Saturday, January 17, 2009

14 Jan 2009 - Telah 33 Tahun Kehilangan Tun Razak

Impian Tun Razak untuk semua kaum

MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN) 15/01/2009

SEMALAM, pada 33 tahun yang lalu, negara kehilangan seorang tokoh pejuang bangsa yang dihormati dan disegani kerana sumbangan dan jasa beliau terhadap pembangunan negara. Tun Abdul Razak Hussein iaitu Perdana Menteri Kedua Malaysia, meninggal dunia pada 14 Januari 1975 kerana penyakit leukemia, ketika masih lagi memegang jawatan Perdana Menteri. Kepulangan Tun Abdul Razak ke Rahmatullah, meskipun selepas lebih tiga dekad tidak pernah memadam semangat dan perjuangan negarawan ulung itu, sebaliknya ia kekal dikenang dan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Terlalu banyak yang diperkatakan mengenai sumbangan dan jasa Tun Abdul Razak terhadap pembangunan sosioekonomi dan sosiopolitik negara, sesuai dengan peranan beliau yang menjadi tulang belakang kepada pembentukan dan kemajuan Malaysia seperti yang dikecapi hari ini. Setanding dengan gelaran Bapa Pembangunan Negara yang diberikan, Tun Abdul Razak meskipun dalam tempoh yang singkat menjadi Perdana Menteri iaitu kira-kira tujuh tahun, tidak berkompromi dengan usaha pembangunan negara. Fokus utama Allahyarham ialah membasmi kemiskinan, kejahilan dan meningkatkan taraf kesihatan terutamanya di kalangan penduduk luar bandar.

Matlamat itu juga melahirkan pelbagai agenda kebangsaan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Rancangan Buku Hijau dan banyak lagi yang diperkasakan menerusi parti Barisan Nasional yang distruktur semula daripada Perikatan pada 1 Januari 1973. Di pentas antarabangsa, Tun Abdul Razak dengan kebijaksanaan diplomasi dan dasar luar negaranya menjadikan suara Malaysia yang secara fizikalnya kecil didengari oleh kuasa-kuasa besar dunia.

Idea beliau mencetus kepada penubuhan ASEAN serta konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) selain Tun Razak juga menjadi individu yang bertanggungjawab dalam rundingan menamatkan konfrantasi Indonesia-Malaysia yang didalangi oleh Parti Komunis Indonesia (PKI).

Namun ketika setiap daripada sumbangan dan jasa Tun Abdul Razak diangkat sebagai pengabdian yang tinggi kepada negara tercinta, berapa ramai daripada kita, terutamanya generasi selepas merdeka yang benar-benar menghayati semangat perjuangan yang dirintis oleh Tun Abdul Razak? Sebagai pewaris kepada sebuah bangsa dan tamadun yang banyak terbentuk daripada acuan pemikiran Tun Abdul Razak, seharusnya setiap daripada anak Malaysia terdidik di dalam jiwanya untuk meneruskan dan mengekalkan apa yang dipelopori oleh Tun Razak.

Salah satunya adalah usaha memupuk semangat perpaduan di kalangan pelbagai kaum yang menjadi teras utama kepada pembinaan sosial, ekonomi dan pembangunan negara. Semangat Tun Abdul Razak dalam menyatupadukan seluruh kaum bermula lebih awal iaitu ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran dengan memperkenalkan Penyata Razak 1956.

Agenda pendidikan ini memberikan makna yang sangat besar kepada perpaduan pelbagai kaum apabila ia berjaya menyatupadukan sistem pelajaran yang sebelumnya diamalkan secara pecah dan perintah di bawah dasar penjajah. Gagasan pemikiran Tun Abdul Razak menerusi Penyata Razak 1956 itu juga meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam usaha mewujudkan sebuah bangsa yang bersatu padu.

Dalam memupuk perpaduan antara kaum juga, Tun Abdul Razak melancarkan 'Rukunegara' pada 31 Ogos 1970 yang menjadi ideologi kebangsaan dengan harapan membentuk sebuah masyarakat dan negara Malaysia yang demokratik, adil, saksama dan progresif.

Seperti yang dijelaskan oleh pensyarah di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, Tun Abdul Razak memikul tugas yang amat berat dalam mengembalikan keharmonian negara terutamanya selepas peristiwa 13 Mei 1969. Ketika itu, beliau perlu merangka dasar sosial, ekonomi dan politik yang boleh memacu negara kepada satu bangsa yang maju dan pada masa yang sama aman serta bebas daripada konflik etnik.

Tun Abdul Razak bagaimanapun memperlihatkan kesungguhan yang tinggi dalam membentuk sebuah acuan perpaduan rakyat pelbagai kaum yang sebenar menerusi pelbagai usaha seperti pembentukan Jabatan Perpaduan Negara, Rukun Tetangga, pembentukan Rukun Negara dan banyak lagi.

Namun, ia seolah-olah dicabar ketika ini apabila kumpulan tertentu dengan sengaja memanipulasi sentimen etnik untuk mendapat sokongan politik, populariti dan kepentingan tertentu dalam masa yang singkat. Begitu juga dengan usaha Tun Abdul Razak menarik penglibatan semua golongan masyarakat dan kaum dalam pengagihan kekayaan negara supaya rantaian kemiskinan dapat diputuskan.

Dengan pelbagai peluang ekonomi yang dibuka oleh beliau dan diperhebatkan lagi oleh Perdana Menteri selepasnya, bumiputera tidak lagi mempunyai alasan untuk terus hidup di bawah kepompong kemiskinan. Sebaliknya, dengan keinginan dan kesungguhan yang tinggi, orang Melayu dan bumiputera berjaya merapatkan jurang kekayaan, meskipun masih banyak usaha yang diperlukan untuk benar-benar bersaing dengan kaum-kaum lain.

Sesuatu yang pasti, agenda pembangunan dan ideologi Tun Abdul Razak telah membina satu landasan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mencapai taraf kehidupan, pembangunan dan perpaduan yang lebih baik. Apa yang tinggal kini ialah sejauh mana setiap daripada kita yang mengecapi kemewahan hidup daripada penat lelah Tun Abdul Razak serta pemimpin lainnya, mahu mempertahankan dan menjadikannya lebih baik untuk Malaysia.

Komen: Malaysia berubah banyak hasil dari pemikirannya. DEB dll... dilancarkan oleh Tun Razak. Namun seperti lumrah alam, yang baik itu selalu tidak lama dengan kita... Beliau memerintah hanya dari 1970-1976 kedua singkat selepas Tun Hussein Onn, 1976-1981.




3 comments:

Anonymous said...

Cabaran pemimpin dahulu lain dari sekarang... jika dahulu pembangunan negara, rakyat untuk keluar dari belenggu kemiskinan rentetan penjajahan kini kehidupan rakyat kian mewah dan lebih berpelajaran... terpulanglah kepada pemimpin kini untuk menelah dan memahami keinginan rakyat...

Syeikhryz Ibnu Al-Haymdan said...

salam dr..welcome to the world of blogging!...hahahhaha..never thought that i will find my teacher blogging!..hahahhaha...so,bila nak update?..

Sains Politik Malaysia said...

pemimpin dulu memang tak boleh disamakan dengan yang sekarang. Kalau dahulu agenda pembangunan negara adalah no 1... kini agenda peribadi menjadi no 1.

Rizal... tq for the support. nanti nak juga jumpa dan belajar letak2 gadget2 yang penting... ni banyak kosong lagi kat space tepi2 tu...

tq..