Ng Ling Fong & Yong Kai Ping Malaysiakini.com Jul 13, 098:03pm
Semuanya berpunca daripada kenyataan salah seorang tetamu jemputan dalam programnya - Point of View - di ntv7 yang memberi pemeringkatan (gred) 'C' atau 'D' terhadap prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi 100 hari pentadbirannya. Ekoran itu, pengacaranya, Florence Looi menerima surat amaran dan terus ditukar ke meja berita stesen swasta tersebut. Looi didakwa telah melanggar dasar redaksi pengarangnya, kata sumber-sumber ntv7.
Semuanya berpunca daripada kenyataan salah seorang tetamu jemputan dalam programnya - Point of View - di ntv7 yang memberi pemeringkatan (gred) 'C' atau 'D' terhadap prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi 100 hari pentadbirannya. Ekoran itu, pengacaranya, Florence Looi menerima surat amaran dan terus ditukar ke meja berita stesen swasta tersebut. Looi didakwa telah melanggar dasar redaksi pengarangnya, kata sumber-sumber ntv7.
Dua tetamu jemputan program tersebut - yang dipancarkan pada 5 Julai lalu - ialah penulis Syed Akhbar Ali dan editor perunding, Leslie Lau dari Malaysian Insider. Lau yang memberi pemeringkatan (gred) 'C' atau 'D' bagi pentadbiran Najib.
Sumber-sumber itu berkata, Looi selepas itu diberitahu secara lisan bahawa dia tidak seharusnya meminta mereka memberi pemeringkatan terhadap prestasi Najib. Oleh kerana Looi merupakan pengacara yang juga penerbit program tersebut, maka hanya dia seorang sahaja yang diberi surat amaran tersebut.
Looi, yang merupakan editor tugasan, kemudiannya telah ditugaskan untuk membuat liputan berita, atas alasan kekurangan petugas di meja berita. Insiden tersebut mungkin 'menguburkan' program 'Point of View', yang baru tamat musim keduanya.
Sehingga ini, belum ada pengumuman sama ada program itu akan dilanjutkan ke musim ketiganya. Bagaimanapun, sumber-sumber itu percaya, sekiranya program itu diteruskan, ia akan dikendalikan oleh pengaracara baru. Ketika dihubungi, Looi enggan mengulas mengenainya dan usaha untuk menghubungi pihak pengurusannya juga belum berhasil.
Ntv7 adalah salah sebuah daripada empat stesen TV swasta milik syarikat gergasi media - Media Prima Bhd - yang ada kaitan dengan Umno. Tiga lagi stesen miliknya ialah TV3, 8TV dan tv9.
Begitu juga dengan berita mengenai banglo mewah milik bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo di Shah Alam di mana ianya hanya sempat disiarkan dalam berita Mandarin jam 5.30 petang di ntv7. Selepas itu, berita itu tidak lagi disiarkan oleh buletin berita di stesen lain milik Media Prima.
'Hanya satu pandangan'
Sementara itu, pengarah eksekutif Pusat Kewartawan Bebas, V Gayathry membidas ntv7 kerana mengamalkan saringan kendiri (self-censorship). “Komen oleh tetamu jemputan mengenai pretasi (Najib) bukanlah sesuatu yang kritikal, tetapi hanya satu pandangan,” katanya.
Menurutnya, Looi dihukum kerana bertanyakan satu soalan penting ketika semua orang lain membuat penilaian tentang prestasi Najib. “Program tersebut telah memberi ruang yang baik untuk perbincangan (dan Looi menjalankan tugasnya dengan baik),” tegasnya.
Menurut Gayathry lagi, ketika Najib dilantik perdana menteri, Media Prima telah mengeluarkan arahan kepada empat stesen TV miliknya itu supaya tidak menyebut nama penganalisis politik - Abdul Razak Baginda - ketika melaporkan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Razak merupakan teman karib Najib. "Kita ingin bertanya sama ada menjadi dasar Najib di mana mereka yang ditempatkan di stesen TV, mengamalkan saringan kendiri (self-censorship),” tambah Gayathri.
Program 'Point of View' disiarkan jam 6 petang hari Ahad. Tetamu jemputannya membincangkan tajuk-tajuk panas seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dasar penukaran bahasa, pendidikan bahasa ibunda, tanggungjawab pihak polis dan yang terbaru, skandal PKFZ.
Sejak Najib mengambil alih kuasa, pegawan tinggi media yang ada kaitan dengan mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah diganti. Mereka yang berkhidmat sewaktu pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilantik semula menerajui media, sehingga mencetuskan persepsi akan mewujudkan suasana media yang lebih banyak sekatan.
Bekas pengarang kumpulan New Straits Times, Datuk Ahmad Talib kini dilantik sebagai pengarah eksekutif berita dan operasi jabatan pengarang di Media Prima, serta sebagai pengarah ksekutif (jabatan pengarang) di New Straits Times Press. Bekas pengarang kumpulan Berita Harian, Datuk Manja Ismail dilantik sebagai pengarang kumpulan NTV7, 8TV, TV9 dan rangkaian radio, bagi membantu Ahmad.
Komen: Demikian Media di Malaysia. Apabila penilaian ranking dunia meletakkan kebebasan media Malaysia di tahap yang rendah, ramai yang merasa tidak senang. Namun Demikiannlah sifatnya. Apabila kenyataan jujur disuarakan oleh ahli panel maka pengacaranya pula yang mendapat bencana. Ia diambil tindakan, ditukarkan ke tempat lain dan diberi surat amaran sedangkan acara tersebut diminati ramai dan sambutan massa kepada NTV 7 adalah kerana ketelusannya seperti yang disiarkan ini. Dalam kes ini, penilaian pemerintahan 100 hari PM ahli panel diminta memberi grading atau nilai gred PM kini dan secara ikhlas mereka memberi gred C atau D. Ini nampaknya tidak disenangi.
Persoalannya.. apakah panel atau pengacara mesti memberi gred A sahaja dan tidak lain walaupun penilaian ikhlas dalam hati kecilnya adalah C atau D? Di mana tanggung jawab media sebagai media profesional di negara ini? Selama ini memang NTV 7 merupakan saluran yang paling telus dan jujur dalam melaporkan berita di negara ini. Cuba perhatikan berita malam atau Edisi 7. Tindakan ini ternyata amat mendukacitakan pembangunan media negara.
Beberapa istilah bold, italic dan bracket adalah tambahan sendiri.Mohon maaf blog agak sunyi lebih seminggu kerana berada di luar - outstation menghadiri konferens. Terima kasih kerana ada yg masih sudi mengunjung.
No comments:
Post a Comment