Thursday, January 7, 2010

Kenapa tiada laporan audit dua enjin jet hilang?
Tan Keng Liang Dis 24 Malaysiakini.com



Berikut merupakan surat pembaca kepada Malaysiakini yang ada manfaat dikongsisama..


Saya merujuk isu kecurian dua buah enjin jet pejuang Tentara Udara Diraja Malaysia (TUDM). Kecurian enjin tersebut didakwa berlaku sekitar tahun 2007.

Selain daripada enjin, Kementerian Pertahanan juga dilaporkan menyatakan terdapat peralatan-peralatan lain yang mungkin turut lesap.

Ketika ini, kementerian berkenaan dan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan untuk melakukan siasatan penuh terhadap kes tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya kepada mereka yang terbabit, yang turut dilabel sebagai "pengkhianat" negara kita.

Sudah jelas, kecurian harta pertahanan negara, tanpa mengira nilainya, suatu tindakan pengkhianatan negara. Harta pasukan tentera dibeli untuk mempertahankan kedaulatan negara dan dibiayai dengan wang rakyat.

Dalam perkara ini, adalah membimbangkan kenapa kehilangan dan kecurian harta pertahanan negara yang sebegitu besar tidak dibangkitkan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara bagi tahun 2007 atau 2008?

Kejadian ini berlaku pada 2007 dan Kementerian Pertahanan menfailkan laporan polis pada tahun yang sama. Sudah pasti perkembangan itu sewajarnya mencetuskan kewaspadaan kepada proses audit harta kementerian tersebut.

Bawah Seksyen 6 Akta Audit 1957, pengauditan Ketua Audit Negara termasuklah menentukan sama ada perhatian yang sewajarnya telah diambil untuk memberikan penjelasan mengenai - dan untuk memastikan - penggunaan, pengawalan, penyenggaraan dan pelupusan yang sepatutnya segala harta awam pihak bawah auditannya.

Seksyen 9(5) akta tersebut memperuntukkan bahawa Ketua Audit Negara boleh - dalam apa-apa laporan yang dikemukakan mengikut Perkara 107(1) Perlembagan Persekutuan (lebih dikenali sebagai Laporan Tahunan Ketua Audit Negara) - membuat syor dan boleh secara umum memberikan ulasan tentang semua perkara yang berhubungan dengan akaun, wang dan harta awam.

Berhubung kehilangan harta pertahanan negara tersebut, Ketua Audit Negara seharusnya membangkitkan penyelewengan itu dalam laporan tahunannya kerana ia membabitkan kepentingan awam.

Oleh itu, Ketua Audit Negara perlu memberi penjelasan kenapa penyelewengan tersebut tidak dibangkitkan dalam laporan tahunannya sehingga kini?

Kerajaan juga harus mengambil tindakan untuk memastikan Ketua Audit Negara akan membangkitkan dalam laporan tahunannya semua penyelewengan yang membabitkan harta kerajaan pada masa hadapan.


Tan Keng Liang ketua Pemuda Gerakan Kedah

Komen: Ketua Audit Negara memberi laporan setiap tahun. Baru beberapa tahun lepas beliau memberi laporan yang mengejutkan dengan tuntutan bayaran balik harga tidak berpatutan bagi pemutar skrew dan lain2 alat pertukangan. Beliau juga membangkitkan sekali lagi baru-baru ini tentang penyalahgunaan wang yang berleluasa. Namun Tan Keng Liang membangkitkan perakara ini, yang kelihatan ada asasnya. Kenapa tidak ada audit pada tahun 2007 tentang ini. Tentu ia menimbulkan banyak pertanyaan. Kerajaan kita sedang melaksanakan langkah berjimat cermat. Semua jabatan kerajaan diarah supaya mengurangkan perbelanjaan. Di Universiti sekalipun langkah ini dilaksanakan. Namun jika dilihat secara terperinci, penjimatan ini tidak membawa sebarang makna jika kecuaian masih berleluasa dan wang hilang begitu sahaja. Sebagai contoh, dakwat tanda sudah mengundi dinyatakan akan digunakan dalam pilihanraya umum 2008 tetapi akhirnya dibatalkan. Namun syarikat yang dilantik sudah pun membeli dakwat (indelible ink) dengan belanja RM2.4 juta. Banyak pertanyaan yang boleh dibangkitkan, kenapa ia dibatalkan, kenapa pembelian terlalu banyak, siapa yang mendapat tender tersebut dan sebagainya lagi. Apa yang kita fahami dakwat itu hanya untuk dibuat tanda kepada jari dan bukannya untuk dibuat mandiii!!!.Belum lagi cerita stadium runtuh, atap parlimen yang baru diubah suai bocor, enjin jet hilang dan sebagainya yang pasti memakan jutaan ringgi bagi memperbaikinya. Usaha penjimatan berhasil kecil namun pembaziran ketara lebih berleluasa. lihat pula kes ini... http://www.facebook.com/home.php?#/notes/zakri-ali-rangkuti/do-you-know-this-unbelievable-rm800k-for-ipoh-sign-sent-by-khalid-othman/255567574792




No comments: