RK Anand Apr 11, 09 4:39pm Malaysiakini.com
MIC sedang menimbang untuk menarik keluar wakil parti itu dalam kabinet baru ekoran banyak lagu isu-isu yang belum diselesaikan, terutama berhubung layanan pentadbiran baru terhadap masyarakat India, kata sumber dalaman parti itu hari ini.
Walaupun senario itu dilihat sukar berlaku, tetapi beliau berkata, MIC bersedia melakukannya bagi menumpukan kepada usaha menyatu padukan masyarakat India terlebih dahulu. "Keputusan itu dijangka dibuat dalam masa terdekat ini, mungkin dalam mesyuarat jawatankuasa pusat MIC yang akan datang lewat bulan ini," katanya.
Bagaimanapun, parti itu akan kekal menganggotai gabungan BN. Sumber tersebut berkata, sungutan utamanya ialah "masyarakat India masih dilayan sebagai rakyat kelas dua, malah seperti kelas tiga di negara ini". Di samping itu, katana, wakil MIC dalam kabinet tidak diberi jawatan menteri kanan walaupun parti itu berulangkali merayu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya melantik Presiden MIC, Datuk S Samy Vellu menganggotai semula kabinet.
Mengikut tradisinya, MIC akan mengisi jawatan menteri kerja raya. Bagaimanapun ianya berubah selepas pilihanraya umum 8 Mac tahun lalu, apabila Samy Vellu gagal mempertahankan kerusi parlimen Sungai Siput. Menteri tunggal MIC dalam kabinet baru ialah Setiausaha Agungnya, Datuk Dr S Subramaniam yang dilantik semula sebagai menteri sumber manusia.
Parti itu juga diberi dua jawatan timbalan menteri - M Saravanan (Wilayah Persekutuan) dan SK Devamany (Jabatan Perdana Menteri). Kementerian sumber manusia, kata sumber tersebut, dianggap sebagai bukan jawatan kanan dalam kabinet dan MIC merasakan ini tidak mencerminkan status parti sebagai parti komponen ketiga terbesar dalam BN.
Komen: Politik merupakan satu seni serba mungkin & kemungkinan ini kuat didasarkan kepada kepentingan. Dalam kes ini MIC merasa tidak puas hati dengan agihan kerusi kabinet. Kini ia mengeluarkan ancaman. MCA juga telah menyatakan perkara yang sama beberapa hari lepas apabila anggotanya yang menjadi menteri itu merosot.
Dalam hal ini tindakan hati-hati perlu diambil oleh BN. Khairy Jamaludin, Ketua Pemuda UMNO juga tidak terpilih. Pemahaman terhadap lanskap politik Malaysia amat perlu di sini. Era kegemilangan BN dan UMNO khususnya, sudah berakhir. Kedudukannya kini amat berbeza. Peningkatan sokongan kepada Pakatan Rakyat amat mencabar kedudukan BN kini.
Pemimpin Yong Teck Lee dari Sabah telah berpindah. Demikian juga Lee Kah Choon di P. Pulau Pinang. Tun Mahathir dengan selamba pernah menyatakan tindakan bijak mereka itu umpama jumping from a sinking boat. Dalam maksud lain mereka sudah dapat melihat BN umpama perahu yang sedang karam atau perlahan-lahan tenggelam dan dengan itu segera melompat ke perahu lain. Lebih baik pada saat awal ini, kelak jika melompat di peringkat terdesak nanti ia akan dituduh sebagai opportunist atau mementingkan diri semata-mata. Pengguguran tokoh tertentu menyebabkan tokoh tersebut akan menilah 'harga'nya.
Dalam kedudukan lanskap politik Malaysia yang agak seimbang kini harga mereka amat bernilai tinggi. Jika ia merasa boleh laku lagi atau amat diperlukan maka tidak terkejut tindakan melompat parti akan berlaku seperti yang dibayangi oleh MIC. Dalam politik yang masing-masing pihak sanggup menerima pemimpin lawan untuk menambah kerusi keadaan ini amat merbahaya. Hatta yang korup diterima seperti yang terjadi dalam krisis politik Perak. Mereka mahu diimbuhi, diiktiraf dengan kedudukan, jika tidak dengan pangkat dan kedudukan, ia boleh dengan jawatan dan pulangan material. Memang senario ini kelihatan menjijikkan... tetapi itu lah POLITIK!!!
No comments:
Post a Comment