Showing posts with label Datuk Seri Nizar. Show all posts
Showing posts with label Datuk Seri Nizar. Show all posts

Sunday, May 24, 2009

YDP Agong pecat Najib daripada jawatan PM??
Posted on Mei 23, 2009 by pemudawilayah (sang kancil)
Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi awal Januari 2010, Najib Tun Razak yang baru pulang ke rumah rasminya di Putrajaya tiba-tiba dikejutkan dengan satu surat dari Duli Yang Mulia Yang DiPertuan Agung (YDPA) bahawa beliau dan Rosmah hendaklah mengosongkan rumah rasminya kerana YDPA telah melantik orang lain sebagai Perdana Menteri menggantikan beliau.

Alasan YDPA di dalam surat tersebut adalah ahli-ahli Dewan Rakyat khususnya dari Pakatan Rakyat (PR) dan beberapa ahli BN yang mula menyokong PR telah berjumpa YDPA di Istana dan menyatakan bahawa mereka tidak lagi yakin dengan Najib dan mahu orang lain sama ada Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang atau Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Surat YDPA juga menyatakan bahawa jika Najib tidak meletak jawatan beliau hendaklah dipecat dari jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Najib merengus marah manakala Rosmah berteriak macam orang yang kena histeria. Najib yang masih marah dan berang berkata: “Macam mana Tuanku dengan sewenang-wenangnya memecat patik sedangkan Parlimen tidak mengadakan apa-apa sidang atau membawa apa-apa usul atau undi tidak percaya kepada patik. Patik tidak nampak mana–mana peruntukkan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang member kuasa kepada Tuanku untuk memecat patik sebagai Perdana Menteri.
Macam mana patik boleh dengan mudah dipecat dan sebagai ganti dilantik orang lain sebagai Perdana Menteri sedangkan tidak ada sebarang undi tidak percaya diluluskan di Parlimen ke atas patik”.

Keluhan Najib didengar dengan tenang oleh YDPA. YDPA dengan senyum berkata kepada Najib: “Adakah tuan hamba sudah lupa bahawa pada 22 hb Mei 2009 iaitu pada hari Jumaat jam 3.30 petang di tingkat bawah Palace of Justice, Putrajaya tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Yang Arif (Y.A) Dato Raus Sharif, Y.A Dato Ahmad Maarof dan Y.A Dato’ Zainon Ali telah sebulat suara memutuskan antara lain bahawa;

a. Seorang Menteri Besar (di peringkat Negeri) atau Perdana Menteri (PM) di peringkat Pusat secara tersirat boleh dipecat atau diminta letak jawatan jika Sultan atau YDPA memutuskan bahawa MB atau PM tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN atau Ahli-Ahli Parlimen.

b. Perkara 16 (6) Perlembagaan Perak atau Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut bahawa kaedah bagi menentukan bahawa seorang MB atau PM hilang keyakinan majoriti ADUN atau ahli-ahli Parlimen adalah melalui undi tidak percaya (votes of no confidence).

c. Kes Stephen Kalong Ningkan (1966) iaitu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Sarawak yang memutuskan bahawa Governor atau Sultan tidak ada kuasa memecat Ketua Menteri atau MB dan satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya tidak boleh lagi dipakai.

YDPA seterusnya menambah: “Bukankah keputusan Mahkamah Rayuan tersebut yang tuan hamba inginkan bagi meraih keuntungan politik jangka pendek tuan hamba dan parti tuan hamba. Bukankah tuan hamba yang berkeras tidak mahu mendengar keluhan rakyat dan pemimpin partai komponen tuan hamba sendiri supaya krisis di Perak diselesaikan secara aman dan melalui amalan demokratik iaitu dengan kembali kepada rakyat melalui Pilihanraya semuladi Perak.
Maaf tuan hamba, Beta terikat dengan keputusan tersebut dan tidak boleh buat apa-apa. Maka Beta dengan ini memerintahkan tuan hamba dan sekeluarga keluar dari rumah rasmi Perdana Menteri kerana tuan hamba bukan lagi Perdana Menteri Malaysia.”

Najib tersentak dan lemah segala sendi manakala Rosmah pula terkaku dan jatuh pengsan. Tiba-tiba mereka sedar keputusan Mahkamah Rayuan hari ini kini telah makan diri. Jika keputusan yang paling wajar dan munasabah oleh Y.A Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Y.A Dato’ Aziz Abdul Rahim yang memutuskan bahawa satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya sekaligus mengekalkan doktrin Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy) keputusan Mahkamah Rayuan pula ditafsirkan oleh ramai cendikiawan undang-undang telah melahirkan doktrin baru iaitu Raja Mutlak (Absolute Monarchy).
Jika Raja Berperlembagaan melahirkan kesejahteraan sudah tentu doktrin Raja Mutlak akan melahirkan suasana yang tidak menyenangkan.
Sketsa di atas adalah, bagi saya, cara terbaik untuk memahamkan para pembaca tentang kesan keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini.

Sebagai seorang anggota pasukan peguam Nizar, saya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Tapi saya tidak pasti keputusan tersebut akan diterima dengan baik oleh rakyat khususnya rakyat di Perak.

Dalam keadaan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman masih belum pulih sepenuhnya sudah tentu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tidak dapat lari dari cemuhan rakyat. Inilah masalahnya apabila sesebuah institusi dalam sebuah negara sudah hilang keabsahan (legitimacy).
Di negara ini apabila BN memerintah terlalu lama dan keabsahan parti tersebut dipertikaikan turut sama terpalit adalah institusi keadilan seperti Mahkamah, Peguam Negara dan polis. Apabila rakyat hilang keyakinan kepada sistem keadilan, maka sebarang keputusan Mahkamah apatah lagi keputusan seperti keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini sudah tentu tidak akan mudah diterima sebagai satu keputusan yang adil dan telus.

Sejak dari awal rakyat sudah nampak macam ada sesuatu yang tidak kena kepada cara kes rayuan Zambry dikendalikan. Zambry kalah di Mahkamah Tinggi pada 11/5/2009. Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zambry bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman.

Pada 12/5/2009 di sebelah pagi Zambry membuat permohonan bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman. Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh pendengaran permohonan Zambry pada pagi hari yang sama. Tarikh pendengaran yang diberikan dengan tergesa-gesa sudah tentu memprejudiskan Nizar dan pasukan peguamnya bagi membuat persiapan yang teliti dan mendalam.

Pada tengah hari 12 hb Mei itu juga Y.A Hakim Dato Ramly membenarkan permohonan Zambry dan perintah diberikan tanpa sebarang syarat.

Nizar membuat permohonan bagi membatalkan perintah penggantungan yang diberikan kepada Zambry. Mulanya permohonan Nizar ditetapkan pada 18/5/2009 tetapi kemudiannya ditangguhkan pada 21/5/2009 iaitu pada hari yang sama rayuan Zambry didengar. Sudah tentu permohonan Nizar tidak lagi relevan untuk didengar atau seperti yang sering dikatakan ianya menjadi akademik.

21 hb Mei rayuan Zambry didengar dengan hujah lisan dan bertulis dikemukakan oleh pihak –pihak secara mendalam. Mahkamah hanya ambil masa satu hari sahaja untuk putuskan. Memang hebat Mahkamah boleh buat keputusan dalam masa satu hari. Tetapi cuba kita bayangkan jika kita menghantar baju untuk dijahit dan tukang jahit siapkan baju kita dalam satu hari - saudara boleh bayangkanlah tahap kualiti baju tersebut.

Suatu yang amat mengharukan kami (pasukan peguam Nizar) adalah meski pun Nizar kalah namun sambutan rakyat kepada kami di Mahkamah Rayuan hari ini seolah-olah menunjukkan Nizar yang menang dan bukannnya Zambry.

Untuk rakan pasukan peguam Nizar iaitu Tuan Haji Sulaiman Abdullah, Philip Khoo, Ranjit Singh, Razlan Hadri, Nga Hock Cheh, Chan Kok Keong, Mr. Leong, Edmond Bon, Amir Arshad dan Zulkarnain Lokman ingatlah keputusan hari ini tidak akan mematahkan semangat kita sebaliknya ia memberi semangat baru kepada kita untuk terus berjuang menentang kezaliman dan menegakkan keadilan. Kita jumpa lagi di Mahkamah Persekutuan insya’Allah.
Komen: Undang-undang dihormati dan menjadi rujukan kepada orang ramai dalam sebarang pertikaian atau tindakan yang salah. Rukunegara sendiri memberi perinsip Kedaulatan Undang-undang, atau Rule of Law sebagai asas penting dalam kewarganegaraan dan pembinaan bangsa di negara ini. Mahkamah pula merupakan tempat yang dihormati dengan kearifan Hakim dalam melaksanakan keadilan. Di sinilah tempat orang ramai bergantung harap kepada pengadilan tepat, kebenaran dan mengelak dari penganiayaan. Hakim diberi taraf istimewa dalam masyarakat kerana sifat neutral dan kearifannya. Proses mahkamah ditentukan oleh Jabatan Peguam Negara, semuanya disusun bagi mengangkat kedudukan sistem pengadilan negara ke status yang suci dan disanjungi. Namun semua itu akan menjadi hambar apabila ia tercemar dan dicemar demi kepentingan sesuatu pihak. Hukum Karma bagaimanapun sering memainkan peranan dalam sejarah negara mahupun sejarah politik. Bak pepatah Inggeris what goes around comes around. Adalah amat mengharukan jika keris sendiri tertikam tuannya satu hari kelak (blogs ini sunyi seminggu kerana bercuti dan akan sunyi lagi untuk dua minggu akan datang mulai 28 Mei ini).

Tuesday, March 31, 2009

Langkah Desperate..

Dilarang sentuh Altantuya di Bkt Gantang
Mar 31, 09 12:33pm Malaysiakini.com

kemaskini 6.55pm Polis melarang penceramah PKR di Bukit Gantang mengulas isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang sering dikaitkan dengan kes kenalan dekat timbalan perdana menteri, Abdul Razak Abdullah Baginda.

Sewaktu pembantu ADUN Sepetang, Tai Sing Ng ke balai polis Taiping semalam, beliau diberikan senarai larangan tambahan tersebut dalam program pada pilihanraya kecil parlimen itu yang sedang berlangsung. Dihubungi Malaysiakini hari ini, Lau Teck Hai apabila beliau bertanyakan arahan tersebut kepada seorang pegawai berpangkat ASP, "beliau hanya tersenyum".

Dalam arahan yang sama, polis juga melarang penceramah "mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh institusi raja. "Larangan ini dipercayai bagi menghalang Pakatan Rakyat menjelaskan krisis perlembagaan dan peralihan kuasa Perak antara pembangkang dengan BN sejak Februari lalu. Kerajaan campuran DAP, PAS dan PKR masih mendakwa mereka sah mentadbir negeri itu walaupun BN melantik menteri besarnya Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Susulan itu, sesetengah pihak menyifatkan pilihanraya kecil ini "pungutan suara" terhadap Datuk Seri Najib Razak, yang terlibat dalam rampasan kerajaan negeri itu, dan menteri besar gabungan pembangkang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, kini sebagai calon PAS. Beliau dicabar calon BN Ismail Saffian dan Kamarul Ramizu Idris (bebas) pada 7 April ini. Keputusan mahkamah kes pembunuhan wanita Mongolia itu akan diketahui dua hari selepas pilihanraya ini. Abdul Razak, yang dituduh bersubahat dengan dua anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) cif inspektor Azilah Hadri dan koperal Sirul Azhar Umar, dibebaskan daripada kes tersebut.

Isu Altantuya sering menjadi bahan kempen pembangkang untuk memburukkan Najib dengan mengaitkan wanita itu dengan bakal perdana menteri itu. Najib bagaimanapun menafikan pernah mengenalinya. Mengulas larangan itu, PKR berikrar akan mengabaikannya dan mencabar polis menyiasat mereka jika berbuat demikian.

Selain dua larangan tersebut, polis juga menuntut PKR mengawal kehadiran orang ramai yang mendengar ceramahnya. "Jika kehadiran melimpah hingga di luar kawasan permit yang dipohon, pihak polis akan mengambil tindakan," larangan itu dipetik.

Polis juga melarang jentera PAS mengadakan ceramah lebih 11 malam di kawasan kampung. Dalam kenyataan lewat petang, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata kementeriannya mengeluarkan arahan tersebut bagi ketiga-tiga kawasan pilihanraya, termasuk DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Ai di Sarawak.

Komen: Desperate measures atau langkah terdesak ini menonjolkan amalan salah guna kuasa masih berleluasa. Sebelum ini perlu diingat 'Harakah' dan 'Siasah' telah digantung untuk beberapa bulan. Selepas ini tidak tahu apa lagi langkah desperate yang akan dilaksanakan. Persaingan dengan itu berlaku dalam gelanggang yang tidak adil atau tidak sama rata. Orang yang berlawan dalam masa yang sama menjadi referee, meletakkan sempadan dan mengubah sempadan menurut convenient mereka. Dalam fikirannya ia akan berjaya menyekat pengaruh parti tertentu, namun tidakkah ia ingat kepada pepatah Inggeris,... "kita boleh menarik kuda ke sungai... tetapi kita tidak boleh memaksanya minum". Kita boleh memaksa pengundi mendengar apa yang kita benarkan sahaja, tetapi apakah ia akan menutup fikiran mereka untuk memikirkan perkara selain dari itu...?

Saturday, February 7, 2009

ANTARA MORAL DAN LEGAL

Pulihkan keyakinan rakyat
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL rencana@utusan.com.my
7 Feb 2009 /11 Safar 1430

ANGGOTA Dewan Undangan Negeri Pangkor, Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun ketika Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar semalam.

KEDUDUKAN rapuh kerajaan campuran Perak yang dibentuk oleh parti DAP-PKR-Pas sebenarnya sudah dapat ditelah dari awal lagi. Pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu, pakatan parti itu berjaya membentuk kerajaan hanya dengan kelebihan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila memenangi 31 kerusi berbanding 28 kerusi Barisan Nasional (BN). Kekalutan dalam pakatan parti itu semakin ketara pada episod pemilihan Menteri Besar Perak yang beberapa kali tertangguh ekoran rasa tidak puas hati terutamanya DAP.
Bagaimanapun kerana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri itu mesti disandang oleh seorang Melayu yang beragama Islam, maka Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Besar Perak seperti yang diperkenan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Umum mengetahui jawatan Menteri Besar yang disandang beliau sebelum ini bukan keputusan majoriti, tetapi sebaliknya adalah kehendak Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Kerana itu juga, pemerintahan Mohammad Nizar sentiasa dibelenggu kontroversi apabila beberapa keputusan kerajaan Perak kelihatan cenderung memperjuangkan dasar-dasar yang ditentukan oleh DAP. Paling mengejutkan apabila Mohammad Nizar menganugerahkan tanah seluas 400 hektar kepada sekolah persendirian Cina. Alasannya supaya sekolah-sekolah Cina tersebut dapat memajukan tanah berkenaan bagi menambah pendapatan sekolah. Rakyat Perak juga dikejutkan dengan pendedahan abang Mohammad Nizar, Mohd. Fazil Jamaluddin mengenai Perjanjian Pangkor II yang dibuat dengan DAP.

Perjanjian itu antara lain melarang Mohammad Nizar menyebut negeri Perak diperintah oleh Islam. Beliau juga dikatakan tidak dibenarkan menyebut terma-terma politik yang berkaitan dengan Pas atau bahasa Arab seperti hudud dan qisas. Sebelumnya, Mohammad Nizar mengumumkan cadangan untuk memberi hak status pemilikan tanah selama 999 tahun kepada penduduk lot-lot tanah di Kampung Baru. Cadangan itu mendapat tentangan banyak pihak kerana ia disifatkan tidak munasabah serta bertentangan dengan semangat Kanun Tanah Negara.
Isu-isu itu jugalah yang bakal menjadi cabaran kepada Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, 47, yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baru. Lebih mencabar, Zambry mengepalai sebuah kerajaan yang sangat rapuh. BN terikat kuasanya dengan pakatan pembangkang apabila masing-masing menguasai separuh daripada majoriti kerusi DUN. Apa yang membolehkan BN merampas Perak hanyalah sokongan daripada tiga bekas wakil rakyat pakatan pembangkang.

Itu pun wakil rakyat berkenaan tidak menyatakan secara rasmi mahu menyertai BN, sebaliknya hanya menyokong tetapi berdiri di atas tiket ADUN Bebas. Untuk menunggu sehingga pilihan raya umum baru yang dijangka dalam tempoh tiga atau empat tahun dari sekarang, banyak perkara yang boleh terjadi. Tidak mustahil dalam tempoh terdekat bakal ada ahli BN yang bertindak melompat parti dan kerajaan Perak sekali lagi akan berubah tampuk pemerintahan.
Situasi panas itu seperti dijelaskan oleh pensyarah di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, hanya merugikan rakyat Perak sendiri.
Ini kerana tumpuan di kalangan wakil rakyat kini adalah untuk memujuk wakil rakyat lawan menyertai parti mereka seterusnya membentuk kerajaan. Dalam keadaan itu, agenda-agenda pembangunan dan memperkasakan pentadbiran tidak lagi menjadi keutamaan, katanya.

Keadaan itu juga membawa kepada kewajaran bahawa kemelut politik Perak ketika ini harus dikembalikan kepada rakyat jelata. Dalam erti kata yang lain perlu diadakan semula pilihan raya negeri. Namun, pastinya Sultan Azlan Shah mempunyai sebab tersendiri mengapa baginda merasakan bahawa pilihan raya negeri itu tidak perlu.

Secara logik akal juga, peralihan kuasa kepada BN itu tidak bercanggah dengan peraturan dan dibenarkan dari sudut perlembagaan. Ini kerana BN kini memiliki majoriti kerusi DUN. Penguasaan BN di Perak sebenarnya lebih kukuh melihat kepada keputusan pilihan raya umum ke-12 yang lalu. Walaupun gagal merebut majoriti kerusi DUN, namun BN memenangi lebih banyak kerusi berbanding parti-parti dalam kerajaan campuran iaitu sebanyak 28 kerusi.

Sebaliknya DAP hanya memenangi 18 kerusi, PKR (tujuh) dan Pas (enam). Walaupun jumlah kerusi yang dimenangi oleh Pas, DAP dan PKR itu tinggi iaitu 31 kerusi, tetapi ia tidak boleh dianggap majoriti kerana parti-parti itu bukan daripada satu parti yang bertanding. Justeru, kerusi yang dimenangi parti-parti itu perlu dikira secara berasingan. Namun atas keputusan berhemah Sultan Azlan Shah yang melihat majoriti ketika itu berpihak kepada pakatan DAP-PKR-Pas, maka pakatan parti tersebut berjaya membentuk kerajaan campuran.

Sikap berhemah Sultan Azlan Shah sekali lagi terserlah dalam isu ketika ini apabila BN yang kembali mempunyai suara majoriti diberikan hak untuk menubuhkan kerajaan. Menurut Ahmad Nidzammuddin, sewajarnya Mohammad Nizar dan penyokong parti pakatan DAP-PKR-Pas menyanjung tinggi keputusan itu. Tindakan Mohammad Nizar menyembah derhaka untuk tidak melepaskan jawatan Menteri Besar mengguris hati orang Melayu apabila ia dilihat membelakangkan titah Sultan.

''Bagi orang Melayu yang sangat tinggi kesetiaan dan menjunjung kasih ke bawah duli yang maha mulia Raja, tindakan Mohammad Nizar itu sukar diterima," ujar beliau. Bagaimanapun dalam keghairahan merampas kembali Perak, BN perlu menyedari realiti sebenar kedudukan mereka terutamanya dari sudut sokongan rakyat kebanyakan. Rakyat Perak terutamanya pengundi di tiga kawasan ADUN yang berpaling tadah menilai perbuatan wakil rakyat mereka melompat parti adalah satu pengkhianatan kepada kepercayaan yang diberikan.

Dari sudut moral, ketiga-tiga wakil rakyat itu tidak lagi mempunyai kredibiliti yang tinggi untuk mewakili rakyat jelata. Soal kredibiliti juga menjadi persoalan apabila dua daripada tiga wakil rakyat yang menyatakan sokongan kepada BN itu terbabit dengan isu rasuah.
Jamaluddin Mohd. Radzi, 52, dan Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu, 57 sebelum ini dituduh di mahkamah atas dakwaan meminta dan menerima rasuah untuk mempercepatkan kelulusan permohonan bagi membangunkan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.

Dalam ketika BN sudah sedia bergelut dengan isu kredibiliti seperti rasuah dan korupsi di mata kebanyakan masyarakat, kehadiran wakil rakyat itu sedikit-sebanyak mengikis kepercayaan terhadap kredibiliti BN. Begitu juga 'kepulangan' penuh misteri ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang beberapa hari sebelum peralihan kerajaan Perak mengumumkan keluar parti BN dan menyertai PKR.

Tindakan sekelip mata itu membuatkan rakyat Perak tertanya-tanya apa nilai kesetiaan yang dipegang oleh Nasaruddin? Perkara-perkara sebeginilah yang meletakkan kerajaan baru BN di Perak berdepan dengan sokongan yang sangat meruncing dan tipis.

Bukan sedikit usaha yang perlu dilakukan oleh Zambry terutamanya untuk menarik kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat Perak keseluruhannya menyokong kerajaan BN. Bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang mustahil sekiranya BN berjaya mencari formula bagaimana untuk merakyatkan parti itu dan menjadikannya sesuai untuk semua golongan.

Menurut Ahmad Nidzammuddin, BN Perak perlu keluar dari kepompong yang selama ini memperlihatkan diri mereka seolah-olah kumpulan elit dan hanya sesuai untuk mereka dari kelas atasan.

''Sesuatu yang boleh dipelajari daripada kepimpinan kerajaan campuran sebelum ini ialah bagaimana mereka bersungguh-sungguh menambat hati rakyat dengan menumpukan kepada usaha meningkatkan kebajikan," katanya.
Lebih penting, BN Perak boleh mengembalikan keyakinan rakyat dengan memberi tumpuan kepada isu-isu utama yang sebelum ini menjerat kedudukan kerajaan campuran.
Isu-isu itu termasuk penyerahan tanah seluas 400 hektar kepada sekolah persendirian Cina dan cadangan untuk memberi hak status pemilikan tanah selama 999 tahun kepada penduduk lot-lot tanah di Kampung Baru. Seandainya kedua-dua perkara ini masih di peringkat cadangan, adalah wajar untuk BN Perak tidak meneruskannya dan mempertimbangkannya semula berdasarkan survival semua kaum.
Komen:
  1. Tindakan lompat parti itu legal - tetapi immoral atau tidak bermoral.
  2. Tindakan Sultan memilih BN untuk membentuk kerajaan negeri sebagai legal, tetapi dipandang massa dari sudut moralnya tidak tepat.
  3. Tindakan kedua-dua pihak BN dan Pakatan sentiasa memancing dan menghasut adun pindah parti adalah masih legal dan tidak menyalahi perlembagaan, tetapi kedua-duanya tidak bermoral.
  4. Tindakan MB Nizar membawa ke mahkamah kes ini adalah legal dan bersabar menunggu keputusan adalah sangat bermoral.
  5. Namun tindakannya enggan keluar dari kediaman rasmi dan pejabat adalah agak immoral kerana sudah tidak mendapat pengesahan dari sultan (sekurang-kurangnya dari sudut budaya politik Melayu).
  6. Semua episod ini secara tanpa sedar meningkatkan moral dan sokongan solid kepada Pakatan yang dapat dimanfaatkan dalam pilihanraya ke 13 nanti.. dan usaha memulihkan keyakinan nampak kelak agak mustahil dalam masa sedekad dua. Istilah meluat, menyampah, loya, jijik, keji dan sebagainya dihamborkan orang ramai. Tindakan adun yang dituduh rasuah melompat parti dan adun Bota yang keluar masuk parti adalah sangat immoral dan kini boleh dilihat (frasa petikan dari blog lain) umpama PENYAMUN MENANG JUDI!!!
  7. Rata-rata pandangan public ke atas ini adalah sangat 'messy', memalukan (esp dlm kes ada dua MB dan 'akan masuk pejabat lebih awal') tetapi amat bersejarah.