Monday, April 13, 2009

Projeksi Politik Malaysia 2012-2013

Pilihan raya Bukit Gantang bukti BN dapat banyak undi Melayu
Berita Harian Isnin 13 April


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Abdul Kadir, berkata Pas tidak boleh mendabik dada mendakwa Pakatan Rakyat mendapat sokongan sebahagian besar orang Melayu walaupun parti itu menang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, minggu lalu.

Beliau berkata, kemenangan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian kerana mendapat sokongan pengundi Cina yang terpedaya dan terpengaruh dengan dakyah Pas dan DAP. Katanya, sebelum pilihan raya itu, Mohammad Nizar dalam temu bual dengan sebuah akhbar mendakwa mendapat sokongan 70 peratus pengundi Melayu dan mempunyai kelebihan berbanding BN serta Umno dan bukan boneka kepada DAP termasuk ketika menjadi Menteri Besar Perak.

"Mereka menyatakan Pas bukan boneka DAP kerana mendapat sokongan Melayu. Namun, selepas keputusan diumumkan, terbukti BN dan Umno mendapat lebih banyak sokongan pengundi Melayu. Pas hanya mendapat 42 peratus undi Melayu, menurun daripada 47 peratus." Sokongan besar yang diperoleh di kawasan pengundi Cina membuktikan Pas dijadikan boneka oleh DAP.

Pengundi Cina memilih calon Pas kerana menyokong DAP yang mempunyai 17 kerusi dalam DUN Perak selepas seorang wakilnya menjadi Adun bebas," katanya dalam temu bual dengan Berita Harian, di sini semalam. Dr Zambry juga menafikan dakwaan Pas, keputusan itu menunjukkan rakyat tidak bersetuju dengan cara BN mengambil alih kerajaan Perak pada awal Februari lalu.

Beliau berkata, apa yang sebenarnya berlaku ialah cara Pakatan Rakyat membohongi rakyat dengan memberi gambaran seolah-olah BN melakukan rampasan kuasa secara tidak sah sehingga ia terpahat dalam pemikiran mereka. Katanya, apa yang sebenarnya berlaku ialah BN menguasai kerajaan mengikut peraturan dan Perlembagaan negeri selepas mendapat majoriti dalam DUN tanpa membelakangkan undang-undang. "Mereka memberi gambaran sehingga rakyat menyatakan ia benar-benar rampasan kuasa tanpa melihat proses itu dilakukan mengikut undang-undang.

Dulu, selepas pilihan raya umum, walaupun BN parti tunggal mendapat 28 kerusi DUN, kita merelakan mereka membentuk kerajaan secara pakatan beberapa parti. "Kita mengambil kira budi bicara Tuanku (Sultan Perak) yang memperkenankan pembentukan kerajaan pada ketika itu. Kini apabila tiba giliran kita mendapat sokongan daripada tiga Adun bebas sehingga ada majoriti 31 kerusi, mereka menipu rakyat dengan menyatakan tindakan kita salah," katanya.

Komen: Seyogia keputusan pilihanraya Bukit Gantang tidak dilihat terpisah dengan pilihanraya lain dan trend politik Malaysia keseluruhannya kini. Tinjauan yang dibuat memperlihatkan keadaan yang sama berlaku di Bukit Selambau, Kuala Trengganu dan Permatang Pauh. Pengundi bukan Melayu sudah semakin jauh dari BN. BN pula harus memerhati perkara ini dengan penuh teliti. Apa yang menyebabkan pengundi bukan Melayu begitu kecewa dan lari dari BN. Apa pula yang menarik perhatian mereka untuk beralih arah kepada Pakatan. Tentu ada yang boleh menjelaskan. Dr. Zambry mendakwa kempen Pakatan yang memutarbelit isu kemelut politik Perak menyebabkan mereka lari. Rasanya tidak semudah itu. Bukit Selambau terpisah dari kemelut Politik Perak, penduduk Cina dan India juga lari, apa lagi di Kuala Trengganu. Pembedahan serius harus dilakukan untuk memahami perkara ini oleh BN. Undi Melayu yang berpecah dua itu yang berjaya diperoleh oleh calon BN. Itu pun dengan pelbagai kelebihan jentera, perbelanjaan, bantuan pusat dan kepimpinan tertinggi yang membolehkan pemerolehan tersebut. Jika persaingan 'fair and square' ... sudah tentu keputusannya lagi berbeza. Projeksi pilihanraya umum 2012 atau 2013 boleh dibayangkan kini. Kepimpinan pula BN terus berusaha menambat hati orang ramai dengan pelbagai projek pembangunan baru... semalam pengumuman pembangunan askar wataniah ingin ditingkatkan demi "keselamatan negara".... amat menarik.. kan? sila lah singgah ke sini..

2 comments:

Faizal said...

Pada PRU 12 yg lalu, selepas keputusan rasmi diketahui umum, ramai yang berpendapat bahawa undi yang diperolehi oleh PR itu merupakan undi protes daripada penyokong BN sebagai isyarat kepada pucuk pimpinan mereka. Malahan, para pemimpin tertinggi BN sendiri begitu optimis dengan andaian tersebut. Akan tetapi,selepas pasca peralihan kuasa, trend ini masih konsisten yg menunjukkan bahawa para pengundi samada pengundi malayu, cina atau india semakin jauh daripada BN.

Walau bagaimanapun, para pemimpin BN seakan-akan tidak pernah belajar dengan perkara ini walaupun beberapa kali menegaskan supaya BN perlu berubah. Perkara ini acap kali dilaungkan sejak dari PRU12 yg lalu. Realitinya Bn lebih gemar berbicara tentang pelangi di langit daripada melihat awan mendung yg kian menyelubungi.

Keadaan ini bukan sahaja berlaku diperingkat tertinggi malahan menular ke akar umbi. Politik cara lama yg dipraktikkan oleh BN semakin hari semakin ditolak,terutamanya dikalangan pengundi muda. Politik Perkauman dan pembangunan yg menjadi skrip rasmi BN di dalam pilihan raya sejak sekian lama tidak berdaya lagi menawan hati pengundi.

Oleh itu, BN harus bergerak di dalam 1 perspektif yg baru, agar perjuangan BN dapat selari dan relevan dengan senario politik yg kita ada pada hari ini. Akan tetapi, biarlah perubahan BN ini dilakukan secara berhikmah dan bukannya melalui jalan mudah walaupun kita sedar bahawa BN perlu memulihkan imejnya dengan kedar yg segera. Selaku pengundi muda, saya ingin melihat suatu hari nanti, politik fair play hidup di negara ini..itu saja. sekian.

Sains Politik Malaysia said...

Terima kasih atas komen ikhlas dan berterus terang sdr.

Secara jujur juga saya melihat sudah ada semacam kesedaran pemimpin BN akan hal ini. Ucapan pemimpin dlm perhimpunan agung UMNO baru2 ini ada menyatakan perubahan, kritikan, dan macam2 istilah lagi. Saya dan rakan2 juga ada dihubungi pihak tertentu dalaman parti mohon idea dan strategi menawan kembali hati massa.

Namun sudah tentu lah itu tidak mudah dilakukan dlm sekelim mata. Jika sudah separuh abad penggunaan kuasa, penyalahgunaan kuasa dan keangkuhan kuasa berjalan sudah tentu ia tidak mudah dilupakan dalam masa yang singkat. Ia pasti juga memerlukan jangkamasa beberapa tahun.

Satu lagi ialah... mereka mahupun pandangan dan cadangan, tetapi jika diajukan keterbukaan dan peningkatan integriti, anti rasuah dan sebagainya... ia tetap diragui akan diterima dengan baik.

Semasa di atas memang seronok kita berkuasa. Bila terdesak baru rasa kita ini amat kecil dan tidak upaya menguasai semuanya sepanjang masa. Ada kuasa lain yg ternyata sangat berkuasa.

salam