Tuesday, June 30, 2009

Tuan Aziz: Saya dipilih sebulat suara...

Malaysiakini.com
Muda Mohd Noor
Jun 29, 09
2:26pm

Calon BN dalam pilihanraya kecil Manek Urai, Tuan Aziz Tuan Mat berkata, beliau dipilih secara sebulat suara untuk bertanding di kerusi tersebut.

"Saya difahamkan saya disokong penuh oleh semua ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Kuala Krai.

"Saya tanya pihak tertentu dalam bahagian, saya dapat sokongan penuh oleh AJK bahagian," katanya ketika diminta mengulas dakwaan ada pemimpin bahagian yang akan melakukan sabotaj terhadapnya.

Tuan Aziz yang juga ketua Pemuda Umno bahagian berkata, cerita 'kerat mengerat' di kalangan AJK Umno bahagian tidak berlaku di Manek Urai.

Katanya, hanya pihak tertentu yang menyebarkan spekulasi dan ia merupakan perkara biasa menjelang pilihanraya.

"Tidak sepatutnya berlaku kerat mengerat kerana saya dipilih oleh parti dan mereka juga orang parti yang sama," tambahnya.

Tuan Aziz berkata, jika seseorang calon yang tidak menunjukkan prestasi yang baik, rakyat akan menolak dan ini tidak bermakna berlaku kerat mengerat.

Peluang seimbang

Seorang AJK bahagian yang enggan namanya disiarkan memberitahu Malaysiakini, ada ahli Umno bahagian bimbang ada kumpulan AJK yang tidak puas hati, akan mensabotaj Tuan Aziz.

Katanya, ini kerana ia pernah berlaku dalam pilihanraya umum 2004 dan 2008.

"Kita juga meminta Tuan Aziz yang baru berumur 39 tahun itu tidak meminggirkan orang tua dalam kempennya nanti.

"Maklumlah beliau orang baru, rakan-rakannya orang muda dan keadaan ini boleh menyebabkan beliau lupa kepada pengundi golongan tua," katanya.

Mengenai peluang Tuan Aziz, beliau berkata, calon BN dan PAS itu mempunyai peluang yang seimbang.

Katanya, ini kerana pengaruh calon PAS, Fauzi Abdullah, tidak sama dengan bekas Adun Manek Urai, Ismail Yaacob yang meninggal Mei lalu.

Suruhanjaya pilihanraya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 14 Julai..

Komen: Lebih baik tidak memberi komen jika demikian rupa komennya. Tidak kah komen seperti ini membayangkan sesuatu? Ia begitu defensif dan kelihatan seperti calon ini tidak mendapat sokongan sepenuhnya dari parti ini. Terdapat nama lain yang beliau geruni, yang mungkin punyai pengaruh yang kuat. Siapa..? Kita tidak tahu... tetapi dari komen di atas ia memberi tahu kita bahawa beliau tidak dipilih dengan sebulat suara.

No comments: