Salhan K Ahmad
Ogos 21, 0912:27pm
Malaysiakini.com
Ogos 21, 0912:27pm
Malaysiakini.com
Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam hari ini membuat laporan di balai polis Brickfields berkaitan surat misteri yang muncul Rabu lalu di inkues kematian Teoh Beng Huat. Manikavasagam berkata, beliau juga menerima salinan surat tersebut, yang mendakwa wujud perbuatan rasuah antara seorang pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.
“Kandungan surat tersebut menyatakan terdapat unsur-unsur penyelewengan salahlaku dan kegiatan rasuah oleh pegawai atasan SPRM Selangor,” dakwanya dalam laporan polis berkenaan. “Saya percaya surat ini ditulis oleh orang dalam SPRM kerana dia kelihatan mengetahui secara terperinci mengenai apa yang berlaku,” katanya kepada wartawan selepas membuat laporan berkenaan pagi ini.
Dakwaan dalam surat berkenaan antara lain mengaitkan seorang pegawai kanan SPRM terlibat dalam usaha memulakan siasatan ke atas pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Selangor. Surat yang ditulis dalam bahasa Malaysia itu juga menyebut, pegawai SPRM itu telah menyoal-siasat Teoh pada hari kematian pembantu politik berkenaan.
Manikavasagam juga berkata laporan polis hari ini dibuat atas kesedarannya sendiri tanpa menerima arahan daripada pemimpin-pemimpin PKR.Surat tersebut dialamatkan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; dan salinanya dihantar kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Manikavasagam, setiausaha perhubungan PAS Selangor dan beberapa pihak lagi, termasuk akhbar Suara Keadilan dan Sinar Harian. Dihubungi media apabila ditanya, beliau berkata tiada apa-apa perbincangan dibuat dengan mana-mana pihak yang dikatakan menerima surat berkenaan.
“Saya tidak bercakap dengan sesiapa mengenai surat ini. Saya tidak sebarkan surat ini, dan saya tidak tahu bagaimana surat ini sampai ke tangan media,” katanya lagi. Beliau telah mengedarkan salinan surat bertarikh 5 Ogos itu kepada media hari ini. Jelasnya lagi, beliau menerima surat sepanjang lima halaman itu pada 14 Ogos lalu di pusat perkhidmatannya di Kapar, Selangor. Jelasnya, sebaik menerima surat berkenaan, beliau hanya membaca beberapa bahagian kandungannya tetapi mengenepikannya kerana khuatir ianya mungkin surat layang seperti yang pernah diterima olehnya sebelum ini berkaitan siasatan ke atas kematian VP Sujatha.
Manikavasagam juga berkata, pada awalnya beliau tidak membaca surat berkenaan sepenuhnya kerana ia dialamatkan kepada Khalid. “Saya tidak baca kerana ia dialamatkan kepada menteri besar. Saya cuma baca sebahagian, kemudian saya simpan,” katanya.
Beliau bagaimanapun meneliti kembali kandungan surat berkenaan semalam apabila ditanya oleh beberapa orang wartawan, sama ada beliau menerima surat tersebut.Jelasnya lagi, Malaysiakini, Malay Mail dan The Star telah menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan mengenai surat misteri itu. “Tapi setelah saya baca kandungan surat ini (sepenuhnya, semalam), saya rasa perlu buat laporan polis kerana dakwaan ini serius,” katanya lagi.
************************************
Salinan surat boleh dibaca dari beberapa blog utama analisis politik negara. Salah satunya dari laman web berikut: http://www.tranungkite.net/v9/modules.php?name=News&file=article&sid=2063
Komen:
Kes Teoh Beng Hock mungkin boleh membuka lebih banyak kes yang berangkai-rangkai sebelum ini. Kes ini belaku di Selangor. Surat yang dikirim mengait-ngaitkan dengan pemimpin Selangor dan pegawai tinggi SPRM Selangor. Memang orang ramai puzzled atau tidak tahu banyak tentang ini. Hukum Karma nampaknya memain peranan penting di sini. Semakin disembunyi semakin ia sukar ditahan.. perlahan-lahan ia menyusup keluar juga. Kita tunggu kebenaran surat ini.. jika tidak ada angin... tidak akan pokok bergoyang..
No comments:
Post a Comment