Showing posts with label SMM. Show all posts
Showing posts with label SMM. Show all posts

Saturday, January 2, 2010

Ketelusan e-undi terus dipertikaikan
Abdul Rahim Sabri
Jan 2, 2010
Malaysiakini.com

Umumnya ketiga-tiga pemforum dalam majlis forum "E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus" di Universiti Malaya (UM) malam tadi mempersoalkan ketelusan dalam perlaksanaan pengundian secara elektronik (e-voting).

Mereka tidak menolak secara total sistem tersebut tetapi mempersoalkan kepercayaan pelaksanaan sistem tersebut yang "diragui dan boleh dimanipulasikan". Ini kerana ia tersebut dikawal oleh pihak pentadbiran universiti terutama dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM.

Ahli penal tersebut, Pengerusi Pro-Mahasiswa (Pro-M) Nasional Mohd Shafie Hashim (kanan) berkata mahasiswa khususnya di UM mempersoalkan integriti sistem e-undi yang merupakan satu perisian yang khas yang bangunkan untuk memudahkan proses pengundian dan pengiraan undi.

Katanya, pelaksanaan undi secara berkomputer "tidak patut" dilaksanakan di Universiti Malaya (UM).

"Mahasiswa tidak membantah sistem perlaksanaan e-undi, kerana kita tidak mampu untuk membahas tentang perisian dan kita tidak mempunyai kepakaran. "Yang kita persoalkan adalah intergriti sistem tersebut, kerana sistem tersebut sudah tentu dikawal oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP)," katanya bagi memulakan forum tersebut.

Mohd Shafie berkata perisian khas yang diperkenalkan untuk perlaksanaan sistem itu telah menyebabkan mereka mempersoalkan tahap ketelusan sistem tersebut boleh diragui.

Menurut Mohd Shafie lagi berdasarkan maklum balas dari pihak pentabdiran UM, mereka menjelaskan terdapat tiga rasional menggunakan sistem tersebut, antaranya, untuk memudahkan gerak kerja pentadbiran dan menjimatkan masa pengiraan undi yang sebelum ini memakan masa yang terlalu lama.

Beliau berkata, sekiranya, pihak pentadbiran melaksanakan e-undi dengan alasan untuk memudahkan kerja, maka lebih baik menyerahkan tugas tersebut kepada mahasiswa untuk melaksanakannya.

"Serah kepada pelajar sebagai SPR kampus, untuk memudahkan perlaksanaan e-undi... kita tidak menolak ICT, tapi kita soal intergriti lebih penting," katanya

Menurutnya lagi, pentadbiran UM tidak mendapatkan pandangan mahasiswa berhubung keputusan untuk melaksanakan sistem tersebut dalam pilihan raya kampus kali ini.

"Padangan mahasiswa tidak diambil kira. Ini adalah satu bentuk diskriminasi dalam perlaksanaan perkara baru dalam pilihan raya kampus di UM," katanya yang diminta mengulas kebaikan dan keburukan sistem tersebut.
Selain itu, beliau turut mendedahkan kelemahan sistem itu kerana wakil calon tidak diberi peluang untuk melihat perjalanan pengundian itu berlangsung.

Padangan Mohd Shafie kemudiannya disokong oleh ADUN Teja Chang Lih Kang (kanan) yang menjadi ahli panel kedua forum tersebut. Katanya, beliau bersetuju dengan sistem e-undi sekiranya ia membawa kebaikan dalam proses pendemokrasian dalam kampus di universiti.

Bagaimanapun, seperti Mohd Hashim, Chang turut mempertikaikan tahap ketelusan sistem tersebut sekiranya tidak mempunyai 'semak dan imbang' dalam proses pengundian dan pengiraan undi.
"Bagaimana kita boleh tentukan kertas undi yang dipangkah itu dapat dikira sebagai undi atau pun tidak. Kita tidak tahu. Bagaimana satu undi dikira dan perlunya ada semak dan imbang," katanya.

Dengan memberi contoh pengalamannya sebagai bekas aktivis mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2003, Chang berkata sistem e-undi diperkenalkan di kampus UPM pada tahun tersebut.

"Sebelum itu, empat lima tahun sebelum itu, kami menang besar. Dari 48 kerusi yang dipertandingkan kami menang lebih daripada 35 kerusi. Tetapi pada 2003, terus berubah, proaspirasi menang," katanya.

Katanya pada tahun itu seorang calon pro-M yang bertanding di Kolej Veterinar, hanya memperolehi satu undi. Perkara itu tidak mungkin berlaku kerana sekurang-kurangnya calon mendapat tiga termasuk melalui sokongan pencadang dan penyokongnya, tambahnya.

"Selepas disemak semula, bukan dapat satu undi tapi 81 undi. Jadi sistem ini tidak ada semak dan imbang. Penyelewangan boleh berlaku," katanya.

Bagaimanapun katanya terdapat negara yang mengamalkan e-undi antaranya seperti di Kanada, Brazil, India dan Perancis yang memberikan kebaikan kepada mereka.

"Tapi orang yang mengendalikan, kena ada kredibiliti. HEP ada tak?" soalnya kepada para hadirin.
"Kamu pikirlah sendiri," katanya disambut gelak ketawa para hadirin.


Tambahnya, beliau menggesa agar perlunya satu "padang yang sama rata" untuk memastikan ketelusan perlaksanaan sistem tersebut.

"Bukan soal menang atau kalah kerana menang bukan tradisi, kalah bukan boleh diwarisi. Ia boleh berlaku manipulasi," katanya sambil diiringi tepukan gemuruh hadirin. Sehubungan itu beliau mencadangkan kepada pihak pentadbir universiti khususnya UM agar tidak tergesa-gesa untuk melaksanakan sistem ini.

"Universiti mungkin ada niat yang bagus, tapi ada niat mesti dibawa bincang, tak boleh buat tergesa-gesa. Niat baik kita kena bincang, dapatkan konsesus terlebih dahulu kemudian laksanakan.

"Dapatkan persetujuan dari kedua-dua belah pihak. Kalau seorang sahaja bersetuju, kena tangguhlah perlaksanaannya," katanya.

Beliau mencadangkan agar menggunakan kaedah pengundian 'sentuh skrin', iaitu sistem pengundian elektronik menyentuh skrin dan ia dikira sebagai undi.
Pada masa yang sama, katanya, undian tersebut akan direkodkan oleh 'server' dan kertas undi akan dicetak yang telah ditanda pangkah akan keluar dan seterusnya dimasukkan ke dalam kotak.

Katanya, ini membolehkan calon membuat semakan terhadap jumlah kertas undi yang diperolehinya, sekiranya terdapat kesilapan pada pengiraan e-undi.

"Ini adalah salah satu daripada cara untuk mewujudkan demokrasi di dalam pilihan raya kampus," katanya. Sementara itu, pengerusi SMM Shazni Munir Mohd Ithnin (kanan) yang menggantikan Dr Abdul Aziz Bari berkata sistem demokrasi yang digunapakai pada hari ini adalah dari pengamalan Yunani sejak abad 5 sebelum masihi.

Katanya, tahap permahaman terhadap demokrasi umumnya di kalangan rakyat Malaysia amat menyedihkan.

"Kita masih tidak boleh kenal demokrasi. Dari kecil hingga besar kita tidak dididik dengan demokrasi," katanya.
Tegasnya, demokrasi secara asasnya adalah kuasa rakyat untuk menentukan bentuk pemerintahan yang diingini.

Beliau berkata, setahunya tidak ada negara yang mengamalkan amalan demokrasi sepenuhnya, sebab banyak elemen termasuk pemilihan presiden, sehinggakan terdapat presiden yang dipilih, cuba mempengaruhi keputusan yang telah dibuat.

"(Jadi) bagaimana kita boleh yakin dengan demokrasi di kampus, hanya sekadar membantah dengan memangkah di kertas undi?" soal Shazni Munir.
Menurutnya, mahasiswa tidak mempunyai masalah dengan kecanggihan teknologi tetapi beliau tidak mahu melihat teknologi itu menggangu perjalanan demokrasi di kampus.

"Kita tidak ada masalah dengan teknologi, tapi teknologi kena ikut demokrasi, bukan demokrasi kena ikut teknologi. Teknologi kena duduk di bawah demokrasi," katanya.

Forum tersebut anjuran Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, berlangsung selama satu jam setengah mulai jam 9.45 malam.

Walaupun menerima banyak tekanan dan halangan, pihak penganjur berjaya melaksanakan forum tersebut yang dihadiri lebih 200 pelajar daripada beberapa kampus utama di Lembah Klang antaranya Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Pensyarah terkenal Dr Abdul Aziz Bari yang merancang untuk menghadiri forum tersebut terpaksa membatalkan hasratnya kerana dikatakan menerima surat amaran daripada pentadbiran UIA.

Komen: Prof Aziz Bari sudah menjelaskan sebab ketidakhadirannya kerana bukan kerana tekan dari UIA, tetapi tekanan Pengurusan UM kepada penganjur, Lihat www.malaysiakini.com/news/121009. Pihak HEP seharusnya bebas dari sebarang pengaruh dalam mengengalikan pengurusan pilihanraya. Berilah kebebasan pelajar untuk berfikir secara bebas dan 3-4 tahun di kampus adalah masa yang amat semenatara. Barisan gerakan pelajar juga seharusnya bebas dari sebarang parti politik di luar kampus, bergerak untuk kebajikan pelajar, meningkatkan kualiti kehidupan dan pembelajaran di kampus. Mereka tidak harus menjadi boneka walau dari mana pihak sekalipun. Jika sering menyindir pemimpin yang menjadi boneka pengaruh besar, mereka juga harus bebas dari dibonekakan. Kedua-dua pihak harus 'merdeka' dalam keadaan yang sebenar dan menjadikan politik kampur bergerak sendiri untuk kepentingan pelajar, pembangunan akademik dan universiti.

Friday, December 11, 2009

Modul BTN rencam, tidak rasional — Muhammad Hilman Idham

The Malaysian Insider Dec 12, 2009

DIS 11 — ISU Biro Tata Negara (BTN) sudah menjadi bualan setiap anggota masyarakat lebih-lebih lagi apabila berlaku pertarungan mulut Datuk Seri Nazri Aziz dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Idea dan cadangan Kabinet negara untuk melakukan rombakan modul berkenaan mendapat tentangan Dr Mahathir yang mempertahankan bahawa ia baik dan tidak perlu dirombak.

Idea Dr Mahathir ini kemudian mendapat sokongan kebanyakan pimpinan Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri sendiri.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) turut mengeluarkan kenyataan pendirian berkenaan isu ini. Mungkin ramai yang menganggap bahawa mahasiswa sekadar ingin turut campur hal-hal politik.

Namun, saya berpandangan bahawa mahasiswa bertanggungjawab untuk turut bersuara menyatakan pendirian mereka kerana mahasiswa adalah antara kumpulan sasaran yang dikehendaki untuk menghadiri sesi BTN.

Suara mahasiswa kali ini selari dengan suara kebanyakan mantan pengendali BTN bahawa BTN adalah program yang tidak sihat. Penuh dengan hal-hal perkauman, memecahbelahkan masyarakat serta menekan peserta untuk taklid pada pihak-pihak tertentu.

BTN adalah sebuah program yang saya kira relevan jika dijalankan dengan modul dan cara implementasi yang baik dan penuh tanggungjawab untuk membangunkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat khususnya anak muda. Namun, malang kerana ia tidak begitu.

Kebanyakan mahasiswa yang menghadiri program ini kecewa kerana unsur-unsur perkauman masih lagi wujud. Mungkin pengendali belum sedar bahawa landskap politik sudah berubah dan idea-idea perkauman ini sudah mula ditolak keras oleh sebahagian besar masyarakat termasuk juga parti-parti komponen dalam Barisan Nasional.

Namun ada juga mahasiswa yang tidak bersetuju dengan usaha dan pendirian SMM untuk memboikot program BTN ini atas alasan pernah menghadiri dan ia ternyata menarik untuk mahasiswa.

Program BTN mempunyai pelbagai modul dan cara implementasi yang berbeza mengikut latar belakang peserta.

Penyertaan daripada peserta yang keseluruhannya Melayu akan mendapat layanan dan cara kendalian yang berbeza dengan penyertaan peserta yang keseluruhannya rencam dengan keterlibatan pelbagai kaum. Hal ini yang berlaku dalam BTN.

Namun, SMM tetap dengan prinsip menolak segala manipulasi dan agenda perkauman sempit bagi kepentingan sesetengah pihak. Idea membenci sesetengah individu juga adalah perkara yang ditolak kerana ia adalah menggunakan program agensi kerajaan ini sebagai alat untuk meraih sokongan.

Mahasiswa sebagai masyarakat kampus yang terpelajar seharusnya bijak dan sudah layak untuk menyatakan pendirian dan pandangan mereka.

Penolakan BTN dibuat atas dasar penolakan agenda perkauman yang dibawa, idea-idea yang memecahbelahkan masyarakat dan penggunaan agensi kerajaan sebagai alat untuk meraih sokongan politik.

Harus dibezakan parti politik dan kerajaan.

Ini adalah hasil daripada pengalaman kebanyakan mahasiswa yang telah menghadiri program berkenaan.

Sekiranya tetap mahu dipertahankan, ia tidak menjadi masalah yang besar. Sebaliknya kerajaan harus bersedia untuk mendedahkan modul dan cara implementasi yang diguna pakai dalam program ini.

Masyarakat saya kira sudah cukup matang untuk menilai dengan sendirinya.

Mahasiswa juga tidak melihat apa rasionalnya untuk mewajibkan penerima tajaan dan biasiswa kerajaan serta mahasiswa yang akan ke luar negara untuk menghadiri program berkenaan.

Pasti ada sebab mengapa mereka diwajibkan penyertaannya, namun ia tetap ditolak sekiranya ternyata ia dimanipulasikan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Oleh itu, atas semangat reformasi kepada perubahan yang lebih baik dan cocok dengan keadaan dan situasi semasa, saya kira relevan untuk dirombak dan dikaji semula.

Malah, sekiranya turut terbukti bahawa BTN tidak sihat dan digunakan sebagai alat untuk meraih sokongan pihak-pihak tertentu maka ia harus terus dimansuhkan segera.

Muhammad Hilman Idham merupakan pemimpin Solidariti Mahasiswa Malaysia

Komen:
Ramai sudah anak muda dan anggota perkhidmatan awam yang menyertai kurus BTN. Semua mereka telah melalui proses indoktrinasi yang sedemikian rupa. Daripada beberapa komen yang dihamburkan dengan imej negatif program ini ia telah melambangkan beberapa perkara seperti berikut..

1. Modul yang disediakan tidak dipatuhi... dan jika dipatuhi maka ternyata ia jelik. Daripada berbagai sungutan yang dihamburkan ternyata ia racist, jumud, dangkal dan sarat emosi.

2. Jika Dr. M atau YB lain mempertahankan modul ini, ada kemungkinan fasilitator tidak mematuhi modul yang disediakan. YB semua merasakan modul sudah cukup baik (pun tidak dapat dipastikan mereka sudah memeriksanya atau tidak) namun fasilitator yang bertindak bak lebih senduk dari kuah.

3. Atau apakah mereka tidak mahu mengaku bahawa BTN bukan untuk negara tetapi untuk pemeliharaan status quo. Agak mendukacitakan jika yang dipilih menjadi fasilitator terdiri dari anggota parti yang jumud. Mereka tidak mahu perbincangan atau tidak menerima bantahan mahupun kritikan peserta progam. Peserta yang mempersoal ajaran, akan dipenalise dalam program, menjadikan ia sunyi dari perbincangan.

4. Fasilitator hanya dilatih dengan ditanam matlamat mereka, tetapi tidak disediakan dengan pendidikan bermutu dalam pengajaran, psikologi pendidikan, asas pedagogi, berwacana secara sihat atau sekurang-kurangnya menerima budaya berwacana dan sederhana dalam perbincangan. Mereka sarat dengan emosi dan enggan memberi alasan atau respons yang rasional apabila dibantah oleh peserta.


Banyak lagi yang boleh dibangkitkan. BTN disuarakan akan disusun semula, ini juga sebagai lambang satu penerimaan hakikat secara tidak rasmi bahawa mereka tidak langsung bersifat One Malaysia.