Showing posts with label UMNO. Show all posts
Showing posts with label UMNO. Show all posts

Tuesday, June 23, 2009

Pilihan raya ke-13 penamat buat UMNO...apa kata Ku Nan

June 23, 2009 : 08.49am oleh: HANAFIAH MAN Agenda Daily

Peralihan kuasa kepimpinan negara yang berlaku 3 April 2009 lalu atau tepatnya 82 hari lalu dikatakan masih tidak memberikan impak yang besar kepada keyakinan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN). Ramai yang masih beranggapan tidak banyak perubahan berlaku. Malah tempoh kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang belum pun sampai 100 hari sudah dinilai dengan pelbagai andaian. Ini termasuklah pandangan yang terlalu ekstrim menyatakan pilihan raya ke-13 adalah penamat kepada riwayat politik UMNO daripada persada kuasa.

Agendadaily menemu bual Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (DSTA) bertanyakan perkara-perkara yang kini menjadi perbualan banyak pihak.

Soalan: Datuk Seri ramai yang beranggapan bahawa pilihan raya ke-13 akan datang merupakan penamat buat UMNO dan BN, apa pandangan Datuk Seri

DSTA: Itu semua persepsi. Orang punya persepsi menyatakan macam-macam. Saya berkeyakinan rakyat tahu bahawa BN yang bertulang belakangkan UMNO adalah sebuah parti yang memiliki kewibawaan untuk membangun negara, memberi apa yang dikehendaki oleh rakyat dan memastikan bahawa negara ini stabil dan untuk mempastikan bahawa aqidah umat Islam tidak dipesongkan kerana UMNO adalah parti Islam yang terbesar di negara ini.

Soalan: Tapi persepsi yang menyatakan pilihan raya ke-13 ini penamat buat UMNO dan BN timbul kerana ramai yang merasakan UMNO masih tidak berubah lagi.

DSTA: Apa yang UMNO tidak berubah. Macam-macam perubahan kita lakukan. Takkan kita nak ceritakan apa yang kita buat, itu kita punya strategi.

Soalan: Persepsi UMNO tidak berubah ini timbul kerana perubahan yang dibuat tidak dirasai atau dapat dilihat.

DSTA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib telah memperkenalkan konsep 1 Malaysia, Rakyat Diutamakan Pencapaian Didahulukan. Ini bukan sekadar cogankata. Ini adalah realiti dan Datuk Seri Najib telah pun membuat pelbagai perubahan. Contohnya liberalisasi ekonomi. Tidak lama lagi beberapa perubahan yang dibuat oleh Datuk Seri Najib.

Soalan: Jadi Datuk Seri yakin rakyat akan merasai semua perubahan ini.

DSTA: Pasti. Masalahnya pembangkang cuba untuk membentuk pemikiran rakyat bahawa Barisan Nasional ini lemah, UMNO lemah. Padahal Barisan Nasional dan UMNO tidak lemah. Kita masih lagi ada kekuatan, kita masih lagi mempunyai kewibawaan untuk mentadbir negara ini. Soalan: Serangan terhadap UMNO dan BN kini bukan sahaja terhadap pemimpin parti dan negara tetapi sudah sampai kepada serangan peribadi terhadap isteri pemimpin dan keluarga mereka. DSTA: Itu buktinya mereka sudah tidak ada isu. Bagi saya mereka ini adalah cheap entertainer…pelawak murahan.

Soalan: Namun kritikan serta persepsi buruk terhadap UMNO dan BN bukan sahaja datang daripada pembangkang tetapi juga daripada kalangan ahli UMNO sendiri.

DSTA: Kalau ahli UMNO, ramai yang jadi ahli UMNO tidak tahu perjuangan. Kita sedang buat sesuatu untuk memaklumkan kepada ahli-ahli baru tentang sejarah, perjuanagn dan matlamat BN dan UMNO. Malaysia hanya akan jadi sebuah negara yang berjaya jika BN kukuh.

Soalan: Pilihan raya kecil DUN Manek Urai akan berlangsung tidak lama lagi. Soalan ini bersifat spekulatif. Jika UMNO kalah, ai akan menjadi siri kekalahan UMNO dan BN pada pilihan raya kecil. Bagaimana UMNO hendak berdepan dengan keadaan ini.

DSTA: Saya rasa semua pihak perlu maklum bahawa empat pilihan raya kecil yang lalu adalah di tempat-tempat yang kerusinya bukan kepunyaan Barisan Nasional kecuali di Kuala Terengganu. Di Kuala Terengganu pula ada beberapa kesilapan yang telah kita lakukan dan kita akan perbaiki kesilapan-kesilapan ini. Pembangkang pula di Kuala Terengganu telah menggunakan satu perkataan iaitu sombong. Calon sombong dan perkataan ini telah termakan oleh para pengundi di Kuala Terengganu.
Tapi hakikatnya, daripada empat pilihan raya kecil yang telah diadakan, UMNO cuma kalah di satu kerusi miliknya sebelum ini iaitu Kuala Terengganu. Manakala yang lain kita bertanding di kerusi yang bukan milik UMNO selepas pilihan raya umum Mac 2008. Di Manek Urai barangkali kita akan menang. Daripada segi keyakinan, InsyaAllah kalau tidak menang kita boleh pastikan undi yang diperolehi pembangkang akan merosot. 23/6/2009

Komen:Jawapan ini sudah boleh membayangkan keadaan sebenar. Begitu defensif dan tidak memberangsangkan. Masih feudal dan patronizing.. banyak perkara yang masih terhijap di kalangan kepimpinan parti ini.

Saturday, May 16, 2009

Umno perlu ubati hati orang Melayu
May 16, 09 10:04am Malaysiakini.com'

Tugas utama Umno dalam senario politik negara kini adalah "mengubati hati" orang Melayu agar kepercayaan mereka terhadap parti itu kembali pulih. Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn Bhd Datuk A Kadir Jasin berkata jika ia tidak terubat, Umno tidak mungkin boleh kembali kepada keadaan asal dan disokong orang Melayu, malah untuk kekal di tahap sekarang mungkin menjadi lebih sukar.

"Umno hari ini dilihat melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hati rakyat Malaysia bukannya orang Melayu. Hakikatnya bila Umno kuat dengan sokongan orang Melayu, orang bukan Melayu akan sokong kita," katanya yang juga seorang blogger terkenal.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Umno bertajuk "Trend Pilihan Raya Kecil" yang dipengerusikan oleh Datuk Shahaniza Shamsuddin di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi, lapor Bernama. Ahli panel lain ialah ahli akademik dan juga penganalisis politik Prof Datuk Zainal Kling dan Penasihat Undang-undang Umno, Datuk Hafarizam Harun.

Mengenai piliharaya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Kadir berkata BN perlu meletakkan calonnya untuk bertanding dalam pilihanraya kecil itu pada 31 Mei depan. "Segala cakap-cakap mengenai Umno tidak akan bertanding dalam pilihanraya kecil itu hanya akan merosakkan keyakinan rakyat terhadap Umno dan merosakkan kedudukan Umno.. jadi pilihanraya kecil atau besar, Umno kena juga bertanding," katanya.

Prof Zainal pula berkata kepimpinan Umno di semua peringkat perlu berani mempertahankan ideologinya sendiri dan berani menepis segala dakyah pembangkang melalui media arus perdana dan juga media alternatif. "Bertahun lamanya pembangkang menuduh bahawa sebarang kegiatan yang membina dan membela Melayu itu sebagai "racism", tetapi tidak ada seorang pun di antara orang Umno yang berani menjawab tuduhan itu".

"Umno juga perlu menguasai ilmu komunikasi kerana setiap saat pembangkang akan menghentam kita di dalam semua saluran, dan akhirnya Umno jadi "defensive". "Sebab itu corak politik yang terlalu "ethical" yang dipraktikkan Umno sudah tidak relevan lagi sekarang," katanya.

Komen: Ini yang menjadi masalah besar sekarang. Sejak Pilihanraya Mac 2008 sudah banyak suara menyebut tentang ini, i.e.. Umno perlu memujuk orang Melayu, Umno perlu mengambil hati pengundi Melayu, Umno perlu berubah dan mendekati akar umbi Melayu, Umno perlu pulihkan keyakinan Melayu dan sebagainya lagi.., menunjukkan betapa sudah melanda gelombang keluar beramai-ramai dari Umno . Jika tidak keluar pun sudah begitu ramai yang menarik sokongan mereka. Pemimpin juga bijak sekali mengeksploitasi isu ini dengan menyebut berbagai propaganda seperti..., Zaman pemimpin betul semua sudah berubah, Pemimpin sedia menerima kritikan, Pemimpin perlu turun padang, Tsunami politik membawa transformasi dan sebagainya. Namun yang lucunya dalam praktik Umno semacam kata-kata ini semua hanya seperti mencurah air tempayan ke longkang. Lihat apa yang terjadi di Perak, lihat berapa tangkapan semakin banyak dibuat selepas regim Pak Lah, lihat bagaimana keputusan mahkamah yang menimbulkan banyak persoalan, lihat isu PPSMI dan lihat isu agama dan kronisme. Umno perlu ubati hati orang Melayu memang dituntut demi masa depan UMNO, tetapi lebih banyak opium atau "candu" diberi dari ubat yang mujarab.