Pencerahan, idea revolusioner di Perak
Hishamuddin Rais Malaysiakini.com Feb 25, 09 11:55am
Hishamuddin Rais Malaysiakini.com Feb 25, 09 11:55am
Zaman Gelap adalah era golongan agamawan bersekongkol rapat dengan tuan-tuan tanah dan kaum feudal. Rompakan dan kejahatan kaum feudal telah "dihalalkan" oleh agamawan. Fatwa demi fatwa dikeluarkan oleh para agamawan untuk memastikan tuan tanah dan kaum feudal sentiasa menang.
Hasilnya dua kumpulan ini berkenduri-kendara dalam kemewahan hidup. Tanah, hasil pertanian, ternakan malah anak isteri kaum tani yang dirampok oleh kaum feudal semua dihalalkan oleh agamawan.
Dalam masa yang sama, tenaga kerja kaum tani selalu diperah secara percuma untuk menambahkan lagi kekayaan kaum feudal dan kaum agamawan.Sampai ke suatu ketika kejelekan kaum agamawan telah menjadi lawak bodoh - jika kita lihat dalam konteks hari ini.
Fatwa telah dikeluarkan - sesiapa yang melakukan kesalahan, mereka pasti akan menerima balasan dan dimasukkan ke neraka. Janji neraka ini amat-amat menakutkan kaum tani pada ketika itu.Janji neraka ini ada tetapinya.
Yang bersalah tidak semestinya akan dihantar ke neraka jika yang dituduh sanggup menebus harga dosa mereka. Dosa-dosa ini boleh ditimbang tara dengan berat dinar emas dan perak. Jika sanggup membayar emas dan perak, maka dosa ini akan diampunkan dengan serta-merta oleh kaum agamawan.
Amat jelas di sini pengeluaran fatwa-fatwi masuk neraka ini telah menjadi satu industri, tempat kaum agamawan mengumpul harta kekayaan. Tipu helah dan silap mata kaum agamawan, tuan tanah dan kaum feudal ini mula dihambat oleh kaum tani apabila mereka mula menerima masuk idea-idea rasional pada abad berikutnya, Zaman Pencerahan.
Idea dan pandangan rasional inilah yang memajukan Eropah sehingga kita melihat Eropah yang wujud pada hari ini. Harus disedari bahawa pemecah ruyung membuka jalan pencerahan adalah golongan agamawan juga. Jangan tersilap, sejarah Zaman Pencerahan di Eropah bukan bermula di Florence atau Venice tetapi berpunca di Kota Baghdad dengan wujudnya Baitul Hikmah – Gedung Ilmu. Gedung Ilmu ini didirikan oleh Khalifah Haron Al-Rashid (763 – 809) untuk melakukan kajian ilmu dan penterjemhan buku dan kitab-kitab kuno Yunani yang telah ditinggalkan oleh warga Eropah yang waktu itu masuh dibaluti Zaman Gelap.
Dari pengaruh Gedung Ilmu ini, maka munculah di antaranya Al-Farabi, Ibnu Sina dan Ibnu Rushd - ahli falsafah, ilmuan dan pemikir Arab, Afghan dan Parsi yang membawa idea rasional untuk pencerahan dunia. Mereka inilah di antara puluhan pemikir falsafah agamawan Islam yang membawa idea pencerahan. Al-Farabi membuka kembali pandangan dan pemikiran Aristotle. Pandangan Socrates, Plato dan Aristotle inilah yang menjadi induk dan asas falsafah keilmuan di Baitul Hikmah, Baghdad. Para ahli falsafah ini menggunakan akal dan fikiran mereka yang rasional untuk memahami ayat-ayat Quran.
Bagitu juga di Tanah Melayu, agamawan telah memainkan peranan yang penting dalam melahirkan pencerahan dan kesedaran jati diri. Dari awal lagi kaum agamawan melalui ajaran agama telah sama-sama bangun menentang penjajah – Belanda, Portugis, Inggeris dan Jepun. Tetapi, sejarah tamadun manusia bukan satu jalan yang lurus. Kadang kala ia berulang-ulang.
Bagitu juga terjadi di tanah air kita. Pencerahan yang baru bermula tiba-tiba tergendala dengan kemasukan kuasa Inggeris pada tahun 1874 melalui Perjanjian Pangkor. Di zaman British, rakyat di Tanah Melayu tarafnya sama dengan taraf warga di negara-negara Asia, Afrika dan Amerika Latin. Zaman Penjajah tidak jauh bezannya daripada Zaman Gelap. Warga yang dijajah samalah seperti kaum tani yang harta kekayan mereka dirompak oleh kaum feudal – kini yang merompak ialah kaum penjajah.
Penjajahan bertujuan mengumpul dan merampas harta kekayaan negara yang ditakluk. Justeru British telah mula bersekongkol dan menjalankan kerjasama dengan kaum feudal dan kaum agamawan. Persekongkolan mereka ini dilakukan agar cita-cita penjajah untuk mengambil hasil tanah jajahan tidak diganggu gugat. Justeru dimunculkan Raja-raja di Semenanjung Arab, Jordan dan Iraq – walhal Raja-Raja ini tidak pernah wujud di zaman Nabi Muhammad.
Dalam ajaran Islam tidak wujud konsep raja. Dalam Islam, semua manusia sama di sisi Yang Maha Esa. Islam pada awalnya dianggap radikal dan revolusioner kerana menentang feudalisme dan penindasan. Malah konsep kesamaan derajat di kaca mata Tuhan inilah yang menjadi daya tarikan untuk membuka Zaman Pencerahan dan meruntuhkan kuku besi kaum feudal dan kaum agamawan di Eropah. Di Tanah Melayu, penjajah Inggeris telah memupuk dan membajai kaum feudal agar mereka boleh menjadi orang tengah di antara rakyat dengan kuasa British. Kaum agamawan juga turut direkrut.
Justeru terjadi persekongkolan tiga kumpulan seperti di Zaman Gelap – penjajah, kaum feudal dan kaum agamawan. Kaum agamawan ini sama seperti kaum agamawan di Eropah di Zaman Gelap yang mengeluarkan fakwa-fatwi untuk "menghalalkan" tindakan penjajah dan kaum feudal. Tetapi idea Pencerahan tidak dapat lagi dipadam-padamkan. Satu demi satu kaum feudal di Timur Tengah dihapuskan. Kaum feudal di Timur Tengah yang wujud pada hari ini sedar bahawa mereka diwujudkan kerana mereka menjaga kepentingan ekonomi kaum imperial Anglo-Amerika.
Yakinlah, apabila kepentingan kuasa imperial ini habis - yakni apabila telaga minyak telah kering - maka mereka juga akan turut terbungkus. Beginilah hukum sejarah yang telah diteroka oleh Pencerahan. Apa yang berlaku di Perak pada Februari 2009 tidak banyak perbezaan seperti yang pernah berlaku di Eropah pada Zaman Gelap. Kaum feudal telah cuba melawan arus Pencerahan.
Dari segi sejarah, kaum feudal di Tanah Melayu yang dibajai oleh penjajah British ini telah menerima pukulan pada 1993. Mereka terpukul apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda yang membolehkan kaum feudal disaman. Sebenarnya tindakan ini hanyalah langkah kompromi di antara kelas kaum peniaga dengan kaum feudal.
Dalam krisis Perak, kita juga membaca dan mendengar bagaimana ada golongan agamawan yang mengeluarkan fatwa untuk "menghalalkan" tindak-tanduk golongan feudal. Cara ini tidak menghairankan. Ia pernah berlaku di Eropah ketika Zaman Gelap.Sayugia diingatkan, idea Pencerahan Al-Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Rushd telah mempengaruhi William Harvey, René Descartes, Spinoza dan mempengaruhi Karl Marx, Bakunin, Lenin yang terus pula menpengaruhi Jean Paul Sartre yang kemudian mempengaruhi Ali Shariati.
Idea Pencerahan Ali Shariati menumpaskan Raja Segala Raja, Ahmad Reza Pahlavi pada 1979. Sejarah berulang-ulang. Kadangkala ke hadapan, kadangkala mengundur. Tetapi idea dan falsafah Pencerahan akan terus bersinar.
Justeru ketika ini kita juga melihat ada kumpulan dan golongan agamawan Islam telah muncul secara positif ke hadapan untuk mendirikan benteng menghalang kaum feudal membawa Zaman Gelap datang sekali lagi ke dalam budaya negara kita. Pencerahan yang menobatkan idea rasional apabila manusia ini dianggap sama derajatnya di mata Yang Maha Esa masih lagi relevan dan satu idea yang revolusioner pada ketika ini terutama di Perak.
Komen: Tulisan ini agak sensitif namun jika ditatap dengan fikiran terbuka ia masih relevan. Bukan sahaja dalam kes krisis Perak, banyak kes masyarakat lain memperlihatkan pola atau keadaan yang sama. Sejarah dan pemikiran politik menunjukkan feudalisme begitu kuat mencengkam pemikiran orang Melayu hatta setelah merdeka. Kritikan dan bantahan kepada pemimpin dilihat seperti menderhaka atau taboo atau satu dosa besar. Anehnya dalam masa yang sama mereka melaung-laungkan "kita mengamalkan demokrasi". Demokrasi acuan kita, ala Malaysia atau nilai Asia hanya kesedaran palsu yang dibina semata-mata sebagai alasan menekan atau "excuse to abuse" dalam mengaburi mata massa.
No comments:
Post a Comment