Showing posts with label P. thayakumar. Show all posts
Showing posts with label P. thayakumar. Show all posts

Friday, May 8, 2009

Langkah terdesak, takut kalah Pilihanraya Kecil

ISA: Tiga pemimpin Hindraf bebas
May 8, 09 12:34pm Malaysiakini.com

Tiga pemimpin Hindraf - masih berada di kem tahanan Kamunting - bersama 10 yang lain akan dibebaskan daripada kurungan Akta Keselamatan Dalam Negeri, demikian diumumkan hari ini. Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein membuat pengumuman demikian di sidang media khas di Putrajaya sebentar tadi.

Tiga pemimpin ini termasuk ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan, dan penasihat undang-undang Hindraf, P Uthayakumar. Mereka akan dibebaskan dalam waktu terdekat apabila proses dokumentasi pembebasan selesai, kata Hishammuddin lagi.

Daripada lima tokoh terkanan Hindraf yang ditahan pada Disember 2007 bawah akta kontroversi tersebut, dua daripadanya telah dibebaskan awal bulan lalu sejurus selepas Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 3 April. R Kenghadharan dan V Ganabatirau dibebaskan bersyarat dalam kumpulan 13 tahanan ISA seperti diumumkan Najib sewaktu ucapan sulungnya ke seluruh negara. Seorang lagi T Vasantha Kumar akan dibebaskan bersama Manoharan - yang menimbangkan untuk melepaskan jawatan ADUN baru-baru ini dengan alasan gagal berkhidmat kepada para pengundi kawasannya.

Tahanan lain yang akan dibebaskan: Zulkepli Marzuki, Jeknal Adil dan Admi Pindatun (Malaysia), Zainun Rasyid dan Aboud Ghafar Shahril (Indonesia), dan Sufian Salih, Hasim Talib, Abdul Jamal Azahari, Yusof Mohd Salam dan Husin Alih (Filipina). "Pembebasan kesemua tahanan rakyat tempatan akan dibuat dalam tempoh dua tiga hari lagi sebaik semua proses dokumentasi selesai dan tahanan warga asing pula akan dibebaskan selepas kita mengatur dan mengambil tindakan pengusiran dengan pihak Manila dan Jakarta," kata Hishammuddin kepada pemberita di pejabatnya.

Menjawab satu soalan, beliau menafikan pembebasan Manoharan ada kaitan dengan hasrat pemimpin Hindraf itu untuk melepaskan jawatan ADUN. "Jauh sekali. Sebaliknya kita mendapati kesemua yang akan dibebaskan itu tidak lagi menjadi ancaman kepada negara," katanya.

Komen: Berita kemungkinan Manoharan melepaskan kerusi Dun Kota Alam Shah dikeluakan dalam media alternatif dan blog ini pada minggu lepas. Bimbang akan ianya benar-benar berlaku, tindakan segera membebaskannya dilakukan. Pilihanraya kecil adalah suatu yang amat ditakuti oleh BN kini, apabila spirit atau morale semakin jatuh setiap kali keputusan dikeluarkan. Ia harus disekat hatta sanggup melepaskan tahanan. Di mana undang-undang yang telus? Tidak kah lebih dihormati dan disanjungi jika kebebasan itu berlaku diluar tekanan pembangkang, seperti semasa pelantikan PM baru atau ketika menyambut suatu hari yang bersejarah. Dengan tindakan yang dilakukan atas tekanan ini menunjukkan lagi ketewasan itu berterusan. Hindraf, Pakatan dan pejuang hak asasi terus bersorak lagi nampaknya. Mereka sedang memikirkan tuntutan lain dan tekanan lain. Pihak yang tersepit terlalu defensif kini kerana tindakan terburu-buru sendiri. Senjata kadangkala boleh memakan tuan.