Saturday, February 27, 2010

Perlumbaan cari pengganti Taib berterusan...

Feb 27, 10 7:34pm

Persidangan perwakilan tiga tahun sekali Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bermula di Kuching, Isnin ini mungkin satu perkara membosankan berikutan tiada pertandingan bagi jawatan-jawatan utama kecuali bagi beberapa kerusi dalam majlis tertinggi parti.

Bagaimanapun, atas sebab-sebab politik, persidangan ini akan menarik perhatian penganalisis politik dan para anggota parti memandangkan presiden parti yang telah lama berkhidmat dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud sekurang-kurangnya mungkin memilih majlis itu bagi membayangkan, paling sedikit, siapa bakal penggantinya.

Sesetengah anggota dalam parti membuat spekulasi bahawa Taib akan memberikan bayangan mengenai kemungkinan siapa selepas ini kerana ini boleh menjadi tempoh terakhir beliau menerajui PBB, parti politik paling kuat di Sarawak.

Tapi, biar betul? Ramai yang masih ragu-ragu bahawa beliau akan berbuat demikian demikian pada ketika ini.

"Beliau sepatutnya mempunyai strategi peralihan mulai sekarang tetapi tiada bukti mengenainya,” kata Datuk Seri Daniel Tajem, yang pernah berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri kepada Taib pada awal 1980-an.

Tajem, yang kini seorang penasihat PKR Sarawak, berkata Taib perlu menghadapinya dan bergelut tanpa menghindarinya dan mengumumkan bahawa beliau akan berhenti dan melepaskannya.

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian percaya bahawa Taib akan melepaskan kedudukan tertinggi parti hanya selepas pilihan raya negeri kerana jika beliau meletakkan jawatan sekarang, ia mungkin mencetuskan pergelutan kuasa di dalam parti.

"Beliau perlu mempersiapkan seseorang untuk mengambil alih. Kita mungkin melihat beberapa petanda siapa orang itu selepas konvensyen PBB," katanya.

Dr Sivamurugan berkata daripada perspektif strategi politik, ia mungkin kurang bijak bagi beliau untuk melepaskan jawatan sebelum pilihan raya negeri memandangkan parti itu mungkin memberi perhatian yang lebih kepada siapa yang akan menjadi ketua menteri selepas itu daripada memenangi atau mengekalkan kuasa dalam pilihan raya negeri.

"Isu mana yang mahu diberi perhatian, kepimpinan negeri atau pilihan raya negeri? Taib tidak akan menjadi isu pilihan raya jika beliau terus kekal dan mengetuai kempen dalam pilihan raya negeri akan datang. Pendapat rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak semuanya berbeza. Sebab itu, adalah lebih baik bagi Taib melepaskan jawatan hanya selepas pilihan raya negeri," katanya.

Pengganti berpotensi mungkin datang dari mereka di dalam kedudukan timbalan presiden parti, mereka yang biasanya dipersiapkan untuk mengambil alih kepimpinan tertinggi. Tapi politik di Sarawak berbeza, ia tidak bermakna bahawa perkara itu akan terjadi.

Taib, 74, dipercayai serius mencari pemimpin untuk mengetuai parti. Beliau menerajui PBB sejak 26 Mac, 1981, satu tempoh kira-kira 29 tahun.

Apa yang menarik mengenainya ialah sesiapa yang bakal menggantikan beliau sebagai presiden PBB bakal menjadi ketua menteri Sarawak.

Pada masa lepas, Taib telah memerhati sejumlah pemimpin PBB yang boleh mengambil alih kepimpinannya termasuk Tan Sri Dr Sulaiman Daud, Datuk Seri Effendi Norwawi, Datuk Bujang Haji Ulis, Datuk Abang Abu Bakar Mustapha dan Datuk Seri Haji Adenan Satem. Bagaimanapun, kesemua mereka sedikit sebanyak telah dilupakan, atas beberapa sebab - sesetengah daripada mereka dikatakan tidak sabar, sesetengahnya enggan menunggu.

PBB ditubuhkan berikutan penggabungan antara Parti Bumiputra dan Parti Pesaka pada Januari 1973. Dalam sejarah parti itu, tiada siapa yang pernah mencabar presiden parti dan kebanyakan kedudukan tertinggi tidak ditandingi, kecuali dalam dua peristiwa, pada 1998 dan 2005, tetapi ia hanya membabitkan jawatan timbalan presiden.

Pada 1998, Adenan dan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg bertanding bagi merebut jawatan timbalan presiden, yang diperuntukkan bagi seksyen Melayu/Melanau dalam PBB. Abang Johari menang selepas mendapat sokongan kuat daripada anggota-anggota keturunan Dayak walaupun kenyataannya Adenan disokong kuat oleh Taib pada masa itu.

Adenan, kemudian dilantik oleh Taib sebagai naib presiden kanan parti itu. Tujuh tahun kemudian, Adenan mencabar Abang Johari, tetapi perwakilan persidangan ditangguhkan apabila dilaporkan sesetengah para penyokong Adenan didakwa menggandakan cawangan-cawangan dalam 40 kawasan.

PBB kemudian dinasihatkan Pendaftar Pertubuhan untuk mengadakan pemilihan atau berdepan dibatalkan pendaftaran seperti Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) yang sudah tidak wujud lagi.

Pada 2006 Taib telah membayangkan bahawa beliau akan menduduki kerusi ketua menteri sehingga pilihan raya negeri memandangkan tempoh pentadbiran negeri sekarang akan tamat pada Julai tahun depan.

Tetapi, seawal akhir tahun lepas, Taib menghantar satu isyarat bahawa beliau bersedia mengundur diri dan dilaporkan sedang mencari seseorang tanpa mengira kaum untuk dilatih bagi mengambil alih kepimpinan daripadanya.

Cakap-cakap bahawa Taib bersedia menyerahkan baton semakin bertambah April tahun lepas berikutan kematian isterinya, Puan Sri Laila Taib, yang disifatkan sebagai penyokong kuat kepada Taib dalam karier politiknya.

Oleh itu, tumpuan kepentingan kini ditumpukan kepada kelompok semasa para pemimpin kanan - timbalan presiden (1) Tan Sri Alfred Jabu, timbalan presiden (II), Abang Johari dan naib presiden kanan Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan sebagai calon pengganti.

Alfred Jabu, seorang graduan pertanian dan ahli politik berpengalaman, telah dididik oleh dua ahli politik terkenal Sarawak - Tun Abdul Rahman Yaakub, mantan ketua menteri dan Yang Dipertua Negeri, dan kemudian oleh Taib sendiri.

Sejak dipilih sebagai ADUN Layar pada 1974, beliau telah dilantik dalam pelbagai jawatan kementerian, termasuk timbalan ketua menteri di bawah Rahman, dan sejak Mac 1981 di bawah Taib.

Seorang lagi calon ketua menteri ialah Abang Johari, yang datang dari keluarga ternama di mana bapanya, Tun Abang Openg, merupakan gabenor pertama Sarawak. Dengan memegang satu ijazah MBA dari sebuah universiti Britain, beliau dikatakan telah menunjukkan kebolehan sebagai menteri pembangunan
industri sebelum bertukar ke Kementerian Pelancongan.

Dalam rombakan kabinet terbaru negeri, beliau dipertanggungjawabkan untuk menjaga Kementerian
Pembangunan Bandar dan Perumahan negeri.

Anak Taib, Datuk Seri Sulaiman yang meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri pelancongan baru-baru ini, juga telah disebut-sebut sebagai seorang lagi bakal calon kerana terdapat spekulasi bahawa bapanya mahu beliau kembali ke Sarawak dan "dilatih untuk mengambil alih".

Pemerhati politik yang memantau dengan teliti politik Sarawak berkata walaupun Sulaiman tidak menawarkan diri untuk bertanding apa-apa jawatan dalam pemilihan parti tidak lama lagi, ini tidak bermakna bahawa beliau tidak akan dipilih sebagai seorang calon dalam pilihan raya negeri nanti.

Seorang lagi yang bercita-cita sebagai ketua menteri ialah Awang Tengah, menteri kemudahan awam dan menteri kedua perancangan dan pengurusan sumber, yang disifatkan oleh sesetengah orang sebagai jawatan menteri yang cukup berpengaruh selepas Taib dalam kabinet negeri.

Terdapat cakap-cakap bahawa Taib telah mendapatkan pandangan rakyat yang rapat dengan beliau termasuk sesetengah menteri keturunan Dayak dan Cina berhubung bakal penggantinya.

Jadi, siapa bakal pengganti Taib? Teka teki masih berterusan.

- Bernama
Komen: Banyak nama diberikan sebagai calon ganti, ramai yang sudah tidak berada dalam perlumbaan kecuali Awang Tengah dan mungkin Abang Johari. Namun selagi kita bercakap tentang Taib, sudah tentu peluang Abang Jo tetap tipis, melainkan jika Taib sudah tidak berkuasa lagi. Aneh nya dalam analisis Bernama di atas tidak langsung menyebut nama anaknya Sulaiman Taib.. sengaja atau terlupa.. rasanya tidak keterlaluan jika dianggap dia sedang berada di hadapan sekaliii..

No comments: