Friday, April 17, 2009

Isu kenyataan Muhyidin: MCA-Gerakan terasa hati

MCA, Gerakan kecewa, mudah sensitif wawancara TPM
Jimadie Shah Othman Malaysiakini.com Apr 16, 09 12:16pm

Kritikan pedas beberapa pemimpin Cina terhadap analisis timbalan perdana menteri berhubung kekalahan BN dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang berpunca "kekecewaan" yang terpendam sejak setahun lalu.Penganalis politik berpendapat, MCA dan Gerakan - yang didominasi masyarakat Cina – tidak selesa dengan analisis Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah dua parti tersebut ditolak pengundi kaum itu sendiri dalam pilihanraya umum tahun lalu.

Psikologi pemimpin mereka berbeza dengan Umno yang masih mendapat sokongan Melayu walaupun pengaruhnya makin berkurangan, terutamanya di kalangan penduduk bandar dan golongan muda. "Apabila sesuatu tindakan yang menyentuh perasaan mereka dibuat, tentulah mereka (MCA dan Gerakan) yang sedang sebak (dengan keputusan pilihanraya umum lalu) akan terus menangis," kata pensyarah kanan di jabatan sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman.

Muhyiddin awal minggu ini dilaporkan melihat ketewasan besar BN di parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau sebagai sikap tidak kenang budi pengundi bukan Melayu terhadap kerajaan. Selain mendapat bantahan MCA dan Gerakan, wawancara timbalan presiden Umno itu turut mendapat liputan meluas akhbar-akhbar utama berbahasa Cina yang menganggap analisis itu memberi imej negatif terhadap bukan Melayu.

MCA dan Gerakan menafikan pengundi bukan Melayu tidak membalas budi dalam bentuk sokongan kepada BN apabila diberikan peruntukan RM1 juta sewaktu kempen pilihanraya kecil Bukit Gantang awal bulan ini. MCA pula menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu seolah-olah menganggap bukan Melayu sebagai "peminta sedekah" ketika pilihanraya, sementara Gerakan pula menggesa tuntutan pengundi harus diberikan perhatian sepanjang masa, bukan hanya untuk memancing undi.

Muhyiddin bagaimanapun mendakwa kenyataannya itu diputarbelitkan, tidak dipetik sepenuhnya dan tidak dinilai berdasarkan keseluruhan konteks.Mengulas pergeseran terbuka Umno dan dua lagi komponen BN itu, Dr Ahmad Nidzamuddin menganggap ia "belum sampai di peringkat tegang". Sebaliknya ia muncul akibat rasa "tersisih daripada penerimaan masyarakat sendiri", yang menjadikan MCA dan Gerakan "mudah sensitif" terhadap kenyataan seumpama itu, tambahnya.

Sebelum wawancara tersebut, MCA dan Gerakan juga dilaporkan tidak bersungguh-sungguhkan memenangkan calon Umno di Bukit Gantang, Ismail Saffian. Beliau tewas di tangan calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang juga menteri besar Pakatan Rakyat di Perak.
Menurut pengarah program Merdeka Centre, Ibrahim Suffian pula, reaksi MCA dan Gerakan itu "tidak serius", "selalu berlaku" dan "akan terus berlaku sehingga mereka kembali menang" kembali sokongan masyarakat Cina dalam pilihanraya umum akan datang. "Dalam keadaan sekarang, mereka mesti dilihat mendepani isu dan meraih kembali sokongan masyarakat Cina. Mereka (MCA dan Gerakan) akan terus menjadi kumpulan pendesak kepada Umno,” katanya. "Sebagai contoh di Kuala Sepetang (Bukit Gantang), rakyat tempatan memberikan sokongan padu kepada PAS. Ia tidak boleh difikirkan (sebelum ini).
Ini menyebabkan mereka menghadapi krisis keyakinan," katanya.Kedua-dua penganalisis ini percaya program pertemuan antara parti komponen BN seperti konvensyen – yang dijadual Februari lalu, tetapi ditangguhkan – sebagai langkah yang tepat bagi memulihkan hubungan dalam BN. "Macam dalam perhimpunan agung (tahunan) Umno, kita lihat semangat mereka naik," kata Dr Ahmad Nidzamuddin.

Menurut Ibrahim pula, BN patut mencontohi sikap parti dalam Pakatan Rakyat yang selalu bertemu sehingga isu keretakan dalaman antara gabungan itu tidak lagi diperkatakan dan menjadi buah mulut.Kedua-dua penganalisis ini juga berpendapat gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak "Satu Malaysia" akan menghadapi tugas yang tidak mudah berdepan hubungan antara kaum, termasuk perkongsian kuasa dalam BN.

Menurut Dr Ahmad Nidzamuddin, Najib akan menghadapi "dilema" apabila isu-isu kebersamaan dalam pelbagai aspek – sama ada kaum, kelas dan gender – akan mewujudkan persepsi negatif masyarakat Melayu yang mungkin tidak selesa. Walaupun masih awal untuk menilai kepimpinannya Najib, Ibrahim berkata: "Cabarannya agak besar, lebih-lebih lagi turut terdapat desakan perubahan dalam Umno sendiri."

Komen: Komponen BN seperti MCA, Gerakan dan MIC sedang mengharungi zaman paling buruk kini. Mereka tidak lagi disokong oleh majoriti orang bukan Melayu seperti biasa yang diperoleh sebelum ini. Banyak sekali kerusi mereka tewas dalam pilihanraya ke 12 Mac 2008. Mereka sedang merasakan seperti melukut di tepi gantang dalam masyarakat Cina dan India. Datang tidak menambah, pergi tidak meluak. Sebaliknya parti dari Pakatan mendapat sokongan padu, hatta PAS yang bergerak atas landasan Islam turut mendapat sokongan solid dari pengundi Cina dan India dalam pilihanraya kecil dua bukit baru-baru ini. Dalam keadaan yang amat 'down' ini mereka amat sensitif apabila lahir kenyataan seperti di atas meskipun TPM telah menjelaskan ia diputarbelitkan. Umpama orang sedang marah.. sedikit usikan sahaja boleh menyebabkan ia meletup.. dan dalam konteks politik Malaysia kini... setiap komponen perlu dipelihara umpama menatang minyak yang penuh..

No comments: