Saturday, February 19, 2011

PENJAJA JALANAN BAKAR DIRI DEMI REVOLUSI: DUA PRESIDEN TUMBANG

Bahan diserah kepada satu majalah pengguna..


Mohamed Bouazizi, 26 tahun, merupakan anak bandar Sidi Bouzid lebih kurang 300 km utara Tunis, ibu negeri Tunisia. Beliau tidak mempunyai ijazah, berbeza dengan ramai anak muda lain yang menjadi graduan menganggur. Meskipun hanya dengan pendidikan sekolah menengah, Bouazizi masih mampu membantu keluarganya yang terdiri dari lapan orang termasuk ibu dan adik-adiknya. Setiap hari beliau ke bandar dengan kereta sorong menjual sayur dan mampu mendapat lebih kurang RM15 sehari, walaupun sedikit, namun cukup untuk menyara keluarga.

Pengguna di Tunisia amat jauh berbeza dengan Malaysia. Rata-rata kehidupan pengguna dari golongan pekerja adalah amat daif. Sementara itu penjaja pula lebih ramai yang bersifat tidak berlesen atau ‘penjaja haram’ berbanding dengan yang mendapat lesen. Amalan kepengunaan di sini ternyata berserabut dengan pasar gelap. Walaupun tidak sah, mereka tetap survive apabila pihak berkuasa menjadikan mereka sumber pendapatan gelap juga.

Demikian kehidupan di Tunisia, penganggurannya tinggi, inflasi juga tinggi, layanan pihak berkuasa amat kejam terhadap rakyatnya dan rasuah bermaharajalela. Hak kepenggunaan serta kesedaran sivil amat minima dalam negara feudal ini. Regim ini amat rapat dengan Amerika Syarikat, dan penindasan yang berlaku tidak menjadi perhatian negara besar itu. Seperti biasa Amerika hanya sensitif dengan negara yang tidak baik dengan mereka. Jika mereka mahu membekal minyak kepadanya, segala kezaliman boleh disembunyikan media mereka. Di sini letaknya sikap kepalsuan atau double standard regim yang mendakwa kononnya pejuang demokrasi dunia. Namun kerana sumber minyak dan pendapatan pelancongan yang banyak telah menyebabkan ekonomi Tunisia ini dapat bertahan. Pendapatan negara tetap mencukupi untuk mereka terus berkembang, walaupun dalam rangka ketidakseimbangan.

Di Tunisia ini hanya mereka dari keluarga menengah dan atasan yang berjaya mendapatkan lesen perniagaan serta lot kedai yang sah. Kelas istimewa ini merupakan golongan yang berjaya di universiti, menyambung pengajian di barat dan mengisi jawatan teknokrat, konglomerat dan birokrat peringkat atasan. Bagi anak muda kelas pekerja seperti Bouazizi, ia terpaksa berniaga secara curi-curi yang sering menjadi habuan pengikisan penguatkuasa yang hidup dengan korupsi.


Satu hari pada bulan Disember 2010 lepas Bouazizi ditahan oleh seorang pegawai polis wanita dan kereta sorong serta semua barangan jualannya dirampas. Beliau turut ditahan, ditempeleng dan diludahi mukanya. Beliau cuba menyogok 10 Dinar atau RM15 kepada pegawai tersebut sebagai tebusan kepada barangannya, namun ia tidak dilayan, ternyata bilangan itu amat kecil. Nama arwah ayahnya kemudian dicaci hina oleh polis tersebut hingga Bouazizi merasa amat kecewa dan tertekan. Beliau merasa amat sedih memikirkan, bagaimana kehidupannya esok lusa, dan bagaimana adik dan emaknya disara kelak. Beliau satu-satunya sumber pendapatan keluarga.

Beliau berikhtiar lagi dan kemudian terus ke pejabat bandaran untuk mengadu hal akan tindakan pegawai yang keterlaluan itu di samping cuba mendapatkan barangannya yang dirampas. Namun kekecewaan terus melanda apabila aduannya tidak dilayan langsung. Beliau hilang sekejap tetapi gagal menenangkan jiwa yang merusuh. Kerana amat tertekan, dan merasa hilang punca dalam kehidupan, apa lagi merasa dunia gelap untuk menyara keluarganya, Bouazizi kembali lagi dan membawa bahan bakar yang merbahaya. Beliau kemudian menyiram minyak tersebut keseluruhan badannya dan terus membakar diri, betul-betul di hadapan pejabat perbandaran tersebut hingga mengejutkan orang ramai yang berada di situ.

Keadaan beliau amat parah, walaupun sempat di bawa ke hospital. Orang ramai yang mengetahui duduk perkara merasa amat simpati dan merasa amat marah kepada pihak berkuasa. Semakin hari semakin ramai yang meluahkan rasa simpati dengan menziarahinya serta berkumpul di bandar itu. Lama kelamaan ia beranjak menjadi perarakan menunjukkan kemarahan dan bantahan kepada pihak berkuasa serta kepada regim. Pemerintah dilihat tidak langsung melakukan pembangunan kepada rakyat serta anak muda. Hak pengguna dan peniaga langsung tidak dipelihara. Inflasi yang tidak dikawal langsung amat menekan hidup majoriti penggguna yang berpendapatan rendah. Bagi golongan atasan, mereka hidup dengan kemewahan dan tidak sedikit meluah simpati kepada rakyat yang menderita. Eksploitasi, korupsi, penindasan dan penyalahgunaan kuasa berlaku secara berleluasa. Takut akan penentangan yang berkembang presiden negara bertindak menutup perkhidmatan internet di negara tersebut, tidak lain sebagai usaha menyekat pergerakan massa ini, namun tindakan ini sudah terlambat. Presiden Zine el Abidine yang mula gelisah dengan gerakan yang ramai itu kemudian sanggup turun menziarah Bouazizi di hospital untuk menenangkan keadaan. Namun beberapa hari selepas itu Bouazizi meninggal dunia.


Pemergiannya ditangisi dan ia tidak terhenti di situ sahja. Orang ramai semakin ramai membanjiri bandar Sidi Bouzid dan lama kelamaan ia berjangkit ke bandar lain hinggalah kemudian ke Tunis, ibu kota Tunisia. Hubungan internet, telefon bimbit dan media sosial seperti facebook telah mempercepat dan mempermudah penyusunan perhimpunan dan perarakan ini sebelum ia ditutup. Ia menjadi alat pengguna yang tangkas dan menjimatkan. Melaluinya kebanyakan pengguna muda ini mudah dihubungi dan dimobilisasi. Mereka melaungkan keperluan roti, pendidikan, kesihatan dan kehidupan yang lebih baik kepada masyarakat, tidak banyak beza dengan tuntutan di zaman revolusi Perancis abad ke 18.


Pihak berkuasa di Tunisia tidak bertolak ansur dan menggunakan kekerasan seperti pukulan cota dan senjata api untuk menyurai keadaan. Selepas Bouazizi dua lagi anak muda membunuh diri kerana hidup tertekan dan kecewa dengan regim. Seorang pemuda lain pula terbunuh hasil tembakan polis yang cuba menyurai perhimpunan. Namun mereka yang menyertai perarakan ini tidak merasa takut malah meningkat bilangannya. Mereka meluahkan slogan, kami tidak takut, kami tidak takut, kami hanya takut kepada Tuhan.

Ternyata pengorbanan Bouazizi telah mencetuskan revolusi di Tunisia. Presiden Zine el Abidine Ben Ali yang telah 23 tahun berkuasa mula merasa terancam dan cuba membuat beberapa perubahan barisan kepimpinan untuk mengaburi mata orang ramai. Beliau yang berkuasa melalui partinya RCD atau Perhimpunan Perlembagaan Demokratik, menyatakan berbagai perubahan struktural akan menyusul untuk membangunkan ekonomi negara dan kualiti hidup masyarakat. Namun ternyata keadaan sudah amat terlambat umpama nasi sudah menjadi bubur. Rakyat atau pengguna yang terbiar ini tidak boleh diberi ‘gula-gula’ pembangunan lagi. Perut yang lapar dan hidup yang tersisih selama ini tidak ampuh bertahan dengan janji dan slogan. Mereka memberontak dan tidak takut kepada sekatan pihak berkuasa.






Akhirnya Presiden lari dari negara dan berakhirlah regim Zine el Abidine yang telah meneruskan dinastinya sejak merdeka 1956. Bouazizi meskipun hilang dari keluarga tetapi dianggap sebagai wira yang membawa perubahan negara. Dunia Arab khasnya dan dunia antarabangsa amnya mengingati beliau.

Revolusi ini digelar sebagai Revolusi Jasmin (bunga) dan ia tidak terhenti di situ sahaja. Negara jiran seperti Mesir, Jordan, Algeria dan Yaman turut bergegar dengan kebangkitan massa terutamanya pelajar. Bagaimanapun kesan yang lebih kuat melekat di Mesir. Perarakan besar-besaran pula muncul di dataran Tahrir di Kahirah dan Iskandariah. Kehidupan di sini juga penuh dengqan kesengsaraaan dengan kemiskinan, penindasan, penyalahguanaan kuasa dan kezaliman.

Rakyat Mesir mengambil iktibar dari pengorbanan Bouazizi dan tidak lama kemudian pada 11 Feb 2011 Presiden Hosni Mubarak pula lari dari Kahirah menurut jejak Zine el Abidine. Ternyata Bouazizi yang telah mati lebih ‘berbisa’ dari beliau hidup. Dua presiden tumbang dan beberapa negara terus bergegar!!!. Doa dan harapan pejuang ini agar pengguna dan kesedaran kepenggunaan negara rantau ini akan terus terpelihara di bawah pemerintahan yang baru.
***

**

*

2 comments:

Anonymous said...

"TUNISIA BUKAN MALAYSIA DAN MALAYSIA BUKAN TUNISIA"Tetapi pemimpinnya lebihkurang sama saja, bini pemimpin nya tak banyak berbeza. Adakah peristiwa di tunisia mustahil boleh berlaku di malaysia? JAWABNYA TIDAK MUSTAHIL, kalau tak percaya teruskan kezaliman kamu terhadap rakyat jelata, teruskan amalan rasuah, amalan kroni, memperkudakan penguasa demi kepentingan kamu. kita bukan minta musibah itu bertandang ke malaysia, tetapi hakikatnya telah berlaku dinegara-negara arab yang lebihkurang gaya kepimpinan nya sama dengan pemimpin di malaysia.

Sains Politik Malaysia said...

T ksh ats ulasan.. mmg byk prbezaan ant 2 neg.. Smacam Russia & China. 1 neg ada bndr & kilang & 1 neg lagi hnya ada kaw tani & kmpung.. ttp kdua-duanya ada pnindasn & ktidakpuasn. Maka 1 meletus dlm bntuk rev komunis grakan prti & ideolgi mnakala 1 lg rev grakn prti & kaum Tani.. pokoknya ada ksamaan dlm prbezaan