Sdr Ahmad Lutfi |
Ref:HomeDetikdailyHarakahdailyAdmin Wednesday, March 27, 2013
UMUM maklum PRU13 memiliki keistimewaan dan keunikan tersendiri. Pemimpin politik, sama ada BN mahupun Pakatan Rakyat, ghairah memberi komentar dan sudut pandang. Masing-masing cuba menyuntik keyakinan bahawa mereka mampu menampilkan prestasi terbaik.
Wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN menemubual DR NIDZAM SULAIMAN, Prof Madya di Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, bagi mendapatkan analisis lebih kritis dan seimbang terhadap senario politik mutakhir. Bidang kepakarannya ialah pembangunan politik. Antara buku yang dihasilkannya ialah Pakatan Politik Sarawak (2006), Kamus Sains Politik: Politik Perbandingan (2007) dan Pilihan Raya dan Pembangunan Politik Sarawak (2009)
HARAKAH: Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac 2008, lebih diingati dengan istilah "tsunami politik". Sebagai seorang sarjana politik, mungkin Dr mempunyai rumusan lebih menyeluruh terhadap situasi politik negara kita sepanjang lima tahun ini. Mungkin ada perbedaan ketara berbanding keadaan sebelum itu?
NIDZAM: Perkara yang paling penting dalam keputusan PRU2008 ialah kejayaan pembangkang menafikan majoriti dua pertiga BN. Kejayaan ini hanya pernah dicapai dalam PRU1969. Beberapa kerajaan negeri juga jatuh ke tangan pembangkang, sekali gus menaikkan moral mereka, betapa perjuangan mereka dirasakan membuahkan hasil dan bukan impian semata-mata.
Apabila merujuk kepada undi popular (jumlah semua undi yang pembangkang perolehi tanpa mengira kerusi itu dimenangi atau tidak) pembangkang memperoleh lebih 49% dan BN lebih 50%. Undi elektoral (perbedaan kerusi) kelihatan majoriti BN jauh lebih banyak.
Ini juga menunjukkan betapa mereka merasa sudah semakin bertapak kuat, dan faktor kurang kerusi semata-mata kerana persempadanan yang sedia ada. Selepas PRU2008 itu lanskap politik Malaysia mula berubah. Persaingan menjadi lebih sengit, kebetulan pula banyak sekali PRK berlangsung.
Suara massa begitu lantang, ditambah dengan kemudahan media sosial dan kecanggihan teknologi maklumat yang mudah diperalat. Kuasa state atau pemerintah kelihatan amat tercabar dan mendesak mereka terpaksa mengubah pendekatan.
Zaman "listen listen listen" sudah berlalu dan ia mengejutkan publik apabila masih ada yang alpa ia sudah obsolete. BN juga kelihatan menyedari kedudukan ini dan berusaha memperbaiki ‘dacingnya’.
Namun ditakdirkan Tuhan pula banyak pula insiden menambah luka BN seperti PKFZ, Altantuya, Teoh Beng Hock -- SPRM dan lain-lain lagi, semua menyulitkan keadaan.
Publik pula bersama NGO meraikan keputusan PRU lepas dengan memperbanyak pertemuan, perarakan dan tuntutan. Pokoknya politik Malaysia memang melalui satu proses transformasi yang pantas.
Meskipun "politik baru", yang mementingkan perbahasan tentang isu-isu sejagat seperti ketelusan, good governance, keadilan, antirasuah, hak asasi manusia dan seumpamanya dikatakan semakin mendapat tempat, terutama bermula selepas Pilihan Raya Umum 1999, namun persoalan berkaitan isu perkauman dan keagamaan sempit juga dilihat masih dominan. Bagaimana Dr melihat "pertentangan" ini?
Keruntuhan tembok Berlin 1988 telah merobah tumpuan politik dunia. Ia diikuti rapat dengan keruntuhan USSR 1991 apabila satu persatu negeri di dalamnya mengisytihar kemerdekaan. Blok timur di Eropah juga tidak takut lagi dengan Rusia dan melepaskan ikatan.
Komunis tidak menjadi isu lagi di alam ini dan kerana itulah ada yang tertawa apabila ada yang mengaitkan elemen komunis dalam politik negara kita. Amerika Syarikat mendabik dada seolah-olah dia pemenang dalam Perang Dingin dan bermulalah zaman unilateralisme dengan perluasan pengaruh dan ideologinya.
Rata-rata semua pelosok dunia bercakap tentang isu sivil seperti partisipasi, hak asasi, transparensi, akauntabiliti, good governance, equality, gender empowerment dan sebagainya lagi. Diktator dunia juga kelihatan jatuh satu persatu, termasuk yang turun dengan aman seperti di Asia Tenggara ini.
Di benua Arab kelihatan perubahan lebih mendadak dan lebih merosak bangsa walaupun muncul jauh lebih kemudian. Negara yang selama ini kelihatan aman kini berhadapan dengan persaingan sengit Sunni vs Syiah.
Kosnya kelihatan menakutkan. Bahang ini tidak dapat disekat dari menyerap ke dalam Malaysia, maksudnya tuntutan mahukan perubahan dan elemen politik baru tadi.
Cuma di Malaysia kita tidak ada sejarah kejayaan radikalisme. Kemerdekaan negara diperoleh dari rundingan dan bukan melalui bambu runcing seperti Indonesia. Dan kerana itulah kedamaian kita masih dapat dipelihara.
Namun Malaysia menerima hakikat bahawa masyarakatnya masih majmuk dan pembinaan bangsa masih belum berjaya. Dengan itu semangat perjuangan berasaskan sentimen primordial seperti kaum, agama, bahasa dan kedaerahan masih terjelma.
Dalam masyarakat yang majmuk serta tahap pemikiran dan pendidikan yang berbeza maka pengeksploitasian sentimen kaum ini ternyata masih berhasil. Sebahagian besar masyarakat masih sukar beranjak kepada paradigma baru dan merasa gayat jika nasib anak bangsanya tidak dijamin dalam dekad mendatang. Itu makanya masih ramai yang menerima dokongan cauvinis kaum ini.
Kepada kumpulan sivil ini dilihat sebagai cauvinis, tetapi kepada mereka yang bimbang, ini persoalan hidup mati anak bangsa. Konflik ini yang sedang berlanjutan kini dan dipercayai akan tetap berterusan. Semangat kaum dan bangsa sebaiknya menjadi matlamat namun ramai yang tidak sedar ia sering menjadi alat.
PRU2008 juga dikatakan telah merintis jalan ke arah pembentukan "sistem dua parti". Apakah benar kita menuju ke arah itu dan sejauh mana kelebihan "sistem dua parti" kepada rakyat dan negara?
Saya kira Malaysia masih berada dalam tahap "trial and error" walaupun sudah agak terlambat berbanding dengan negara lain. Namun tidak mengapa kerana biar lambat asal selamat.
Selama ini sistem parti kita lebih bersifat satu parti dominan atau lebih tepat lagi satu gabungan parti dominan. Selagi BN tidak pernah tewas, selagi itulah sistem parti itu bersifat demikian walaupun majoriti dua pertiganya sudah boleh dicabar.
Dengan perkembangan yang berlaku kini memang kelihatan persaingan mendorong kepada penjelmaan sistem dua parti atau dua gabungan parti, tetapi di dalam politik ia masih menjadi tidak pasti.
Dengan andaian keadaan tidak berubah, perkembangan ini akan menjadikan politik Malaysia bersifat dua parti.
Namun dalam politik pelbagai perkara boleh berlaku. Politik merupakan seni serba mungkin, rakan hari ini boleh menjadi seteru paling berhantu keesokannya dan demikian juga musuh ketat politik secara tiba-tiba boleh menjadi partner muafakat dalam sekelip mata.
Tiada rakan dan musuh yang kekal dalam politik, yang kekal ialah kepentingan.
Dalam konteks ini daya tahan setiakawan Pakatan Rakyat menjadi penentu sama ada politik Malaysia akan menuju kepada sistem dua parti atau tidak. Jika mereka ampuh bertahan maka persaingan akan menjadi sihat silih berganti antara BN dan Pakatan.
Namun dalam suasana tanpa menentu, dengan pemimpin yang silih berganti dan mungkin kelak ada yang boleh dijual beli, maka gabungan boleh berubah. Ia boleh berlaku dalam mana-mana antara dua gabungan ini namun rekod setiakawan kelihatannya lebih ampuh dalam BN. Pakatan perlu meniti menimba kematangan ini.
Dalam gerakan atau proses pendemokrasian, masyarakat sivil memainkan peranan penting. Bagaimana Dr melihat perkembangan ini di Malaysia? Namun begitu, banyak pihak merasakan rakyat Malayia terlalu terikat dengan "politik kepartian" dan NGO yang terbabit dengan isu-isu politik juga agak jelas memihak kepada parti tertentu.
Ruang partisipasi di Malaysia agak terbuka meskipun dalam bahagian tertentu masih ada batasan. Penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) baru-baru ini merupakan langkah positif kerajaan dalam memulihkan masyarakat sivil Malaysia.
NGO yang bergerak pula banyak bentuknya dan kelihatan yang bersifat politik seperti NGO yang bergerak untuk kaum, hak asasi, kebebasan dan demokrasi kelihatannya terdorong menyokong parti tertentu. Sebab utamanya ialah isu yang diperjuangkan selari dengan isu yang diutarakan parti politik.
Namun sebenarnya jauh lebih banyak NGO dalam negara ini yang bebas daripada politik malah bersifat apolitikal. NGO perniagaan, sukan, seni, pencinta alam, minoriti dan sebagainya begitu banyak yang diam dalam isu politik.
Pendaftar Pertubuhan memiliki senarai sepenuhnya mereka ini. NGO sebaiknya bebas dari parti politik untuk kekal bergerak sebagai masyarakat sivil. Masyarakat sivil harus bersifat sivil dan bukan politikal. Apabila ia sudah memainkan isu politik sebaiknya ia berubah sahaja menjadi parti dan tidak bertopengkan NGO lagi.
PRU13 dilihat peluang terbaik untuk rakyat Malaysia memilih kerajaan persekutuan yang baru. Buat pertama kalinya juga BN dilihat tergugat dengan teruk sekali. Pada pandangan Dr, apa sebenarnya yang menjadi pertimbangan utama kepada para pengundi kali ini?
Melalui perhimpunan Bersih dan lain-lainnya kelihatan seperti ramai yang mahukan perubahan. Suara di dalam media sosial serta komen-komen dalam akhbar online serta blog juga semacam memperlihatkan BN amat terhimpit.
Seperti yang dibincang tadi, pengundi mahukan perubahan dan mula mendesak kepada hak sivil dan integriti universal yang dibincang di atas. Namun kita tidak harus memperkecil golongan yang senyap, yang tidak turun berarak, yang menjadi suri rumah dan yang tegar dengan status quo serta terlalu bimbang dengan masa depan nasib anak bangsa mereka.
Saya kira persaingan tetap panas dan hebat dan bukannya knock out yang mudah. Cuma kita harapkan persaingan dan pengisytiharan keputusan berjalan dengan baik dan diterima dengan baik.
Kematangan ini menjadi lambang tahap tamadun bangsa. Sekiranya 'kecoh' selepas PRU maka Malaysia masih belum cukup matang. Kedua-dua pihak harus gentlemen menerima keputusan.
Berbicara soal PRU13 tidak dapat lari daripada membuat jangkaan atau ramalan terhadap keputusannya nanti. Pelbagai tinjauan pendapat dan kaji selidik dilakukan, termasuk di universiti, malah Majlis Profesor Negara sendiri. Boleh Dr singgung sedikit hal ini?
Dapatan survei tergantung kuat kepada metodologi dan tidak keterlaluan juga kalau dikatakan terdapat dapatan yang tergantung juga kepada penajanya. Sudah tentu kepada publik mereka mengharapkan dapatan yang telus dan bebas dari sebarang pengaruh.
Masalahnya yang menjalankan survei juga adalah manusia biasa. Dapatan yang berbeza dari kumpulan survei yang bebeza memperlihatkan kecenderungan ini. Kajian seperti ini biasa dilakukan bagi membantu pihak yang bersaing memperbaiki kelemahan apabila mengetahui bahagian mana yang perlu diperkukuhkan.
Namun kelihatannya kini ia lebih diminati untuk menjadi ramalan kepada keputusan PRU. Apa yang ramai pengkaji tidak sedar ialah survei hanya dibuat kepada orang ramai yang sah menjadi pengundi.
Akhir-akhir ini sudah terdedah pelbagai cerita ‘warga segera’ seperti yang terdapat di dalam media tempatan. Pemimpin yang didakwa juga tidak menafikan. Jika benar dakwaan ini apakah mereka tidak upaya mempengaruhi undi dan keputusan?
Banyak kajian hanya dapat melihat bahagian atas bongkah ais di permukaan laut tetapi sukar menyelami sebahagian besar bongkah ais itu yang berada di dalam laut tersebut. Selalunya bahagian ais yang tidak nampak itu lebih besar.
Selama ini, Sabah dan Sarawak dianggap "simpanan tetap" buat BN. Namun kali ini, terutama untuk peringkat kerusi Parlimen, kedua-dua negeri itu dijangka menjadi penentu siapa yang menguasai Putrajaya dan BN tidak lagi selesa dengannya. Dr pula melihat bagaimana?
Sejarah mempelihatkan Sarawak lebih tepat menjadi simpanan tetap BN. Sejarah Sabah agak berbeza.
Berbanding dengan Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang ternyata rekod Sabah lebih banyak bergolak. Siapa yang tidak ingat dengan dekad 1980an dan awal 1990-an dahulu.
Suasana lebih selamat lebih ketara di empat negeri semenanjung itu.
Politik Sabah memiliki cirinya tersendiri. Memang beberapa dekad akhir ini kelihatan ia cenderung kepada BN. Namun pengundi di sini boleh berubah sekelip mata, berbeza dengan pengundi negeri lain. Inilah keistimewaan budaya politik Sabah. Faktor kepimpinan agak ketara.
Sejak dari dahulu, Tun Fuad, Datu Mustapha dan Tan Sri Pairin begitu kuat mewarnai politik negeri ini dan mereka mampu memobilisasi sokongan. Cuma dalam suasana politik Sabah kini apakah sudah terdapat pemimpin yang sedemikian. Walaupun Tan Sri Pairin masih ada, apakah beliau sama dengan Pairin dan PBS dekad 1980-an dahulu.
Saya percaya ramai yang boleh menilainya dengan mudah. Atau apakah sudah muncul pemimpin lain yang setara? Pun begitu Sabah sudah tidak dapat dianggap simpanan tetap. Seperti Sarawak beberapa kerusi negeri sudah pun lupus daripada cengkaman.
Dalam PRU13 bukan sahaja prestasi BN dihakimi, malah rekod kerja Pakatan di negeri-negeri yang dimenanginya juga akan dinilai pengundi. Ketika Dato' Seri Najib Razak mengemukakan pelan transformasinya, Pakatan juga melaksanakan pembaharuannya. Tentu Dr ada tanggapan tersendiri terhadap situasi menarik ini.
BN memiliki pengalaman dan kerjasama antara parti yang mantap. Pakatan masih baru memimpin negeri namun dalam rekod yang baru sepenggal, ternyata terdapat pencapaian yang positif.
Lihat sahaja perkembangan di Pulau Pinang dan Selangor, apa lagi dengan rekod analisis ekonomi dan Laporan Ketua Audit Negara yang baik terhadap mereka.
Sepatutnya ini yang menjadi faktor pengundian dan golongan peniaga atau pelabur melihat ini secara dekat. Namun dalam politik negara ini orang ramai tidak sensitif dengan KPI atau pencapaian ini. Pelbagai faktor kepartian, kepimpinan dan isu lain yang menarik sokongan mereka.
Lanskap politik Malaysia, terutama sejak 1998, tidak dapat dipisahkan daripada sosok Anwar Ibrahim. Bagaimana Dr melihat pengaruh dan impak peribadi Ketua Pembangkang ini dalam PRU13 nanti.
Pengaruh tokoh ini jelas kelihatan apabila politik negara berubah setelah beliau dibebaskan dari penjara. Walaupun kepimpinan itu penting namun terlalu bergantung kepada seorang pemimpin boleh membahayakan parti dalam jangka masa panjang.
Satu perkara yang jarang mereka fikirkan, bagaimana Pakatan setelah beliau tiada, dan dalam umur sedemikian, berapa lama lagi beliau boleh aktif.
Dasar dan matlamat perjuangan harus menjadi keutamaan dan bukan ketokohan. Pemimpin datang dan pergi. Namun parti tetap ada. Bagaimana hubungan PAS dan DAP selepas Anwar jika selama ini dilihat ketokohan beliau menjadi penyatu.
Pengkaderan seharusnya berjalan terus bagi memastikan kepimpinan berganti baik. Keadaan yang sama juga berlaku kepada BN. Ternyata goyah selepas Tun Mahathir bersara. Demikian keadaannya jika penyokong terlalu bergantung kepada tokoh.
Apa isu-isu besar yang Dr jangka akan menjadi perdebatan semasa kempen nanti? Bagaimana dengan dakwaan kemungkinan ia akan menjadi kempen "terkotor" sepanjang sejarah pilihan raya negara kita?
Isu-isu ini sudah pun muncul sekarang seperti yang banyak tersebar dalam media online. Semakin banyak pendedahan dibuat dan semakin banyak akan muncul lagi. Saya lebih memikirkan perjalanan pilihan raya itu sama ada bersih atau tidak, bukan kempennya.
Akhir sekali, kalau tidak keberatan, boleh jelaskan impian Dr terhadap masa depan budaya politik di Malaysia ...
Persaingan yang sihat di samping menghormati peruntukan Perlembagaan yang sudah termaktub. Perubahan perlu seperti mana kita meniti perubahan ekonomi, sosial dan sebagainya. Namun sudah tentu kita mahukan perubahan dalam kedamaian.