Friday, December 11, 2009

Modul BTN rencam, tidak rasional — Muhammad Hilman Idham

The Malaysian Insider Dec 12, 2009

DIS 11 — ISU Biro Tata Negara (BTN) sudah menjadi bualan setiap anggota masyarakat lebih-lebih lagi apabila berlaku pertarungan mulut Datuk Seri Nazri Aziz dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Idea dan cadangan Kabinet negara untuk melakukan rombakan modul berkenaan mendapat tentangan Dr Mahathir yang mempertahankan bahawa ia baik dan tidak perlu dirombak.

Idea Dr Mahathir ini kemudian mendapat sokongan kebanyakan pimpinan Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri sendiri.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) turut mengeluarkan kenyataan pendirian berkenaan isu ini. Mungkin ramai yang menganggap bahawa mahasiswa sekadar ingin turut campur hal-hal politik.

Namun, saya berpandangan bahawa mahasiswa bertanggungjawab untuk turut bersuara menyatakan pendirian mereka kerana mahasiswa adalah antara kumpulan sasaran yang dikehendaki untuk menghadiri sesi BTN.

Suara mahasiswa kali ini selari dengan suara kebanyakan mantan pengendali BTN bahawa BTN adalah program yang tidak sihat. Penuh dengan hal-hal perkauman, memecahbelahkan masyarakat serta menekan peserta untuk taklid pada pihak-pihak tertentu.

BTN adalah sebuah program yang saya kira relevan jika dijalankan dengan modul dan cara implementasi yang baik dan penuh tanggungjawab untuk membangunkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat khususnya anak muda. Namun, malang kerana ia tidak begitu.

Kebanyakan mahasiswa yang menghadiri program ini kecewa kerana unsur-unsur perkauman masih lagi wujud. Mungkin pengendali belum sedar bahawa landskap politik sudah berubah dan idea-idea perkauman ini sudah mula ditolak keras oleh sebahagian besar masyarakat termasuk juga parti-parti komponen dalam Barisan Nasional.

Namun ada juga mahasiswa yang tidak bersetuju dengan usaha dan pendirian SMM untuk memboikot program BTN ini atas alasan pernah menghadiri dan ia ternyata menarik untuk mahasiswa.

Program BTN mempunyai pelbagai modul dan cara implementasi yang berbeza mengikut latar belakang peserta.

Penyertaan daripada peserta yang keseluruhannya Melayu akan mendapat layanan dan cara kendalian yang berbeza dengan penyertaan peserta yang keseluruhannya rencam dengan keterlibatan pelbagai kaum. Hal ini yang berlaku dalam BTN.

Namun, SMM tetap dengan prinsip menolak segala manipulasi dan agenda perkauman sempit bagi kepentingan sesetengah pihak. Idea membenci sesetengah individu juga adalah perkara yang ditolak kerana ia adalah menggunakan program agensi kerajaan ini sebagai alat untuk meraih sokongan.

Mahasiswa sebagai masyarakat kampus yang terpelajar seharusnya bijak dan sudah layak untuk menyatakan pendirian dan pandangan mereka.

Penolakan BTN dibuat atas dasar penolakan agenda perkauman yang dibawa, idea-idea yang memecahbelahkan masyarakat dan penggunaan agensi kerajaan sebagai alat untuk meraih sokongan politik.

Harus dibezakan parti politik dan kerajaan.

Ini adalah hasil daripada pengalaman kebanyakan mahasiswa yang telah menghadiri program berkenaan.

Sekiranya tetap mahu dipertahankan, ia tidak menjadi masalah yang besar. Sebaliknya kerajaan harus bersedia untuk mendedahkan modul dan cara implementasi yang diguna pakai dalam program ini.

Masyarakat saya kira sudah cukup matang untuk menilai dengan sendirinya.

Mahasiswa juga tidak melihat apa rasionalnya untuk mewajibkan penerima tajaan dan biasiswa kerajaan serta mahasiswa yang akan ke luar negara untuk menghadiri program berkenaan.

Pasti ada sebab mengapa mereka diwajibkan penyertaannya, namun ia tetap ditolak sekiranya ternyata ia dimanipulasikan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Oleh itu, atas semangat reformasi kepada perubahan yang lebih baik dan cocok dengan keadaan dan situasi semasa, saya kira relevan untuk dirombak dan dikaji semula.

Malah, sekiranya turut terbukti bahawa BTN tidak sihat dan digunakan sebagai alat untuk meraih sokongan pihak-pihak tertentu maka ia harus terus dimansuhkan segera.

Muhammad Hilman Idham merupakan pemimpin Solidariti Mahasiswa Malaysia

Komen:
Ramai sudah anak muda dan anggota perkhidmatan awam yang menyertai kurus BTN. Semua mereka telah melalui proses indoktrinasi yang sedemikian rupa. Daripada beberapa komen yang dihamburkan dengan imej negatif program ini ia telah melambangkan beberapa perkara seperti berikut..

1. Modul yang disediakan tidak dipatuhi... dan jika dipatuhi maka ternyata ia jelik. Daripada berbagai sungutan yang dihamburkan ternyata ia racist, jumud, dangkal dan sarat emosi.

2. Jika Dr. M atau YB lain mempertahankan modul ini, ada kemungkinan fasilitator tidak mematuhi modul yang disediakan. YB semua merasakan modul sudah cukup baik (pun tidak dapat dipastikan mereka sudah memeriksanya atau tidak) namun fasilitator yang bertindak bak lebih senduk dari kuah.

3. Atau apakah mereka tidak mahu mengaku bahawa BTN bukan untuk negara tetapi untuk pemeliharaan status quo. Agak mendukacitakan jika yang dipilih menjadi fasilitator terdiri dari anggota parti yang jumud. Mereka tidak mahu perbincangan atau tidak menerima bantahan mahupun kritikan peserta progam. Peserta yang mempersoal ajaran, akan dipenalise dalam program, menjadikan ia sunyi dari perbincangan.

4. Fasilitator hanya dilatih dengan ditanam matlamat mereka, tetapi tidak disediakan dengan pendidikan bermutu dalam pengajaran, psikologi pendidikan, asas pedagogi, berwacana secara sihat atau sekurang-kurangnya menerima budaya berwacana dan sederhana dalam perbincangan. Mereka sarat dengan emosi dan enggan memberi alasan atau respons yang rasional apabila dibantah oleh peserta.


Banyak lagi yang boleh dibangkitkan. BTN disuarakan akan disusun semula, ini juga sebagai lambang satu penerimaan hakikat secara tidak rasmi bahawa mereka tidak langsung bersifat One Malaysia.


No comments: