Tuesday, May 12, 2009

Perjalanannya Masih Jauh dan Menyulitkan...

Penjelasan Peguam Nizar
May 13th, 2009 MOHAMED HANIPA MAIDIN

Saya percaya ramai ingin mengetahui sama ada keputusan Hakim Mahkamah Rayuan, Dato Ramly Ali menggantung pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi bermakna Zambry adalah Menteri Besar Perak yang sah? Sebelum saya menjawab soalan tersebut, elok rasanya saya berkongsi dengan pembaca tentang perintah-perintah yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi pada 11 hb Mei yang lalu.

Mahkamah Tinggi ketika mana membenarkan permohonan Dato Seri Nizar Jamaluddin memerintahkan seperti berikut :-

a. Berkenaan tafsiran Fasal 16 (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak bahawa dalam keadaan di mana :

(i) Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan ingin, dan telah member nasihat, untuk pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

(ii) tidak terdapat pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

(iii) tidak terdapat usul tidak percaya yang diambil dan diterimapakai dalam dan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan; dan

(iv) tidak terdapat perletakan jawatan mentri besar Negeri Perak Darul Ridzuan; Mahkamah mengisytiharkan jawatan Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan (yang dipegang secara sah oleh Nizar ) tidak boleh dan/atau tidak dikosongkan.

b. Perintah “quo warranto” dikeluarkan kepada Zambry (Responden) memerintahkan beliau untuk tunjuk sebab dan memberi maklumat bagaimana dan di bawah dasar atau kuasa atau authoriti mana beliau berhak kononnya memegang jawatan Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan dan kononnya bertindak dan/atau menjalankan dan/atau melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab, fungsi-fungsi dan tugas-tugas Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan.

c. Perintah deklarasi bahawa Zambry TIDAK BERHAK untuk dan/atau TIDAK MENJAWAT jawatan Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan dan BUKANNYA Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan pada bila-bila masa yang material.


d. Perintah injunksi untuk menghalang Zambry dan/atau agen-agen beliau dan/atau pengkhidmat- pengkhidmat beliau (seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, SUK) dari bertindak dan/atau menjalankan dan/atau melaksanakan tanggungjawab- tanggungjawab, fungsi-fungsi dan tugas-tugas Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan. Itulah perintah-perintah yang Mahkamah Tinggi keluarkan pada 11 hb Mei yang lalu yang sekali gus menunjukkan secara jelas dan terang bahawa Dato Seri Nizar (bukannya DS Zambry) adalah Menteri Besar Negeri Perak yang sah.

Pada asalnya selain daripada perintah-perintah tersebut , Nizar juga memohon perintah gantirugi. Namun di atas kesedaran bahawa wang bukanlah matlamat tindakan Mahkamah ini, maka Nizar telah menarik balik tuntutan gantirugi. Jika tidak ditarik terdapat kemungkinan besar Mahkamah Tinggi juga akan menganugerahkan gantirugi kepada Nizar yang mungkin jika ditaksirkan akan mencecah jumlah yang agak tinggi.

Nizar juga tidak memohon agar Zambry perlu membayar kos kepada beliau meskipun menjadi satu prinsip undang-undang pihak yang kalah seperti Zambry perlu membayar kos kepada pihak yang menang (iaitu Nizar). Jika Nizar tidak menarik balik perintah kos tersebut saya boleh bayangkan ratusan ribu ringgit yang mungkin Zambry perlu membayar kepada Nizar. Sekali lagi matlamat kewangan bukan faktor yang mendorong Nizar mencabar Zambry di Mahkamah.

Sekarang saya akan menjawab persoalan yang timbul di awal artikel ini. Permohonan untuk penggantungan pelaksanaan penghakiman (stay of execution of judgment) selalunya dipohon oleh pihak yang kalah dalam mana-mana prosiding Mahkamah. Permohonan tersebut selalunya dibuat bagi mengekalkan status quo iaitu supaya pihak yang menang tidak boleh menikmati perintah yang diberikan oleh Mahkamah.

Dalam kes ini sebenarnya peguam Zambry telah pada 11 hb Mei memohon secara lisan perintah penggantungan pelaksaanaan tersebut di Mahkamah Tinggi tetapi Mahkamah telah menolak permohonan Zambry tersebut.

Maka Zambry telah pada hari ini (12 Mei) memohon perintah tersebut di Mahkamah Rayuan dan peguam Nizar telah membantah permohonan tersebut. Dari segi undang-undang prinsip yang terpakai bagi permohonan penggantungan pelaksanaan adalah pihak yang memohon tersebut perlu menunjukkan dan meyakinkan Mahkamah bahawa terdapat keadaan yang istimewa atau unik (special circumstances) yang menwajarkan perintah yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi tidak boleh dinikmati oleh Nizar.

Dalam kes ini nampaknya Mahkamah Rayuan berpendapat wujudnya keadaan istimewa tersebut tetapi kita masih kabur apakah yang keadaan istimewa tersebut kerana saya difahamkan Mahkamah masih belum mengeluarkan alasan penghakiman (dan mungkin tidak akan mengeluarkan alasan).

Selalunya jika pun Mahkamah membenarkan perintah penggantungan pelaksanaan Mahkamah akan juga dalam masa yang sama mengenakan syarat-syarat tertentu. Peguam Nizar meminta Mahkamah mengenakan beberapa syarat kepada Zambry namun meskipun peguam Zambry iaitu Dato’ Cecil Abraham pada dasarnya bersetuju syarat dikenakan ke atas Zambry, Peguam Negara pula menentang syarat dikenakan ke atas Zambry.

Adalah jelas dan nyata sejak dari awal Peguam Negara iaitu Ghani Patail tidak pernah menunjukkan sikap neutral di dalam kes ini. Beliau sejak awal menunjukan sikap memihak kepada Zambry meskipun berselindung di sebalik topeng penjaga kepentingan awam. Sikap beliau dari awal menunjukkan beliau adalah penjaga kepentingan Umno.

Peguam Negara sejak awal bersungguh ingin mematikan kes Nizar. Beliaulah yang memohon merujuk kes ini ke Mahkamah Persekutuan di bawah seksyen 84 Akta Mahkamah Keadilan. Di Mahkamah Persekutuan beliau kalah dan kes Nizar masih hidup. Selepas itu beliau sekali lagi menentang bermati-matian agar Mahkamah tidak membenarkan Nizar meneruskan permohonan semakan kehakiman dengan alasan kononnya Nizar mencabar kuasa Sultan Perak. Sekali lagi, Mahkamah tolak hujah beliau dan kes Nizar diteruskan.

Semasa kes Nizar berjalan, beliau sekali lagi berhujah dan memohon Mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman (judicial review) Nizar. Sekali lagi Mahkamah Tinggi menolak bulat-bulat keseluruhan hujah beliau. Tiada satu pun hujah Peguam Negara yang diterima oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi.

Akhirnya saya ingin jelaskan di sini perintah penggantungan pelaksanaan BUKAN perintah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi. Keputusan Mahkamah Tinggi masih sah dan mengesahkan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah dan Zambry adalah Menteri Besar yang haram.

Oleh kerana menteri besar haram merayu mungkin Mahkamah rayuan berpendapat bagilah peluang menteri besar haram tersebut pegang jawatan tersebut sehingga rayuan beliau diputuskan sebab bukankah sejak dari awal beliau telah ketagih dan mabuk dengan kuasa sehingga sanggup membenarkan partinya merompak Kerajaan sah yang diterajui oleh Menteri Besar yang sah dan dipilih secara sah oleh rakyat Perak.

Komen:
Kemelut ini tidak akan selesai semudah yang dijangkakan setelah muncul keputusan Nizar merupakan MB yang sah. Memang beliau merupakan MB yang sah di peringkat Mahkamah Tinggi setakat ini. MB BN merayu ke peringkat Mahkamah Persekutuan dan kita tunggu keputusan tersebut. Di samping itu BN sedang berusaha keras untuk mengadakan sidang segera bagi membolehkan mereka membuat undi tidak percaya kepada MB Nizar. Sesegera itu juga Nizar ke Istana memohon DUN dibubarkan. Semacam kedua-dua sedang berlumba bila keputusan Mahkamah Persekutuan diisytiharkan nanti. Dari sini timbul pelbagai persoalan yang amat kompleks yang merumitkan lagi kemelut ini seperti berikut...
i. Apakah istana akan bersetuju untuk membubar dewan?.. saya agak pesimistik pada peringkat ini (berasaskan sikap sebelum ini),

ii. Apakah undi tidak percaya yang bakal dibawa oleh BN nanti itu sah? i.e. apakah 'speaker' Ganesan yang dilantik secara koboi itu sah?
iii. Memandangkan belum lagi mengangkat sumpah, apakah boleh 'speaker' baru itu mengendalikan dewan?

iv. Nizar masih menyatakan sidang 7 Mei lepas tidak sah kerana tidak menurut peraturan. Dengan itu apakah semua yang dilantik pada masa itu sah?

v. Kenapa proses mendengar rayuan Zambry didengar oleh seorang Hakim sahaja, sedangkan proses biasanya memerlukan tiga hakim..?

Banyak lagi yang menimbulkan kemusykilan dari penyelesaian dari kemelut yang berpanjangan ini. Hampir semua pihak mendesak kepada pilihanraya baru kecuali BN. Suhakam & pemimpin veteran Ku Li telah turut mendesak dan lebih 40 NGO telah menyerah memo menuntut kuasa dikembalikan kepada orang ramai. Bagi yang masih bermimpi dan syok sendiri tetap tidak nampak akan keperluan itu. Teringat saya kepada frasa popular Lord Acton...Power tends to corrupt and absolute power corrupts absolutely...

4 comments:

Anonymous said...

salam Dr,
pada ketika ini kebijaksanaan itu diperlukan dalam diri seseorang pemimpin. pemimpin yang baik akan sentiasa menentukan kepentingan rakyat. jangan jadikan ego dan sikap gila kuasa dalam diri setiap pemimpin.semoga Allah SWT memberi taufik dan hidayah kepada semua pemimpin politik yang terlibat dalam kemelut politik di Perak.

Sains Politik Malaysia said...

Salam...
Terima kasih sudi memberi komen. Di sinilah letaknya masalah apabila ego dan kerakusan kuasa menjadi raja. Kepentingan orang ramai sudah menjadi no. 2. Peraturan kita sudah ada dan sudah mantap, tetapi apabila ia tidak dipatuhi maka perkara ini akan menjadi kalut dalam kemelut yang membantutkan semua perkembangan.

Saya setuju... moga mereka mendapat taufik dan panduan.

salam

Anonymous said...

Tahniah Dr,
Pandangan anda cukup bernas.

Sains Politik Malaysia said...

Saya percaya ramai yang resah gelisah di luar sana menantikan selesainya kemelut ini. Ramai yang amat tidak puas hati bila keadilan itu dirampas. Ramai yang tidak menerima jika undang-undang diperalatkan untuk kepentingan pihak tertentu. Itu pun yang tidask mempunyai kepentingan tangible. Ramai lagi yang mengharap penyelesaian kerana ada urusan penting. Kontraktor yang menanti keputusan kerajaan negeri sama ada dapat kontrak atau tidak. Penjual dan pembeli tanah yang memerlukan keputusan exco, peniaga yang perlu mendapat lesen yang memerlukan kelulusan MB atau exco dan sebagainya lagi. Semua ini tergantung sudah beberapa bulan...
Semata-mata kerana kerakusan kuasa.