Monday, January 5, 2009

Side-Impact of IT on Democracy


Hentikan budaya politik sensasi

Utusan 1 Ogos 2008
KUALA LUMPUR: Para pemimpin politik digesa agar berhenti mengamal budaya berpolitik secara sensasi, persepsi dan 'pembunuhan' karakter sesama mereka kerana ia dikhuatiri mengganggu kestabilan negara.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugam Pandian berkata, para pemimpin harus sedar akan tanggungjawab berat mereka sebagai wakil rakyat untuk membantu dan berkhidmat kepada masyarakat.

''Sekiranya fitnah atau tohmahan yang tidak berasas dilemparkan ke atas pemimpin tertentu, ia akan menyebabkan mereka sukar dijadikan teladan oleh generasi baru hari ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas amaran Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa akan ada lebih banyak fitnah yang bukan menjurus kepada kebenaran ditaburkan dalam politik negara sekarang.

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Dr. Wee Ka Siong baru-baru ini dikaitkan dengan pita rakaman skandal seks. Sivamurugam berkata, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mengakibatkan wujudnya lebih banyak peralatan baru yang boleh digunakan oleh pemimpin untuk berhadapan dengan musuh politik masing-masing.

''Jika dahulu khabar angin hanya disebarkan menerusi surat layang tetapi kini ia disebarkan pula melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), blog, laman web dan sebagainya,'' katanya.

Sementara itu, Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Ahmad Nidzamudin Sulaiman pula berkata, senario tersebut yang turut memberi impak yang kian meruncing di kalangan masyarakat turut dilihat berpunca daripada kebebasan terbuka pihak media.

Katanya, biarpun ia dilihat banyak menyumbang kesan positif namun jika disalahgunakan, medium ini turut membawa keruntuhan sesebuah negara. ''Masyarakat yang tidak matang kebiasaannya cenderung untuk terpengaruh dengan penyebaran sesuatu maklumat yang tidak tepat berbanding keadaan sebenar yang berlaku.

''Ini boleh memberi kesan negatif kepada sesebuah negara,'' katanya. Bagaimanapun, menurut beliau, dalam situasi begini, pemimpin harus bijak mengawal diri untuk tidak turut terheret dan terpengaruh dengan fitnah yang disebarkan.

Beliau juga menyarankan para pemimpin berfikir secara rasional selain terus melaksanakan tugas dengan jujur, ikhlas dan amanah.

Komen: kebebasan tanpa had hanya bawa kepada
anarki.. walaupun punyai matlamat murni, pendekatan machiavellian tetap kotor...


No comments: