungan itu beliau mencadangkan kepada pihak pentadbir universiti khususnya UM agar tidak tergesa-gesa untuk melaksanakan sistem ini.

"Universiti mungkin ada niat yang bagus, tapi ada niat mesti dibawa bincang, tak boleh buat tergesa-gesa. Niat baik kita kena bincang, dapatkan konsesus terlebih dahulu kemudian laksanakan.

"Dapatkan persetujuan dari kedua-dua belah pihak. Kalau seorang sahaja bersetuju, kena tangguhlah perlaksanaannya," katanya.

Beliau mencadangkan agar menggunakan kaedah pengundian 'sentuh skrin', iaitu sistem pengundian elektronik menyentuh skrin dan ia dikira sebagai undi.
Pada masa yang sama, katanya, undian tersebut akan direkodkan oleh 'server' dan kertas undi akan dicetak yang telah ditanda pangkah akan keluar dan seterusnya dimasukkan ke dalam kotak.

Katanya, ini membolehkan calon membuat semakan terhadap jumlah kertas undi yang diperolehinya, sekiranya terdapat kesilapan pada pengiraan e-undi.

"Ini adalah salah satu daripada cara untuk mewujudkan demokrasi di dalam pilihan raya kampus," katanya. Sementara itu, pengerusi SMM Shazni Munir Mohd Ithnin (kanan) yang menggantikan Dr Abdul Aziz Bari berkata sistem demokrasi yang digunapakai pada hari ini adalah dari pengamalan Yunani sejak abad 5 sebelum masihi.

Katanya, tahap permahaman terhadap demokrasi umumnya di kalangan rakyat Malaysia amat menyedihkan.

"Kita masih tidak boleh kenal demokrasi. Dari kecil hingga besar kita tidak dididik dengan demokrasi," katanya.
Tegasnya, demokrasi secara asasnya adalah kuasa rakyat untuk menentukan bentuk pemerintahan yang diingini.

Beliau berkata, setahunya tidak ada negara yang mengamalkan amalan demokrasi sepenuhnya, sebab banyak elemen termasuk pemilihan presiden, sehinggakan terdapat presiden yang dipilih, cuba mempengaruhi keputusan yang telah dibuat.

"(Jadi) bagaimana kita boleh yakin dengan demokrasi di kampus, hanya sekadar membantah dengan memangkah di kertas undi?" soal Shazni Munir.
Menurutnya, mahasiswa tidak mempunyai masalah dengan kecanggihan teknologi tetapi beliau tidak mahu melihat teknologi itu menggangu perjalanan demokrasi di kampus.

"Kita tidak ada masalah dengan teknologi, tapi teknologi kena ikut demokrasi, bukan demokrasi kena ikut teknologi. Teknologi kena duduk di bawah demokrasi," katanya.

Forum tersebut anjuran Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, berlangsung selama satu jam setengah mulai jam 9.45 malam.

Walaupun menerima banyak tekanan dan halangan, pihak penganjur berjaya melaksanakan forum tersebut yang dihadiri lebih 200 pelajar daripada beberapa kampus utama di Lembah Klang antaranya Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Pensyarah terkenal Dr Abdul Aziz Bari yang merancang untuk menghadiri forum tersebut terpaksa membatalkan hasratnya kerana dikatakan menerima surat amaran daripada pentadbiran UIA.

Komen: Prof Aziz Bari sudah menjelaskan sebab ketidakhadirannya kerana bukan kerana tekan dari UIA, tetapi tekanan Pengurusan UM kepada penganjur, Lihat www.malaysiakini.com/news/121009. Pihak HEP seharusnya bebas dari sebarang pengaruh dalam mengengalikan pengurusan pilihanraya. Berilah kebebasan pelajar untuk berfikir secara bebas dan 3-4 tahun di kampus adalah masa yang amat semenatara. Barisan gerakan pelajar juga seharusnya bebas dari sebarang parti politik di luar kampus, bergerak untuk kebajikan pelajar, meningkatkan kualiti kehidupan dan pembelajaran di kampus. Mereka tidak harus menjadi boneka walau dari mana pihak sekalipun. Jika sering menyindir pemimpin yang menjadi boneka pengaruh besar, mereka juga harus bebas dari dibonekakan. Kedua-dua pihak harus 'merdeka' dalam keadaan yang sebenar dan menjadikan politik kampur bergerak sendiri untuk kepentingan pelajar, pembangunan akademik dan universiti.

Sunday, February 1, 2009

E-undi: Antara ketempangan sistem dan pencabulan amalan demokrasi

E - Undi
June 14, 2008 MYTTopic: Berita Kampus
Oleh : Abd Rahman Jabir Mohd Din Ketua Penyelidikan,PMIUM.

Apakah E-undi?
E-undi ialah sistem pembuangan dan pengiraan undi yang menggunakan aplikasi elektronik sebagai alternatif kepada sistem pemangkahan undi melalui kertas (ballout paper). Sistem seumpama ini telah digunapakai secara meluas di beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan Brazil. Dalam sistem e-undi, terdapat beberapa kaedah mengundi secara elektronik termasuk mesin mengundi (mesin elektronik rekod terus DRE),Internet, telefon mudah alih, pembantu digital peri badi dan televisyen digital. Tampak sekilas pandang, suatu perkem bangan positif ke arah mendidik masyarakat tentang erti demokrasi sebenar dalam sistem pilihanraya dari sudut kerahsiaan undi dipertingkat dan kadar pengurangan undi rosak pada tahap minumum tetapi nikmat yang dijanjikan berkemampuan untuk mencurah kesena ngan telah mengundang malapetaka dahsyat sehingga tercalar rekod pengendalian pilihanraya secara bersih dan telus. Beberapa kajian kes di negara maju yang mengamalkan teknik undi elektronik ini mengakui terdapat kelompangan yang jelas mengopak konsep asal berpilihanraya.
Contohnya berlaku kontroversi semasa pemilihan Presiden dalam pilihanraya umum Amerika Syarikat pada tahun 2004 apabila melibatkan masalah keabsahan software kendalian dan pengi raan semula. Ini dihangatkan lagi apabila timbulnya kondisi ketidak fungsian pengendalian sistem (jammed system) di Virgina pada Novem ber 2003 menyebabkan hak mengundi mereka dinafikan.

Contoh di atas seakan-akan terlalu jauh untuk dikaitkan dengan konteks pilihanraya kampus tetapi terdapat nilai sepunya untuk dicari titik pertemuan bagi menjamin pilihanraya yang demokratik dan memanfaat kan kuasa satu undi yang merupakan ekpresi pendirian politik peribadi. Pilihanraya dilihat sebagai suatu indikator untuk mengukur sejauhmana suatu komuniti tersebut bebas bersuara melalui medium yang telus dan partisipasi dalam kancah berpolitik. Tidak perlu untuk mempersoalkan tentang sistem yang terbaik selagimana komuniti tersebut gagal mengenal erti dan tujuan sebenar mengapa pilihanraya dilaksanakan dan reaksi sosial mereka tempang berhadapan dengan masyarakat. Kampus tidak sepatutnya bersalahan dengan realiti sebenar masyarakat malah alam universiti sebagai medan latihan untuk memahami struktur fundamental hidup bermasyarakat malah menjadi cerminan kepada sistem komuniti luar.

Maka, kajian ini akan mengupas beberapa masalah yang kemungkinan timbul dalam sistem e-undi yang diamalkan dibeberapa buah universiti tempatan dalam siri pemilihan MPM dalam pilihanraya kampus yang diadakan. Beberapa isu pokok dalam e-undi ialah kerahsiaan undi, ketelusan sistem, kos pengaplikasian yang tinggi, status keselamatan yang diragui, integriti data dan pencabulan amalan demokratik di Malaysia. Semoga dengan penjelasan kecil ini bermanfaat dalam memaknakan erti demokrasi kampus dan mewacanakan agenda politik kampus yang sihat di kalangan mahasiswa.

Satu perspektif baru dalam evolusi demokrasi : Premis asas
Masyarakat kampus mesti meletakkan kepercayaan sebagai asas kepada penubuhan sebuah kerajaan yang sah melalui sistem pilihanraya yang adil dan telus. Sekiranya soal ini diketepikan, maka asas bagi sebuah kerajaan demoktratik akan rapuh. Perkembangan dunia informasi telah mendesak penggunaan sistem elektronik merupakan lembaran baru dalam dunia demokrasi.
Persoalannya, mengapa sistem ini di’paksa’ penggunaan sedangkan testimoni di negara-negara Barat menunjukkan hasil yang mendukacitakan. Ini kerana sistem demokrasi adalah ber gantung kepada sejauhmana sesebuah komuniti percaya akan metod yang diaplikasikan dan sejauhmana metod tersebut mampu menawar kan keselamatan dan imuniti integriti data yang tinggi. Selaras dengan kemajuan teknologi, pengundi perlu diberikan pilihan mengundi yang sesuai dengan gaya hidup mereka dan ia mungkin boleh dilaksanakan di negara ini dalam pilihan pilihan raya selepas ini.

Bagaimanapun, pelaksanaan e-undi, mungkin juga boleh menimbulkan beberapa masalah seperti keselamatan, sistem pengkomputeran gagal berfungsi, pengodaman, ancaman virus, pengguna berasa kekok dan sebagainya. Dalam perkembangan ICT masa kini, tidak terdapat jaminan program tidak boleh dimanipulasi dan menghasilkan penyimpanan dan cetakan yang berlainan berbanding di skrin. Isu keselamatan lain termasuk memastikan semua pengundi dibenarkan membuang undi dan memastikan selepas itu undi akan disimpan dan dikira dengan tepat. Masalahnya pengundi juga perlu diyakinkan mengenai sistem e-undi. Jika tidak, peralihan metod baru dilihat gagal menyakinkan pengundi sekiranya premis asas sistem pilihanraya tidak dipenuhi.

Dalam Universal Declaration Human Right (UDHR), jelas menyatakan bahawa hak individu untuk menubuhkan kerajaan yang berautoriti mesti dizahirkan melalui iltizam(will of the people) dan sistem pilihanraya yang universal(acceptable) serta dijamin kerahsiaan undi. Artikel 21 ini terpakai tanpa membataskan status hierarki dalam masyarakat dan mahasiswa tidak terkecuali. Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR, Tan Sri Ab Rashid AB Rahman adalah individu yang bertanggungjawab mengendalikan, menguruskan sistem pilihanraya yang adil berkata pilihanraya yang diadakan hendaklah menepati kehendak dan keperluan rakyat disamping berusaha untuk memperkasakan amalan demokrasi. Sesuatu metod pengundian yang dibuat mesti meraih kepercayaan (credible) dan efektif. Selaras dengan keperluan sebuah negara yang membangun seperti Malaysia, e-undi dianggap tidak perlu digunakan buat masa kini. Sesuatu metod mengundi mesti absah untuk diterima penggunaan selagimana menepati kriteria pokok:

· Ketepatan undi
· Ketelusan( Transperacy )
· Kerahsiaan undi ( Secrecy of vote )
· Pengiraan dapat dilakukan dengan cepat.

Jika diperihatikan secara rambang, sistem e-undi telah mampu mengimbangi ciri-ciri tersebut tetapi bermain dengan sistem ber komputer juga mempunyai potensi untuk melakukan penipuan. Adakah dengan inginkan sesuatu yang bersifat advance dan baru, kita sanggup mengorbankan prinsip ketelusan dan ketepatan dalam proses pengundian.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Maklum Balas Keselamatan Makmal Keselamatan F-Secure Kuala Lumpur, Chia Wing Fei pula memaklum kan pemilihan calon pilihanraya melaui e-undi memudahkan pengundi tetapi ia turut menjadi isu apabila kata laluan yang digunakan dicuri sebelum mengundi dengan faktor mekanisme seperti dilihat dalam serangan virus Trojan. Kesan negatif utama yang dikesan dalam e-undi adalah persoalan integriti yang meyebabkan penipuan berlaku selain serangan daripada penggodam.

Kelemahan dan ketempangan E-undi
Prosedur perjalanan e-undi tidak boleh menafikan kelemahan yang wujud walaupun menggunakan sistem berkomputer bagi melicinkan proses pengundian. Beberapa siri pencabulan dan kebobrokan sistem pilihanraya kampus yang lepas yang terancang bagi memenangkan pihak tertentu dan pada masa sama menafikan hak kesamarataan (equality) dalam berpolitik secara sihat. Bersaing di atas padang yang tidak rata (unlevelled playing ground) memberi kelebihan kepada pihak tertentu menampakkan tahap kematangan yang dangkal lebih-lebih lagi kebebasan yang dituntut dalam sistem pilihanraya digelapkan.
Pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak HEP Universiti Malaya perlu melihat nilai-nilai teras amalan demokrasi yang mesti dikuatkan dari semasa ke semasa seperti penglibatan mahasiswa dalam pilihanraya yang masih pasif, pemantauan berkesan daripada badan bebas dan daftar pengundi yang autoritatif bukannya mempersoalkan tentang perkara teknikal metod yang harus digunakan.

Acuan demokrasi tempang yang dicedok seperti e-undi mesti diteliti dan dikaji secara konstruktif sebelum dilaksanakan kerana ditakuti lebih memburukkan keadaan tambahan pula mahasiswa diujikaji unutk menilai keberkesanan metod berteknologi tinggi. Penegasan dibuat oleh pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman yang menyatakan Malaysia belum bersedia melaksanakan e-undi dalam pilihanraya kerana dikhuatiri menimbulkan masalah daripada pihak ketiga. Menurutnya lagi tahap celik IT rakyat belum mencapai tahap maksimum.

Timbul mengatakan e-undi dilaksanakan di peringkat kampus kerana mahasiswa telah mempunyai tahap celik maklumat yang berpotensi mengendalikan komputer secara mahir dengan berhujahkan cekap dalam melayari Internet. Mereka sepatutnya didedahkan secara meluas tentang peri penting celik maklumat dalam konteks sebenar sebelum e-undi diperkenalkan. Konsep ini akan mampu menjadi mahasiswa mengakses maklumat untuk digunakan secara berkesan dan bijaksana. Ini diperjelaskan lanjut dalam Standard Kelayakan Celik Maklumat bagi Pengajian Tinggi dan telah menjadi asas kepada standard celik maklumat lain di luar Amerika Syarikat.

Ini perkara pokok yang terus dibincangkan apabila e-undi diperkenalkan dalam mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi tulen terutama kampus yang masih dianggap mentah dalam mengaplikasikan metod pengundian ini:

1. Kerahsiaan undi
2. Keselamatan dan integriti data-rosak,hacker
3. Kos Pengendalian sistem yang tinggi.
4. Pencabulan amalan demokratik kampus

Disini akan diterangkan berdasarkan hujah diatas:
Pertama:Kerahsiaan Undi
Dalam e-undi yang dilaksanakan di Universiti Putra Malaysia, mesin menggunakan sistem yang menghadkan hanya dibenarkan 16 calon bebas diundi dan pengesahan akan dibuat setelah selesai proses pengundian. Undian akan direkod terus dan perangkaan akan dilakukan pada kadar segera jika diperlukan. Pengundi akan dibekalkan dengan kata laluan sebelum membuang undi. Pengundian maya ini tidak memiliki bukti fizikal dan sebarang kemungkinan untuk melakukan penipuan adalah tinggi. Isu kerahsiaan undi sewajarnya dijadikan asas perbincangan e-undi kerana programmer akan mengetahui undi individu apabila kata laluan diedarkan daripada pihak pengurusan pilihanraya. Dalam pilihanraya terdahulu yang dijalankan, no.siri telah dijadikan senjata untuk mengetahui undi pelajar.

Kedua:Keselamatan dan Integriti Undi
Isu kritikal yang mendapat perhatian berhubung dengan keselamatan apabila terdedah kepada penggodam( hackers ) yang merosakkan sistem kendalian. Malah, bagi sesiapa yang memiliki akses mampu juga mengubah sistem apabila mereka memasukkan malware dan virus. Menurut buku karangan R Michael Alvarez dan Thad E Hall bertajuk Electronic Election: The Perils and Promises of Digital Democracy sebelum pengundian di AS pada 2004, pelbagai spekulasi mengenai masalah yang dikaitkan dengan e-undi. Penggunaan elektrik sebagai sumber untuk mengerakkan sistem ini kadangkala mengundang malapetaka apabila terputus bekalan elektrik. Integriti undi juga dipersoalkan apabila mesin yang merekodkan penjumlahan undi secara maya boleh dipertikai dengan pertambahan undi yang sukar untuk dikesan.

Ketiga:Kos Pemasangan dan Pengendalian yang tinggi
Software atau mesin yang digunakan dalam e-undi sememangnya mahal dan memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi. Tidak sekadar itu, pakar-pakar komputer tentang metod berteknologi tinggi akan didatangkan khas untuk mengendalikan mesin ini. Dilaporkan bahawa mesin yang digunakan di Brazil yang dikeluarkan oleh Diebold, mencatatkan harga 67 juta dollar Amerika dan syarikat ini terpaksa melatih petugasnya untuk mengawalatur mesin agar berjalan lancar. Pihak universiti terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang banyak semata-mata untuk memperbaharui metod pengundian. Kenapa tidak didahulukan kewangan yang ada kepada meningkatkan proses pembelajaran di universiti. Jangan kita terpaksa menggadaikan nilai intelektual universiti hanya kepentingan komersial pihak tertentu.

Keempat:Pencabulan Amalan Demokratik Kampus
Bermulanya pilihanraya tahun 2004 merupakan sejarah hitam dalam kamus demokrasi kampus apabila pihak HEP terang-terangan melakukan penyelewengan dengan dibantu dengan campurtangan politik luar bagi memenangkan Aspirasi untuk memegang teraju MPM seluruh kampus. Ugutan dan penyalahgunaan kuasa untuk tempoh berkempen serta beberapa salahlaku menampakkan insiden ini mencalar demokrasi. Tambahan pula, e-undi dilihat begitu kontradik dengan realiti sebenar masyarakat yang masih mengakui sistem pilihnraya secara memangkah kertas adalah terbaik berdasarkan keperluan rakyat. Mengapakah pihak universiti begitu bersungguh dalam melaksanakan e-undi sedangkan citra masyarakat di luar berbeza dari sudut amalan demokrasinya.
Mengapakah PRK tidak cuba memperbaiki keadaan parah sedia ada yang mengongkong kebebasan malah bersedia mengubah peraturan yang disifatkan drakonian. Manakah yang menjadi keutamaan antara maruah mahasiswa dengan sistem e-undi yang diagungkan. Bersama memperteguhkan amalan demokrasi kampus.

Rancakkan agenda memaknakan mahasiswa
Seharusnya mahasiswa perlu belajar banyak perkara di kampus termasuk etika hidup bermasyarakat kerana mereka akan keluar sebagai agen sinergi pencerahan minda. Hanya dengan kefahaman yang jitu, mereka akan beraksi dengan penuh iltizam untuk mengubah status sosioekonomi masyarakat. Modal insan yang baik hanya akan lahir daripada rahim universiti yang mengajar erti menghargai sebuah penghidupan sementara di alam kampus. Bertindaklah secara glokal dalam mendepani perubahan dalam ruang lingkup peluang yang ada. Generasi yang buta politik adalah mereka yang gagal memahami konteks hidup bermasyarakat disebabkan keengganan melibatkan diri dalam sebarang aktiviti sosial. Mari kita bina generasi yang kaya budi dan intelektual agar tidak menyesal di kemudian hari. Agar kita tidak dipersalahkan atas kebutaan generasi terkemudian yang bakal mewarnai marcaparda wawasan 2020.
Komen:
Penguasa lebih sanggup menang dengan cara tidak jujur daripada tewas secara terhormat. Tidak ada nilai jati diri serta maruh berkualiti dalam politik. Sama ada ballot, e-undi atau undian tangan, segala macam manipulasi diamal demi kuasa. Kuasa amat kuat pengaruhnya dan dengan itu diimpi. Kuasa yang tinggi selalu disalahguna untuk kepentingan diri. Lebih tinggi kuasa, lebih cenderung ia disalahgunakan untuk kepentingan peribadi.