ALOR GAJAH: Keluarga mendiang Teoh Beng Hock yang mennyambut baik pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengenai penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes kematian mendiang berharap dapat bertemu dengan Perdana Menteri secepat mungkin.
Adik perempuan Teoh, Lee Lian, 29, selaku jurucakap keluarga itu berkata mereka mahu bertemu dengan Perdana Menteri bagi memaklumkan secara peribadi permintaan mereka supaya siasatan menyeluruh dijalankan terhadap kes kematian abangnya itu.
"Setelah diteliti, suruhanjaya dengan termaterma khusus itu hanya berkaitan untuk meneliti dan mengkaji soal siasat yang digunakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Suruhanjaya itu tidak merangkumi siasatan untuk punca kematian dan pihak yang bertangungjawab," katanya kepada pemberita di kediaman keluarganya di Taman Seri Kelemak di sini hari ini.
Semalam Kabinet memutuskan satu inkues yang diketuai oleh seorang majistret akan dijalankan minggu depan bagi menentukan punca kematian Teoh, 30, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah.
Satu suruhanjaya diraja juga diwujudkan dengan termaterma khusus iaitu meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai SPRM.
Teoh ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam Shah Alam Khamis lalu selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM.
Semalam,Najib turut menyatakan kesediaan untuk bertemu keluarga Teoh untuk memaklumkan hasil siasatan itu. BERNAMA
Komen: Terlalu banyak komen susulan setelah kabinet memutuskan untuk membentuk sur
uhanjaya penyiasat bagi kes ini. Sebelum ia dimaklumkan pelbagai pihak menuntut satu suruhanjaya penyiasatan bebas diwujudkan. Setelah disahkan oleh kabinet ia diwujudkan, berbagai pula komen lain seperti tidak percaya akan keadilan, kebebasan dan ketelusan yang akan diketengahkan.. Persoalannya kenapa suara-suara seperti ini keluar? Kenapa keluarga mendiang sendiri pun tidak yakin dan ingin berjumpa dengan PM bagi menyatakan kehendak dan kepastian mereka. Semua ini memberi gambaran demikian imej yang wujud terhadap suruhanjaya penyiasatan di negara ini. Lihat kes video Lingam sebagai contoh dan lain-lain kes lagi yang melibatkan badan penyiasat seperti ini.. Ke mana akhirnya...? Apakah semua itu disusuli dengan tindakan yang sewajarnya..??
