Showing posts with label Mohamed Hanipa Maidin. Show all posts
Showing posts with label Mohamed Hanipa Maidin. Show all posts

Tuesday, May 12, 2009

Perjalanannya Masih Jauh dan Menyulitkan...

Penjelasan Peguam Nizar
May 13th, 2009 MOHAMED HANIPA MAIDIN

Saya percaya ramai ingin mengetahui sama ada keputusan Hakim Mahkamah Rayuan, Dato Ramly Ali menggantung pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi bermakna Zambry adalah Menteri Besar Perak yang sah? Sebelum saya menjawab soalan tersebut, elok rasanya saya berkongsi dengan pembaca tentang perintah-perintah yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi pada 11 hb Mei yang lalu.

Mahkamah Tinggi ketika mana membenarkan permohonan Dato Seri Nizar Jamaluddin memerintahkan seperti berikut :-

a. Berkenaan tafsiran Fasal 16 (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak bahawa dalam keadaan di mana :

(i) Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan ingin, dan telah member nasihat, untuk pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

(ii) tidak terdapat pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

(iii) tidak terdapat usul tidak percaya yang diambil dan diterimapakai dalam dan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan; dan

(iv) tidak terdapat perletakan jawatan mentri besar Negeri Perak Darul Ridzuan; Mahkamah mengisytiharkan jawatan Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan (yang dipegang secara sah oleh Nizar ) tidak boleh dan/atau tidak dikosongkan.

b. Perintah “quo warranto” dikeluarkan kepada Zambry (Responden) memerintahkan beliau untuk tunjuk sebab dan memberi maklumat bagaimana dan di bawah dasar atau kuasa atau authoriti mana beliau berhak kononnya memegang jawatan Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan dan kononnya bertindak dan/atau menjalankan dan/atau melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab, fungsi-fungsi dan tugas-tugas Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan.

c. Perintah deklarasi bahawa Zambry TIDAK BERHAK untuk dan/atau TIDAK MENJAWAT jawatan Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan dan BUKANNYA Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan pada bila-bila masa yang material.


d. Perintah injunksi untuk menghalang Zambry dan/atau agen-agen beliau dan/atau pengkhidmat- pengkhidmat beliau (seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, SUK) dari bertindak dan/atau menjalankan dan/atau melaksanakan tanggungjawab- tanggungjawab, fungsi-fungsi dan tugas-tugas Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan. Itulah perintah-perintah yang Mahkamah Tinggi keluarkan pada 11 hb Mei yang lalu yang sekali gus menunjukkan secara jelas dan terang bahawa Dato Seri Nizar (bukannya DS Zambry) adalah Menteri Besar Negeri Perak yang sah.

Pada asalnya selain daripada perintah-perintah tersebut , Nizar juga memohon perintah gantirugi. Namun di atas kesedaran bahawa wang bukanlah matlamat tindakan Mahkamah ini, maka Nizar telah menarik balik tuntutan gantirugi. Jika tidak ditarik terdapat kemungkinan besar Mahkamah Tinggi juga akan menganugerahkan gantirugi kepada Nizar yang mungkin jika ditaksirkan akan mencecah jumlah yang agak tinggi.

Nizar juga tidak memohon agar Zambry perlu membayar kos kepada beliau meskipun menjadi satu prinsip undang-undang pihak yang kalah seperti Zambry perlu membayar kos kepada pihak yang menang (iaitu Nizar). Jika Nizar tidak menarik balik perintah kos tersebut saya boleh bayangkan ratusan ribu ringgit yang mungkin Zambry perlu membayar kepada Nizar. Sekali lagi matlamat kewangan bukan faktor yang mendorong Nizar mencabar Zambry di Mahkamah.

Sekarang saya akan menjawab persoalan yang timbul di awal artikel ini. Permohonan untuk penggantungan pelaksanaan penghakiman (stay of execution of judgment) selalunya dipohon oleh pihak yang kalah dalam mana-mana prosiding Mahkamah. Permohonan tersebut selalunya dibuat bagi mengekalkan status quo iaitu supaya pihak yang menang tidak boleh menikmati perintah yang diberikan oleh Mahkamah.

Dalam kes ini sebenarnya peguam Zambry telah pada 11 hb Mei memohon secara lisan perintah penggantungan pelaksaanaan tersebut di Mahkamah Tinggi tetapi Mahkamah telah menolak permohonan Zambry tersebut.

Maka Zambry telah pada hari ini (12 Mei) memohon perintah tersebut di Mahkamah Rayuan dan peguam Nizar telah membantah permohonan tersebut. Dari segi undang-undang prinsip yang terpakai bagi permohonan penggantungan pelaksanaan adalah pihak yang memohon tersebut perlu menunjukkan dan meyakinkan Mahkamah bahawa terdapat keadaan yang istimewa atau unik (special circumstances) yang menwajarkan perintah yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi tidak boleh dinikmati oleh Nizar.

Dalam kes ini nampaknya Mahkamah Rayuan berpendapat wujudnya keadaan istimewa tersebut tetapi kita masih kabur apakah yang keadaan istimewa tersebut kerana saya difahamkan Mahkamah masih belum mengeluarkan alasan penghakiman (dan mungkin tidak akan mengeluarkan alasan).

Selalunya jika pun Mahkamah membenarkan perintah penggantungan pelaksanaan Mahkamah akan juga dalam masa yang sama mengenakan syarat-syarat tertentu. Peguam Nizar meminta Mahkamah mengenakan beberapa syarat kepada Zambry namun meskipun peguam Zambry iaitu Dato’ Cecil Abraham pada dasarnya bersetuju syarat dikenakan ke atas Zambry, Peguam Negara pula menentang syarat dikenakan ke atas Zambry.

Adalah jelas dan nyata sejak dari awal Peguam Negara iaitu Ghani Patail tidak pernah menunjukkan sikap neutral di dalam kes ini. Beliau sejak awal menunjukan sikap memihak kepada Zambry meskipun berselindung di sebalik topeng penjaga kepentingan awam. Sikap beliau dari awal menunjukkan beliau adalah penjaga kepentingan Umno.

Peguam Negara sejak awal bersungguh ingin mematikan kes Nizar. Beliaulah yang memohon merujuk kes ini ke Mahkamah Persekutuan di bawah seksyen 84 Akta Mahkamah Keadilan. Di Mahkamah Persekutuan beliau kalah dan kes Nizar masih hidup. Selepas itu beliau sekali lagi menentang bermati-matian agar Mahkamah tidak membenarkan Nizar meneruskan permohonan semakan kehakiman dengan alasan kononnya Nizar mencabar kuasa Sultan Perak. Sekali lagi, Mahkamah tolak hujah beliau dan kes Nizar diteruskan.

Semasa kes Nizar berjalan, beliau sekali lagi berhujah dan memohon Mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman (judicial review) Nizar. Sekali lagi Mahkamah Tinggi menolak bulat-bulat keseluruhan hujah beliau. Tiada satu pun hujah Peguam Negara yang diterima oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi.

Akhirnya saya ingin jelaskan di sini perintah penggantungan pelaksanaan BUKAN perintah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi. Keputusan Mahkamah Tinggi masih sah dan mengesahkan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah dan Zambry adalah Menteri Besar yang haram.

Oleh kerana menteri besar haram merayu mungkin Mahkamah rayuan berpendapat bagilah peluang menteri besar haram tersebut pegang jawatan tersebut sehingga rayuan beliau diputuskan sebab bukankah sejak dari awal beliau telah ketagih dan mabuk dengan kuasa sehingga sanggup membenarkan partinya merompak Kerajaan sah yang diterajui oleh Menteri Besar yang sah dan dipilih secara sah oleh rakyat Perak.

Komen:
Kemelut ini tidak akan selesai semudah yang dijangkakan setelah muncul keputusan Nizar merupakan MB yang sah. Memang beliau merupakan MB yang sah di peringkat Mahkamah Tinggi setakat ini. MB BN merayu ke peringkat Mahkamah Persekutuan dan kita tunggu keputusan tersebut. Di samping itu BN sedang berusaha keras untuk mengadakan sidang segera bagi membolehkan mereka membuat undi tidak percaya kepada MB Nizar. Sesegera itu juga Nizar ke Istana memohon DUN dibubarkan. Semacam kedua-dua sedang berlumba bila keputusan Mahkamah Persekutuan diisytiharkan nanti. Dari sini timbul pelbagai persoalan yang amat kompleks yang merumitkan lagi kemelut ini seperti berikut...
i. Apakah istana akan bersetuju untuk membubar dewan?.. saya agak pesimistik pada peringkat ini (berasaskan sikap sebelum ini),

ii. Apakah undi tidak percaya yang bakal dibawa oleh BN nanti itu sah? i.e. apakah 'speaker' Ganesan yang dilantik secara koboi itu sah?
iii. Memandangkan belum lagi mengangkat sumpah, apakah boleh 'speaker' baru itu mengendalikan dewan?

iv. Nizar masih menyatakan sidang 7 Mei lepas tidak sah kerana tidak menurut peraturan. Dengan itu apakah semua yang dilantik pada masa itu sah?

v. Kenapa proses mendengar rayuan Zambry didengar oleh seorang Hakim sahaja, sedangkan proses biasanya memerlukan tiga hakim..?

Banyak lagi yang menimbulkan kemusykilan dari penyelesaian dari kemelut yang berpanjangan ini. Hampir semua pihak mendesak kepada pilihanraya baru kecuali BN. Suhakam & pemimpin veteran Ku Li telah turut mendesak dan lebih 40 NGO telah menyerah memo menuntut kuasa dikembalikan kepada orang ramai. Bagi yang masih bermimpi dan syok sendiri tetap tidak nampak akan keperluan itu. Teringat saya kepada frasa popular Lord Acton...Power tends to corrupt and absolute power corrupts absolutely...

Saturday, April 18, 2009

Bak kata Chomsky: "Manufacturing Consent" utk Hegemoni

Zambry dan enam Adun BN tidak boleh hadiri sidang Dun Perak
Mohamed Hanipa Maidin Fri Apr 17, 09 10:14:14 pm sangkancil@googlegroups.com

Saya sedar ramai yang ingin tahu kesan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu yang memutuskan bahawa keputusan V.Sivakumar, Speaker Perak menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya hadir di Dun Perak selama 18 bulan dan 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.

Ramai yang bertanya saya adakah keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam exconya kini boleh menghadiri sidang Dun Perak?Jika kita melihat kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar pro-Umno seperti Utusan Malaysia (17.4.2009) mereka dengan tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa Zambry dan enam exconya kini dibenarkan menghadiri sidang Dun Perak yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.

Sebagai salah seorang peguam yang terlibat dalam kes tersebut, saya menasihati rakyat agar tidak terkeliru dengan kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar Umno tersebut. Banyak yang mereka sembunyikan dan tidak jelaskan tentang apa yang sebenarnya berlaku di Mahkamah Persekutuan pada tarikh tersebut. Marilah kita mulakan dengan melihat apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya di dalam saman yang mereka kemukakan ke atas Sivakumar di Mahkamah Tinggi dan kemudiannya didengar di Mahkamah Persekutuan.

Sebenarnya Zambry telah memohon sepuluh (10) perintah Mahkamah dan dari sepuluh perintah tersebut Mahkamah hanya membenarkan dua (2) perintah sahaja. Dua perintah yang dibenarkan oleh Mahkamah adalah seperti berikut:

Pertama, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang Zambry hadir di Dun Perak selama 18 bulan.

Kedua, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang enam exco Zambry untuk hadir di Dun Perak selama 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.

Lapan permohonan Zambry tidak dilulus Mahkamah. Itu sahaja dua perintah yang Mahkamah Persekutuan benarkan pada 16 April lalu. Tidak lebih dari itu. Apa sahaja kenyataan dari peguam Umno selain dari dua perintah tersebut bukanlah perintah Mahkamah sebaliknya adalah kenyataan mereka yang tidak berasas.

Memandangkan Mahkamah Persekutuan hanya membenarkan dua perintah di atas, adalah jelas Mahkamah tidak membenarkan lapan (8) perintah lain yang juga dipohon oleh Umno dan dihujahkan oleh para peguam Zambry dan pasukan peguam Sivakumar.

Apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya tetapi tidak dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan? Mari sama-sama kita saksikan lapan perintah yang TIDAK DIBENARKAN tersebut. Meskipun peguam Umno berhempas pulas dan bermati-matian berhujah, Mahkamah Persekutuan TIDAK MEMBENARKAN perintah-perintah berikut:

1. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar (defendan pertama di dalam kes tersebut) menggantung dan melarang Plaintif Pertama (Zambry) menghadiri pada sidang Dun selama 18 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

2. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry menghadiri sidang DUN selama 18 bulan adalah menyalahi undang-undang.

3. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Plaintif ke-2 hingga Plaintif ke-7 (enam Exco) menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

4. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang enam Exco menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah menyalahi undang-undang.

5. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Zambry dan enam Exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka di dalamnya.

6. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya menghadiri sidang Dun Perak.

7. Perintah untuk mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan apa-apa arahan, perintah dan/atau petunjuk Sivakumar yang berbangkit daripada atau berhubung dengan keputusan Sivakumar yang bertarikh 18.2.2009.

8. Perintah-perintah, perisytiharan dan/atau relif lain yang difikir suaimanfaat oleh Mahkamah.

Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa lapan perintah di atas yang Zambry dan enam exconya pohon TIDAK DIBENARKAN oleh Mahkamah Persekutuan. Atas dasar itu jika peguam Umno atau akhbar pro-Umno mengatakan bahawa Zambry dan enam exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak, jelas kenyataan itu bukan datang dari mana-mana perintah Mahkamah sebaliknya ianya hanya kenyataan tidak berasas dari peguam Umno dan akhbar mereka.

Kenyataan tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi undang-undang. Rakyat tidak perlu melayan kata-kata mereka yang dibuai khayalan tersebut. Bagaimanakah Umno boleh mengatakan keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam Exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak sedangkan Mahkamah dengan secara jelas tidak membenarkan perintah yang mereka pohon iaitu perintah bahawa Zambry dan enam exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka dalamnya.

Kalau perintah tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan barulah mereka boleh mengatakan Zambry dan enam exconya boleh ke sidang Dun Perak. Saya harap penjelasan di atas sedikit sebanyak dapat menjelaskan bahawa apa yang Umno kata di media massa adalah tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.

Sivakumar masih Speaker dan beliau masih berbisa. Jika Umno terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan tidak mustahil mereka mungkin akan dipatuk oleh Sivakumar dan saya percaya patukan selepas ini akan membuat Umno menderita lebih panjang. Saya juga ingin tegaskan di sini apabila Zambry dan enam exconya membawa kes mereka di Mahkamah dengan mencabar keputusan Sivakumar sebagai Speaker yang sah, mereka mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan satu kesalahan kerana mendedahkan dokumen-dokumen rasmi Dun Perak tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Sivakumar sebagai Speaker. Marilah kita sama-sama tunggu dan lihat apakah yang berlaku selepas ini.
Nota: Penulis ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan hak Asasi Manusia PAS Pusat (Warna, italic & bold - tambahan saya sendiri).

Komen:
Dalam kes ini bermakna penggantungan Zambry dan enam exco lain dibatalkan oleh mahkamah, namun mahkamah tidak menyatakan keputusan speaker itu menyalahi undang-undang. Sivakumar juga tidak ditarik kuasanya seperti dalam perkara 7 di atas dan beliau yang masih berhak memanggil persidangan DUN dan bukan Setiausaha DUN seperti yang dibuat sekarang. Panggilan sekarang ini dianggap mengengkari keputusan mahkamah. Kita lihat bagaimana tindakan mahkamah selepas ini.
Teringat kepada tulisan Noam Chomsky & Herman, Manufacturing Consent... bagaimana state atau penguasa mengguna segala agensi pemerintahan dan media untuk terus menerus mengkonstruksi pemikiran dan persepsi orang ramai. Pengaruh media yang kuat, sehari-hari menanam maklumat dan berita, boleh membina satu kefahaman yang sehala walaupun ada maklumat yang diberi tidak sepenuh benar. Namun apabila khalayak menyebutnya, menyampaikan kepada yang lain bahawa 'ia mendengar sendiri dari berita media sebentar tadi' seolah-olah menggambarkan bahawa ianya benar dan tepat. Pihak yang menjadi mangsa boleh dilihat sebagai engkar kepada keputusan mahkamah. Malah apa yang tidak disedari ialah orang ramai sendiri sebenarnya yang menjadi mangsa apabila tertipu sekering-keringnya.